Tuesday, July 27, 2010

Aku pingin masuk SYURGA...~



“Ibu pingin masuk syurga ?” soal seorang pemidato cilik di atas pentas. “Ya,” bergema hadirin menjawabnya. “Bapak pingin masuk syurga?” soal Bunga lagi. “Ya,” sekali lagi dewan itu bergema dengan jawapan para hadirin. “Maka, kita perlu mempersiapkan ole – ole sebelum ke sana. Jika ole – olenya bagus, ke syurga. Tapi kalau ole – olenya jelek, gobrok neraka,” terang si kecil itu.

Aku tersentak tatkala sepasang tangan singgah di atas bahuku. Aku menoleh ke arahnya dan tersenyum.

“Adik berangan ye. Jom makan, ibu dah siapkan makanan kegemaran adik, ayam masak merah dan tomyam,”ujar ibu.

“Wah, bestnya! Ni yang membuatkan adik makin sayang pada ibu,” pujiku.

“Tutup video tu dulu,” pesan ibu sebelum berlalu pergi.

Aku melaksanakan perintah ibu dan membuntutinya ke dapur. Bau masakannya sahaja cukup membuatkan aku berasa cukup lapar. Tanganku basuh dan doa kubacakan. Keasyikan menikmati masakan ibu hampir membuatkan aku terlupa sesuatu.

“Ibu, adik pingin masuk syurga! Apa ye ole – ole yang adik perlu bawa untuk masuk syurga bu?” soalku dengan penuh harap.

Ibu merenungku sekejap, kemudian tersenyum. “Bagus anak ibu, adik makan dulu. Lepas makan nanti, kemaskan semua ni dan ibu juga ada ole – ole untuk adik,” terang ibu.

Selepas membersihkan ruang makan, ibu menunaikan janjinya. Pembalut hadiah kubuka dengan penuh berhati – hati. Diari pink yang di dalamnya tercetak terjemahan al – Quran. Ibu kupeluk erat.

“Terima kasih, ibu,” ucapku.

“Di dalamnya, tertulis kata – kata Allah yang menjadi panduan untuk kita ke syurganya. Cuba adik buka surah ke – 29, ayat ke 45,” terang ibu sambil membacakan terjemahannya.

"Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu, yaitu Al Kitab (Al Quran) dan dirikanlah shalat. Sesungguhnya shalat itu mencegah dari (perbuatan- perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingat Allah (shalat) adalah lebih besar (keutamaannya dari ibadat-ibadat yang lain). Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan". (Al-Ankabut[29]:45)

“O… jadi untuk masuk syurga, adik perlu baca Quran dan solat tepat waktu ye, ibu?” soalku.

“Betul tu, solat dapat mencegah kita dari membuat dosa, apabila kita tidak berdosa, maka insyaAllah kita layak ke syurga,” terang ibu.

“Lagi bu?” soalku.

“Ok, adik tahu ayat apa yang menerangkan tentang aurat wanita?” soal ibu menguji pengetahuanku.

“Emm… ayah kata surah an-nur, ayatnya adik lupa la bu…” jawabku sedih.

“Ayat ke-31, bunyinya seperti ini…”

"Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinyua agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung". (An-Nur[24]:31)

“Ibu.. ibu… adik dah kira layak masuk syurga la ye, sebab adik dah pakai tudung ?” soalku lagi .


“Aurat wanita ialah semua anggota badannya kecuali muka dan tapak tangan, tapi adik belum pakai stokin lagi kalau keluar rumah, baju lengan panjang dan pakaian tidak boleh menampakkan bentuk tubuh,” ulas ibu.

“Panaslah bu, adikkan cepat berpeluh,” keluhku.

“Itulah bayaran untuk membeli tiket ke syurga. Tadikan katanya pingin masuk syurga,” ujar ibu mengingatkan kata – kataku tadi.

“InsyaAllah, adik cuba. Ibu doakan adik masuk syurga ya,”pintaku.

“InsyaAllah, kita semua pasti masuk syurga dengan rahmat Allah jika kita sanggup untuk taat pada segala perintahNya,” jawab ibu mengakhiri perbualan kami.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda maksudnya:
"Bahawa hati itu berkarat, seperti berkaratnya besi."

Lalu orang bertanya, "Wahai Rasulullah, bagaimana membersihkanya?"

Jawab Rasulullah: "Membaca al-Quran dan mengingati mati."Membaca al-Quran dijelaskan di sini bagi membersihkan kekotoran di jantung yang didatangkan syaitan mengikut saluran darah.
Dari sabda Rasulullah s.a.w di atas, dapat kita tahu bahawa langkah utama dalam mengembalikan hati yang bersih dan suci ialah dengan membaca Al-Qur’an dan mengingati mati. Membaca Al-Qur’an hendaklah dilakukan sekali dengan mentadbur isi kandungannnya agar kita dapat memahami setiap ayat yang kita baca dan agar ketaqwaan kita kepada Allah semakin bertambah.

Antara amalan-amalan lain yang boleh kita lakukan untuk membersihkan hati ialah dengan :
-Banyak mengingati Allah dengan berzikir.
-Memperbanyakan solat-solat sunat terutamanya solat taubat.
-Berdoa kepada Allah supaya hati bersih.
-Redha dengan ketentuan Ilahi. Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hambaNya.
-Jaga makanan supaya hanya bersumber dari rezeki yang halal, elakkan makan makanan yang syubhah

Monday, July 19, 2010

Trilogi Cinta ~



Oleh: Manfira Aula
‘Nadia, dah makan belum?
Ayang buat apa hari ni?
Kenapa Nadia sounds unhappy?
Itu perbualan dahulu. Ketika aku masih jahil. Ketika perbualan berjam-jam di telefon bersama seorang teman lelaki merupakan satu kebiasaan. Bahkan rutin yang menjadi pelik jika tidak dilakukan.
’Nad dah tidur belum? Ke tengah bercakap lagi dengan Danial tu? Sudahlah tu, karang tinggi pulak bil telefonnya.’Begitula h kata ibu, tatkala malam semakin larut dan dia masih lagi bergayut.
Dan dia akan terus menggerutu sendiri dan membawa telefon mudah alih ke dalam bilik. Sambil menyambung untaian kasih asmara bersama Danial di balik selimutnya. Kata-kata Danial seolah-olah lebih enak didengar dari mematuhi suruhan ibu tercinta.
Tapi itu dahulu, sewaktu dia belum mengenal erti sebenar cinta. Ketika lidah masih basah mengungkapkan kata cinta fana. Tatkala dirinya masih naif dan mendambakan kasih dari seorang teruna yang tidak halal buatnya. Sebelum dia mengetahui, di sebalik cinta manusia itu, terdapat satu cinta yang lebih agung, mulia, jernih dan hakiki.
dannybasri: assalamualaikum. nadia ke?
dannybasri : apa khabar sekarang?
Begitu tulisannya , di balik window yahoo messenger yang menjadi medium perantara dua insan berjauhan.
dannybasri: dah lama kita tak jumpe kan?
Entah mengapa tiba-tiba, jantungnya berdebar-debar melihat tulisan itu. Dia mengelip mata berkali-kali seolah-olah tidak percaya. Tapi dia pasti itulah Danial yang dikenalinya. Sekian lama dia cuba mengelak untuk bertemu dengan lelaki ini di alam nyata, kini dia muncul di depan ’mata’! Tidak langsung dia sedari yang dia baru sahaja ‘add’ ID dannybasri sebentar tadi.
Perlukah dia menjawab? Perlukah dia menyulam kembali ikatan yang telah lama terurai? Siapa pula yang memberikan IDnya kepada mamat ini?
Apa salahnya kalau kau membalas. Bukan apa pun. Lagipun dah lama tak dengar khabar. Di satu sisi, hatinya berbisik.
Betul, tapi aku takut, aku akan terjebak di dalam situasi yang sama.Lagipun apa faedahnya dia menghubungi aku ketika ini? Apa tujuan dia?
dannybasri: danny paham kalo nad tak mahu cakap dgn danny. danny dapat ID nad ni pun dr taufiq. lama juga danny minta dari dia, baru skrg dia kasi.
Hmm….siap ko Taufiq. Akanku suruh Dila kenakan kau. Tak tau menjaga rahsia! Dila jaga suami hang bebaik na…. tetapi kupasti Taufiq tidak akan memberikan ID ku tanpa sebab.
Taufiq dan Danial berkawan baik semenjak di bangku sekolah. Selepas SPM, mereka mengorak jalan yang berbeza. Danny mendapat tawaran untuk ke Melborne dan membuat program foundation di sana, sedangkan dia dan Taufiq ditempatkan di kolej persediaan untuk ke United Kingdom.
Sewaktu hangat cinta pertamanya bersama Danny, mereka tidak pernah berhubung melalui media elektronik. Oleh sebab itu, Nadia pasti Danny tidak akan dapat mengesannya semenjak hubungan mereka diputuskan .
dannybasri: hmmm…..danny cume nak minta maaf pada nad. Sudah lama juga danny cuba untuk mencari nad. Setelah kita ..
Dia berhenti. Nadia kaget menunggu. Semua kerjanya terhenti semenjak kemunculan window terbaru itu.
dannybasri : sejak peristiwa dulu, nad cuba mengasingkan diri dari danny. danny tak paham mengapa tetiba nad menyepi tanpa berita. danny call dan datang rumah nad. But no response from u. waktu danny fly pun nad tak datang untuk hantar.
dannybasri: waktu tu i was so confused! why did you do that to me? danny jadi tak betul untuk beberapa minggu sampai mama naik risau! danny rindukan nad bagai nak gile!
dannybasri : tapi bile danny dicampakkan di bumi kangaroo ni, danny dah mula sedar. banyak yang danny belajar dari kawan2 dan senior2 di sini. danny bukan sahaja menuntut ilmu medic tapi sahabat2 danny telah mula mengenalkan danny kepada ketinggian dan kedalaman ilmu Islam.
dannybasri: dan semenjak itu danny mula nampak segala dosa dan kesilapan danny selama ni… terutamanya kepada nad!maafkan danny nad!
dannybasri : danny malu kepada nad. malu kerana nad terlebih dahulu menyedari kesilapan kita…..
Senyap.
Nadia berkira-kira untuk membalas. Tidak tahan rasanya membiarkan Danial berfikir bahawa dia menulis kepada sang tunggul. Lagipun, ingin sangat dia bertanyakan beberapa soalan. Ketegasannya selama ini tidak melayan kaum Adam berchatting melainkan atas urusan kerja dilunturkan sedikit. Gelora di jiwa mengetuk-getuk pintu hatinya untuk menulis. Baru sahaja dia mahu menekan punat D, tiba-tiba Danial membalas.
dannybasri: ada seperkara lagi yang danny nak beritahu.
dannybasri : danny ingat nak call je nad tapi rasanya lebih elok kalo danny cakap di sini saje sebab danny tau mesti nad akan rasa tak selesa bukan?
Nadia tersenyum sendiri. Dah tahu mahu bertanya! Namun di sudut hatinya Nadia kagum dengan Danial yang ’sekarang’. Butir percakapannya lebih teratur dan sopan. Dia menghormatiku sebagai seorang wanita. Tidak seperti dahulu yang melayanku layak seorang suami terhadap isterinya!
Sementara itu, fikiran Nadia menyelinap ke lembaran memorinya 4 tahun yang silam.
’Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.’ (Al-Isra’ : 32)
Mungkin kerana semilir bayu di pagi hari itu atau mungkin kesan tahajudnya saban malam sebelum SPM diteladeni, sedikit sebanyak telah melentur lembut hatinya yang selama ini membatu keras berselaput kerak dosa. Tatkala dibacanya ayat-ayat Allah itu hatinya sangat terusik lantas bermenung lama memikirkan. Nadia terasa Allah seolah-olah berkata-kata dan menegurnya.
’Dan di antara manusia ada orang-orang yang menyembah tandingan-tandingan selain Allah; mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman sangat cintakan Allah.’ (Al-Baqarah : 165)
Pernah orang bertanya, siapakah yang paling dicintainya. Dia menjawab Allah dan RasulNya. Namun, dia tidak pernah benar-benar mengorek isi hati dan menemui siapa yang sentiasa terpahat di relung hatinya. Begitu juga tidak diselidikinya nama siapa yang sering basah dibibirnya. Ternyata bukan Allah dan Muhammad Nabinya. Tetapi Danial!
Tatkala hidayah meresap di jiwa, dan mengalir di seluruh urat nadinya, Nadia berazam untuk mengikis cintanya terhadap Danial. Dia cuba untuk menolak kesemua ajakan Danial dan tidak langsung menjawab panggilan telefonnya.
Dia tidak langsung memberikan penjelasan kepada Danial; cuma sepotong ayat yang menyatakan mereka tidak boleh lagi bersama. Noktah. Dirasakan dirinya kejam namun dia tidak sanggup hidup di dalam penjara buatannya lagi. Dia mahu bebas dari belenggu rantai maksiat dan keresahan jiwa lantas meraih cinta Allah dengan mempersembahkan apa yang Dia redhai semata. Dengan cara itu sahaja dia dapat mengecap cinta yang agung itu. Cinta seorang mukmin yang sangat cintakan TuhanNya.
dannybasri : hmmmm….tak mengapalah. danny nak maklumkan yang danny akan balik malaysia esok.
Lamunan Nadia terhenti tatkala tulisan Danial bersambung.
dannybasri : InsyaAllah, danny akan melangsungkan walimah 5 hari dari sekarang.
Seakan-akan guruh bergempita di ruangan biliknya, Nadia terkesima. Dia tersandar di atas kerusi. Dibacanya ayat terakhir Danial berulang kali seakan-akan tidak percaya. Gembira? Sedih? Terkejut? Segala-galanya beradun dan berputar dahsyat di dalam hatinya.
Kenapa aku begini? Dia sendiri berasa kaget dengan dirinya. Apa salahnya Danny berkahwin?
Tapi dia masih tetap berasa resah dan aneh. Bukankah telah kubuang dirinya dari hatiku? Bukankah telah kuletak cintaku hanya untuk yang Maha Satu? Takkan aku masih cintakan dia?Mungkin kerana sudah lama dia tidak hadir dalam hidupku menyebabkan kemunculannya kali ini menyentak perasaanku? Ãtau adakah aku masih berharap yang Danial akan kembali kepadaku sebagai insan yang lebih soleh dan memulakan diari cinta kami yang kedua?
Nadia tidak dapat berfikir lurus. Ditariknya nafas panjang dan digagahkan matanya untuk menatap skrin. Danial masih menulis tapi dia tak boleh membaca dengan jelas. Ada manik basah di sekeliling matanya.
dannybasri : jemputlah datang ye nad. danny sudah hantar jemputan pada keluarga nad di malaysia. jika nad ada di malaysia, jangan lupa singgah ye.
Dia nampak bersungguh-sungguh. Di sudut hati, Nadia bersyukur kerana Danial bertemu dengan seorang yang mungkin jauh lebih baik darinya. Tapi di satu sudut yang lain, dia berasa hairan, mengapa tidak dicarinya dia semula? Dia takut lamarannya akan ditolak? Manakan dia akan menolak jika Danny sudah berada di atas jalan yang sama denganya?Mengapa? ?!!
dannybasri: ok nad. gtg. take care. assalamualaikum
dannybasri has signed out. (12/16/2004 12:02 AM)
raudahhuda: danial!!!
Nadia tidak sempat untuk mengejar Danial. Dia benar-benar telah pergi. Pergi seperti mana dia telah ditinggalkannya.
Nadia mengeluh panjang sambil merenung kegelapan malam yang sunyi dan dingin. Hatinya dirasakan sekelam kepekatan malam itu. Mengapa Ya Allah, kau takdirkan perkara ini terjadi padaku?
************ ********* ********* *******
Di dalam kedinginan malam yang syahdu. Kedengaran suara esakan seorang primadona yang bersenandung dengan kekasihNya:
Ya Allah, bukanlah aku mahu menyalahkan takdirMu. Dan bukan juga aku mahu menafikan hakikat yang berlaku. Rupa-rupanya aku membohongiMu Ya Allah. Tatkala aku mengaku aku mencintaimu semata, namun masih terdapat sekelumit rasa cintaku kepada yang bukan milikku.
Ya Allah, sesungguhnya telah kumungkir waktuku terdahulu dengan menjerumuskan diriku dengan cinta yang palsu. Namun hakikatnya, masih kumugkiri lagi ikrarku Ya Allah, kerana detik-detik sebelum pernikahanku, aku masih mendambakan cinta dari manusia.
Aku lupa ya Allah, bahawa pernikahan itu bukanlah segalanya. Pernikahan itu hanya membuka babak baru untuk memajukan langkah dakwah. Mungkin dengan pernikahan itu, aku akan lebih mencintai dunia dari beribadah padaMu Ya Allah. Kerana kadang-kadang godaan terbesar datang dari orang yang paling dekat denganku.
Ya Allah, aku yakin , di sana..jauh atau dekat, ada seseorang yang memang diciptakan untukku. Mungkin seperti danny, mungkin juga lebih baik darinya. Seperkara yang pasti, tidak akan kunangis kerana lelaki lagi ya Allah! Ya Rabbal Alamin..
Subuh pagi hari itu, kedengaran burung-burung gagak berkicauan dengan meriah seolah-olah mahu memberitakan kepada seluruh warga kota Exeter akan kisah primadona Nadia. Senandung Nadia kepada dirinya , biarlah detapan jemari di keyboard malam hari tadi merupakan noktah perbualan yang terakhir antara dia dan Danial.
Dihirupnya udara pagi itu dengan rasa puas, puas dengan rasa cinta pada RabbNya.
_________________________________________________________
Cinta ketiga di Skype
Oleh : Minstrels
Pertemuan pertama
Wajah murung gadis belasan tahun itu menyentuh hatinya. Kasihan, usianya masih muda, namun sudah menanggung seribu derita.
“ Bersabarlah Imah. Kuatkan semangat. Doa banyak-banyak. Solat hajat banyak-banyak. Saya ni cuma mampu berikhtiar saja, keputusannya, terletak pada Allah juga. Yang penting, kita sebagai hamba-Nya, harus yakin yang setiap yang ditetapkan itu ada hikmah disebaliknya.” Dia cuba menyusun kata-kata sebagai ubat buat hati yang lupa.
Gadis itu mengangguk lemah, cuba untuk senyum, namun masih tidak mampu untuk menyembunyi parah. “ Terima kasih doktor. Doktor pun, doa-doalah untuk saya. Solat hajatlah untuk saya.” Katanya penuh makna.
“ Insya Allah.” Dia menghadiahkan senyuman sebagai penutup bicara dan bangun.
“Assalamualaikum. ”
Itulah pesakit terakhir dalam rondaan wad pagi itu. Dia menarik nafas lega, bersyukur kepada Allah kerana diberi kekuatan untuk menyelesaikan tugas pertamanya pada hari itu.
Dia baru saja hendak menyusun langkah untuk ke bilik doktor ketika terdengar namanya dipanggil. Dia menoleh, mengenali suara itu milik Mr Ravi, salah seorang konsultan di wad surgeri.
“ Nadia, baru habis ward round ya? Bagaimana? Ada apa-apa masalah?”
“ Semuanya baik, Mr Ravi. Auntie Mei kata dia dah boleh membuang air besar, dan katanya, tidak ada apa-apa yang asing. Bekas jahitan Pak Man saya lihat tadi pun, semakin sembuh.”
Mr Ravi mengangguk tanda puas hati. “ Bagus, bagus. Nadia, saya ingin memperkenalkan awak kepada doktor baru yang akan bekerja bersama team kita di wad ini. Dr Mus’ab Umair. Dr Mus’ab, ini Dr Nadia Zainudin.”
Dr Mus’ab menghulurkan tangan untuk berjabat salam. Nadia kaget seketika sebelum cepat-cepat memberi alasan.
“ Oh maaf Dr Mus’ab, tadi saya tidak sempat membasuh tangan selepas memeriksa pesakit terakhir saya tadi. Nanti terkena infeksi pula. Maaf ya.” Nadia tersenyum kelat, mengelat!
“ Isk kamu ni Nadia, kamu bukan tak tahu bahaya kros-infeksi di wad-wad hospital. MRSA berkeliaran di mana-mana saja!” Tegur Mr Ravi sambil menggeleng-gelengka n kepala. “ Silalah beri tunjuk ajar apa-apa yang perlu kepada Dr Mus’ab ya. Dia sebenarnya baru balik dari UK, sudah ada 2 tahun pengalaman bekerja di sana.” Mr Ravi menepuk bahu Dr Mus’ab. “Mungkin awal-awal ni akan rasa kekok sedikit dengan sistem di sini.”
Nadia mengangguk. “ Insya Allah.” Sudah 2 tahun bekerja di UK? Kalau begitu, mesti dia lebih kurang sama baya dengan aku. Tapi aku tak pernah langsung berjumpa dengan mamat ini selama aku di sana. Tak apalah. bukannya seorang dua saja yang belajar di UK tu, beratus-ratus orang yang lain!
Dr Mus’ab mengerling pada jam tangannya. “ Maaf, Nadia, saya terpaksa minta diri sebentar. Saya ada temujanji dalam masa 10 minit lagi bersama Dr Hakim. Jumpa lagi bila-bila ya.” Dia tersenyum.
Nadia mengangguk dan sudah mahu berpatah balik ke bilik rehat doktor. “Oh ya Nadia!”
Nadia berpaling. “ Ya, Dr Mus’ab?”
Dr Mus’ab mengenyitkan matanya, nakal. “ Jangan lupa basuh tangan! Nanti kros-infeksi!” Dengan itu doktor baru itu bergegas meninggalkan wad surgeri itu melalui pintu utama.
Nadia tersenyum kelat sendiri.
Hari-hari seterusnya
Hari-hari yang dilalui setelah kedatangan doktor muda yang baru itu sungguh, penuh dengan cabaran dan menguji kesabaran. Adakalanya Nadia benar-benar suka dengan sikap Dr Mus’ab, tapi ada saja perkara lain mengenainya yang membuat dia kembali membenci. . Walaupun baru seminggu Dr Mus’ab bekerja di situ, dia sudah dikenali oleh majoriti staff yang bekerja di wad itu, sampaikan ke pekerja kantin dan ‘cleaner’ pun turut menyenanginya.
Pesakit-pesakit di wad itu apatah lagi. Bila tiba rondaan wad saja, kelibat Dr Mus’ab pun sudah cukup menggembirakan hati pesakit. Masakan. Dr Mus’ab tidak pernah ketandusan senyuman, serta kata-kata jenaka yang mencuit hati. Nadia kadangkala kagum dengan perwatakannya yang demikian, adakalanya dia iri. Bagaimana mamat ini masih boleh melemparkan senyuman dan berbuat jenaka walaupun setelah berjaga hampir semalaman untuk ‘on call’?
Namun, satu peristiwa yang berlaku di wad itu telah benar-benar meninggalkan kesan di hati Nadia, dan telah mengubah persepsinya terhadap Dr Mus’ab.
“ Kenapa Nadia? Nampak ‘tension’ je.”
Nadia tidak mengangkat kepalanya. Pandangan matanya masih pada catatan pesakit yang berada di hadapannya.
“ Ni, laporan dari makmal imejan dah siap. Katanya, ketumbuhan yang mereka lihat di dalam skan CT Kak Salmah kemungkinan besar barah!”
Dr Mus’ab juga turut terkedu.
Nadia menahan sebak. Kak Salmah, masih dalam lingkungan awal 40, seorang perempuan yang ceria dan tidak banyak kerenahnya. Dia sudah seminggu di hospital kerana tiba-tiba tidak sedarkan diri semasa di sekolah tempatnya mengajar. Nadia benar-benar tidak sampai hati untuk memberi khabar duka ini kepadanya.
“ Nadia, kalau awak nak saya yang beritahu Kak Salmah, saya tak kisah.”
Nadia menggeleng-gelengka n kepalanya. “Tidak mengapa, Mus’ab. Biarlah saya yang melakukannya. Insya Allah, diberi kekuatan.”
Dr Mus’ab mengangguk, tidak mahu memaksa. Kalau Nadia kata dia mampu untuk lakukan sesuatu, bererti dia memang mampu untuk melakukan perkara itu.
Nadia membawa bersamanya fail Kak Salmah, berjalan menuju ke katil di mana Kak Salmah ditempatkan. Tapi langkahnya tiba-tiba terhenti apabila terlihat olehnya keluarga Kak Salmah turut berada di katilnya. Terbatal niatnya untuk berjumpa dengan Kak Salmah di saat itu, namun Kak Salmah terlebih dahulu menangkap kelibat doktor muda itu. Dilambai-lambai tangannya untuk memanggil Nadia ke sisinya.
“ Bang, inilah doktor yang menjaga Salmah.”
Lelaki yang kelihatan lebih kurang sebaya dengan Kak Salmah tersenyum menyambut kedatangan Nadia.
“Assalamualaikum doktor.”
“ Waalaikumsalam.” Jawab Nadia perlahan.
Seorang kanak-kanak lelaki dalam lingkungan usia 9 tahun yang sedang berdiri di tepi katil Kak Salmah memandang Nadia dengan penuh tanda tanya.
“ Ini anak bongsu akak, Emir. Emir, ni Doktor Nadia. Dialah yang jaga mak selama mak ada kat hospital ni.”
Emir masih memandang Nadia tanpa berkelip. Matanya tertangkap stetoskop yang tersangkut di leher Nadia.
“ Emir, kalau Emir belajar rajin-rajin, nanti bila besar boleh jadi doktor macam doktor Nadia. Kalau mak sakit, Emir boleh tolong ubatkan mak. Tak perlu mak pergi hospital lagi.” Kata Kak Salmah sambil mengusap kepala anak bongsu kesayangan. Emir mengangguk lalu merangkul manja ibunya.
Hati Nadia tersentuh. Bagaimana hendak aku khabarkan berita ini kepada Kak Salmah? Berita ini saja boleh membunuhnya!
Tiba-tiba ‘bleepnya’ berbunyi, dan Nadia menarik nafas lega. Tidak pernah dia rasa gembira untuk menjawab panggilan ‘bleep’ selama ini.
Nadia meminta diri dan bergegas untuk menjawab panggilan ‘bleep’. Mungkin daripada makmal imejan. Mungkin untuk memberi khabar gembira, yang laporan scan CT Kak Salmah sebenarnya silap! Sebenarnya ralat!
Rupanya Mr Ravi.
“ Nadia, sudah dapat keputusan scan CT untuk Kak Salmah? Sepatutnya dah sampai tengahari tadi.”
“ Sudah Mr Ravi. Hem…berita yang tidak dijangka. Mereka meletakkan ketumbuhan yang mereka lihat dalam scan itu sebagai barah.”
Terdengar hembusan nafas yang panjang di hujung ganggang. “ Dah beritahu Kak Salmah?”
“ Belum Mr Ravi. Saya hendak berbincang dengannya sebentar tadi, tapi keluarganya datang melawat. Mungkin selepas ini.”
“ Baiklah.”
Ganggang diletakkan kembali. Lemah.
“ Nadia, saya tak kisah kalau awak nak saya saja yang memberitahu Kak Salmah tentang keputusan scan nya tadi.” Sekali lagi Dr Mus’ab menawarkan pertolongannya.
Nadia membisu.
“ Nadia, tidak mengapa untuk mengaku awak tak sanggup untuk melakukan sesuatu, kalau awak benar-benar merasakan awak tak sanggup untuk melakukannya. Walaupun kita doktor, orang memandang tinggi kedudukan kita, kita masih lagi manusia biasa. Kita masih punyai kelemahan, limitasi masing-masing. Sebab itulah kita perlu bekerja sebagai satu tim. Apa yang saya tak mampu lakukan, mungkin orang lain dalam tim itu boleh hulurkan bantuan. Samalah seperti sekarang ini. Kalau awak rasa awak tak sanggup, saya sanggup membantu.”
Hati Nadia terusik mendengar khutbah spontan dari Dr Mus’ab. Jelas kebenaran yang terkandung dalam kata-katanya yang ringkas tapi padat itu.
“ Baiklah Mus’ab. Saya nak minta tolong awak untuk beritahu Kak Salmah tentang keputusan makmal imejan tadi.”
Dr Mus’ab mengangguk. “ Insya Allah saya akan mencuba yang terbaik untuk membantu.”
Keluarga Kak Salmah beransur hendak pulang. Nadia menuju kembali ke katil Kak Salmah, kali ini bersama Dr Mus’ab.
“ Kak Salmah, saya hendak berbincang tentang sesuatu perkara dengan Kak Salmah. Boleh saya tarik langsir ini di sekeliling katil ni? Jangan risau, Dr Nadia ada bersama-sama saya.” Kata Dr Mus’ab penuh kesantunan.
Kak Salmah tersenyum. “ Ha ada apa Dr Mus’ab? Tadi keluarga saya baru saja datang. Kalau awak ada bersama Nadia tadi, boleh saya perkenalkan sekali. Kan Nadia?”
Nadia membalas senyuman Kak Salmah, hatinya mula berkecai. “ Ha ah, Emir sungguh comel.” Cuba digagahkan suaranya agar ceria.
Kak Salmah menarik nafas panjang. “Tak sabar akak untuk balik rumah semula. Kasihan Emir. Kakak-kakak dan abang-abangnya semua di asrama. Kalau akak tak ada kat rumah, terpaksa dia duduk dengan jiran sebelah rumah sementara tunggu ayahnya balik kerja.”
Dr Mus’ab mengambil tempat duduk di sebelah katil Kak Salmah. “ Banyak-banyak berdoalah Kak Salmah. Insya Allah akan dipermudahkan. Kita meminta pada yang Maha Kuasa.” Dia menyelak helaian nota pesakit Kak Salmah. “Kak Salmah, kami baru saja dapat laporan dari makmal imejan. Berkaitan scan CT yang Kak Salmah buat kelmarin.” Dr Mus’ab memandang wajah Kak Salmah, seolah-olah cuba membaca isi hatinya.
“ Oh ya kah? Baguslah. Maknanya mereka dah kenalpasti apa masalahnya? Jadi bolehlah doktor beri ubat yang sesuai untuk mengubatinya? Bolehlah saya pulang ke rumah?” Kata Kak Salmah, ceria.
Dr Mus’ab memandang Kak Salmah, Nadia di sebelah menunggu penuh debar.
“ Kak Salmah.” Mulanya lembut. “ Kak Salmah, kami mendapat laporan daripada skan CT yang Kak Salmah ambil tempoh hari, kemungkinan besar ketumbuhan yang mereka nampak dalam skan itu adalah barah.”
Kak Salmah menarik nafas panjang. Manik-manik jernih mula bergenang di kelopak matanya.
Dr Mus’ab memberi ruang untuk Kak Salmah menerima berita yang tidak disangka-sangkanya itu. Nadia di sebelah cuba menahan sebak yang dari tadi mengetuk-ngetuk atmanya.
“ Doktor Mus’ab…adakah…adakah saya akan mati?” Kak Salmah bersuara kembali, manik-manik jernih tadi mula mengalir.
“ Kak Salmah, siapalah saya untuk menetapkan tarikh kematian seseorang.” Kata Dr Mus’ab, perlahan. “ Daripada ilmu yang Allah berikan kepada kami, ini hanyalah jangkaan yang dapat kami buat berdasarkan apa yang kami nampak daripada skan. Dan berdasarkan keputusan ini, kami hanya layak untuk memberi nasihat kepada Kak Salmah, apa yang kami rasakan tindakan terbaik untuk mengatasi masalah ini. Tapi yang memberi keputusan mutlak adalah Allah.”
Kak Salmah mengangguk. Manik-manik jernih itu mula mengalir lebih deras. Nadia cepat-cepat mengambil sehelai tisu dan menghulurkannya kepada Kak Salmah. Tangan lembut perempuan bergelar ibu itu disentuh; kemudian digenggam erat. Kak Salmah menangis semahu-mahunya. Nadia mengusap lembut bahu Kak Salmah. Dr Mus’ab hanya memandang penuh simpati.
“ Kak Salmah, bersabarlah. Kita belum habis berikhtiar lagi. Insya Allah, kami akan cuba sedaya upaya untuk membantu Kak Salmah. Pada masa yang sama, kita sama-sama solat hajat, kita sama-sama doa banyak-banyak. Yakin setiap perkara yang Allah dah tetapkan pasti ada hikmahnya.”
Hati Nadia benar-benar terusik mendengar kata-kata lembut Dr Mus’ab. Bijak sungguh dia menenangkan pesakit yang sedang ditimpa kedukaan. Kata-kata yang dipilih juga cukup halus dan menyenangkan. Seperti air yang mengalir, sejuk dan menyegarkan.
Bermula dari situlah Nadia mula menyedari keistimewaan doktor baru ini, dan dari situlah dia mula mencari jalan untuk merubah persepsi doktor ini terhadap tugas sebenar makhluk di muka bumi ini. Bukan sekadar menjadi doktor biasa sahaja…
Itulah tugas seorang daie. Nahnu duat qabla kulli sya’i. ‘ Kami du’at sebelum setiap sesuatu’.
Usaha bermula
“ Mus, tengok tak bola malam tadi? Hebat sungguh!”
Nadia sedang tekun memeriksa senarai nama pesakit yang perlu dilawat untuk hari itu semasa Dr Mus’ab baru saja sampai ke wad itu bersama Dr Ammar.
“ Oh, tak sempat la Ammar. Semalam aku penat sangat, balik terus tidur.”
Dr Ammar mengumpulkan keputusan-keputusan ujian makmal untuk pesakit. “Penat? Bukan kau balik awal juga ke semalam?”
“ Aku lepak di rumah Haikal semalam.”
Nadia mendengar dengan penuh minat. Teringat perbualannya dengan Dr Haikal dan isterinya beberapa minggu yang lalu.
“ Akhi, ana harap akhi dapat tengok-tengokkan Dr Mus’ab. Dia tak pernah ikut program2 ilmu selama di UK, tapi selama ana bekerja dengan dia, ana nampak macam dia ni sungguh bagus.”
Dr Haikal mengangguk. Isterinya, Atikah, sahabat Nadia semasa belajar dulu tersenyum nakal.
“ Baik-baik sikit Nadia. Nanti ada yang lebih bahaya dari MRSA yang terjangkit pada anti nanti!” Kata Atikah sambil tergelak kecil.
Nadia mencubit kecil lengan Atikah. “Eiii Tikah ni. Ke situ pula dia. ”
Dr Haikal turut tergelak sama. “ Insya Allah ukhti. Ana pun selalu terserempak dengan dia di surau hospital. Ramah sungguh orangnya.Dan memang dia berminat untuk berbincang tentang isu-isu berkaitan umat Islam. Mungkin di UK dia tak berpeluang untuk berkecimpung dengan program-program keilmuan sebab kekangan tempatnya yang tak ramai Muslim dan pelajarannya yang banyak”
Nadia lupa Dr Musab merupakan graduan Oxford. Memang tak ramai Muslim dan sangat padat jadual waktu pelajarannya berbanding universiti yang lain di UK.
Nadia tersenyum. Sejak akhir-akhir ni, kerap juga dia mendengar Mus’ab bertandang ke rumah Haikal. Ataupun keluar bermain tenis setiap petang khamis bersama Haikal.
‘Satu perkembangan yang menarik.Mudah- mudahan berterusan sehingga dia menemui cahaya itu..’ Fikirnya.
Jalan Dakwah
‘ Mus’ab…is calling…’ Kedengaran nada berdering dari komputer peribadinya.
‘ Mus’ab Call duration: 00:30’ “Assalamualaikum abang.”
“ Waalaikumsalam Di. Apa kabar isteri abang hari ni?”
“ Alhamdulillah, sehat saja abang. Abang pula? Cukup makan tak di sana?”
“ Alhamdulillah, abang pun sihat. Hmm, cukup saja, tapi abang masih rindukan masakan bekas tangan isteri abang tu.”
Nadia tersenyum. “ Boleh je Di masak dan pos kepada abang di Baghdad tu. Tapi tak bolehlah Di masak untuk abang seorang saja, kenalah masak untuk satu tim MERCY di sana.”
Suaminya tertawa lucu. “ Baiklah Di, abang tak boleh cakap lama ni, lepas ini kena sambung kerja di klinik. Kirim salam sayang abang kepada anak-anak kita, Khadijah, Aisyah dan Usamah. Ok, Sayang, abang beransur dulu. doakan keselamatan abang dan tim abang di sini. Assalamualaikum.”
‘ Mus’ab…Call ended : Duration : 10:03 minutes’
Nadia tersenyum. Akhirnya dia terkena juga ‘jangkitan’ yang lebih bahaya daripada MRSA itu, tapi dengan cara yang halal. Satu ketika, dia mendapat khabar daripada Haikal dan Atikah yang Mus’ab sudah bersedia hendak mendirikan rumahtangga. Dan perempuan yang menjadi pilihannya ialah rakan setugasnya sendiri, Nadia. Merekalah yang menjadi orang tengah kepada pernikahan mereka. Mus’ab komited dengan program keilmuan sekarang, kata Haikal padanya.
Pelik dan syukur Nadia rasakan. Sepanjang tempoh pertunangan mereka, hubungan mereka diminimalkan. Cuma, sekali dua perbualan di Skype, itupun dengan ibu Mus’ab, bersama Mus’ab hanya setia mendengar dari tepi. Ibu Musab mahu mencuba teknologi katanya. Nadia tersenyum sendiri dan merasa bangga kerana bakal suaminya ketika itu sangat menjaga hubungan mereka sehingga setiap kali mereka berhubung atas urusan nikah, mesti melalui adik lelaki Nadia ataupun Haikal dan Atikah.
Hubungan mereka di tempat kerja juga dijaga sebaik mungkin. Komunikasi hanya berlaku sekitar hal hospital sahaja. Apabila hampir terkeluar dari batas-batas itu, Mus’ab bijak berundur, Nadia cukup memahami. Kadang-kadang apabila terlalu leka bekerja,batas pergaulan itu seringkali diabaikan. Namun Nadia yakin, barangsiapa yang takutkan Allah, Allah akan berikan dia ‘furqan’ di dalam hati.
‘Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan memberikan ‘furqan’ kepadamu dan menghapuskan segala kesalahanmu dan mengampuni kamu ‘ ( Anfal:29)
Majlisnya cukup ringkas. Dihadiri oleh semua staf di wad surgeri, termasuk Mr Ravi sendiri. Sungguh bangga Mr Ravi, kononnya, dialah yang telah memadankan pasangan itu. Langsung tidak diketahui, sebenarnya Allah yang berkuasa mendekatkan hati-hati, dan dengan ikatan yang sah ini, Allah jugalah yang berkuasa melimpahkan kasih dan cinta di dalam sanubari pasangan suami isteri.
Danial Basri juga hadir, bersama zaujah tercinta, Humairah namanya. Manis orangnya, lembut perwatakannya. Anak kecil mereka, juga turut sama, comel sungguh, Talhah namanya.
Terasa sejarah silamnya bersama Danial Basri seolah-olah tidak pernah wujud. Mungkin ianya pernah menjadi kisah dongengan masa lampau.
~tamat~

Friday, July 16, 2010

.: adUhai Singa AlgeRia:..=P



Apabila disebut nama Algeria, pasti yang tergambar di kotak fikiran setiap pecinta Islam dan perjuangan Islam ialah FIS dan juga pemimpinnya Syeikh Abassi Madani. Beliau dan juga pergerakannya FIS telah menjadi terkenal di awal 90’an kerana kejayaan mereka mendapat undi majoriti lewat pilihanraya umum Algeria tanggal Jun 1990 dan seterusnya pada Disember 1991. Kejayaan yang akhirnya menjadikan bumi Algeria bersiram darah itu dilihat sebagai kejayaan sebuah parti Islam dalam proses demokrasi yang akhirnya dicabuli. Sayangnya ramai tidak melihat siapakah perintis terhadap perjuangan Islam dan kebangkitan Islam di Algeria pre – FIS. Arus Islami sebenarnya bukanlah bermula dengan kemunculan FIS, ia sebenarnya telah dipelopori oleh gerakan dakwah di awal tahun 70’an lagi yang diterajui oleh seorang tokoh yang bernama Mahfoudz Nahnah. Nama Mahfoudz Nahnah merupakan satu nama yang asing di serata dunia kecuali bagi siapa yang mengenalinya sahaja.

Siapakah Nahnah? Beliau adalah pelopor kepada kebangkitan dan gerakan Islam di Algeria walaupun beliau tidak bersama dengan takungan FIS. Lahir pada 28 Januari 1942 di kota Balida 50 Kilometer dari ibu negara Algeria, iaitu Algiers. Graduan pengkhususan Bahasa Arab ini agak berbeza dengan pemimpin – pemimpin gerakan Islam di timur tengah yang lain yang kebanyakannya terdiri daripada golongan profesional. Dengan kemunculan gerakannya yang membawa nama Jamaat al-Irshad wa al-Islah (Islah) beliau telah memulakan aktiviti dakwah dan tarbiyyahnya kepada masyarakat di awal 70’an dan 80’an dengan program – program bercorak pendidikan dan juga sosial dengan tidak melibatkan diri dengan lapangan politik secara serius. Gerakan ini telah berjaya menimbulkan satu kebangkitan baru di kalangan generasi muda di Algeria. Beliau yang amat terpengaruh dengan ide – ide Hassan al-Banna dan juga gerakan al-Ikhwan al-Muslimun telah menggabung jalinkan fikrah – fikrah tersebut dengan pandangan – pandangan Malik Ben Nabi yang juga merupakan idolanya telah berjaya melebarkan kesedaran Islam dan perjuangan menegakkan syariat di hati rakyat Algeria yang sememangnya hidup menderita di bawah pemerintahan kuku besi pemimpin – pemimpin mereka pasca kemerdekaan dari Perancis.
Dalam perjuangannya, walaupun beliau dan gerakannya tidak menjejaki lapangan politik pada peringkat tawalnya, beliau pernah dipenjarakan selama 15 tahun apabila dituduh merencanakan penggulingan kerajaan di bawah pimpinan tirani Boumediene yang beraliran sosialis. Tuduhan tersebut disabitkan kerana kenyataan – kenyataan Nahnah yang lantang lagi keras dalam menentang sistem sosialis yang merupakan tonggak pemerintahan di Algeria pada waktu itu. Pada hematnya, sistem sosialis tidak sesuai untuk Algeria yang didiami oleh majoriti muslim. Beliau lebih cenderung untuk menyeru kepada kebebasan politik dan ekonomi.
Ketika Algeria mula terbuka kepada demokrasi pada penghujung 80’an dan di awal 90’an, Nahnah telah menubuhkan partinya sendiri yang merupakan rentetan dari gerakan Islahnya iaitu “Gerakan Masyarakat Sejahtera” (Harakat Mujtama’ Li al-Silmi) ataupun singkatannya HAMAS tanggal Disember 1990. Gerakan atau parti ini walaubagaimanapun tidak menarik minat FIS yang merupakan parti Islam terbesar di Algeria untuk bersama dengan mereka. Ini kerana menurut pemerhatian pimpinan – pimpinan FIS , HAMAS tidak sepatutnya wujud dan hanya FIS sahaja yang berhak menerajui aktiviti politik bercorak keIslaman di Algeria.
Bagi Nahnah pula, rasionalnya kemunculan HAMAS adalah berdasarkan beberapa faktor yang tidak memungkinkan HAMAS bergabung dengan FIS. Antaranya HAMAS bersifat lebih moderat dan sederhana. HAMAS juga lebih mempromosikan dialog di antara pihak Islami dengan pihak non-Islami. HAMAS juga menurut Nahnah lebih memberikan hak kepada wanita untuk turut serta dalam politik dan juga aktiviti kemasyarakatan yang mana peluang tersebut ditutup langsung dalam FIS. Sikap FIS yang terlampau oportunis dan agresif dalam mengutarakan isu – isu Islam di dalam masyarakat juga tidak berapa disenangi oleh Nahnah dan pendokong – pendokong HAMAS yang lebih bersikap sederhana, intelek dan juga berstrategi.
Faktor lain yang membezakan antara dua gerakan ini juga mungkin disebabkan oleh jurang akademik antara kedua – dua golongan. Bagi FIS yang merupakan gerakan massa pendokongnya adalah rakyat marhain dari pelbagai lapisan, para ulama tradisionalis dan juga para pemuda. Berbanding dengan HAMAS yang kebanyakan ahlinya terdiri dari kalangan profesional, intelek dan juga mereka – mereka yang telah berumur.
Sewaktu berlakunya rampasan kuasa tentera ekoran kemenangan FIS yang dianggap sebagai pengancam kepada golongan sekular, Nahnah muncul untuk menyelesaikan konflik tersebut dengan dialog dan juga perbincangan berbanding dengan FIS dengan pelbagai fraksinya yang lebih berminat untuk melancarkan tentangan bersenjata dan mengisytiharkan jihad terhadap pemerintah tentera. Sikapnya ini telah menimbulkan perasaan tidak senang di kalangan penyokong – penyokong FIS dan juga fraksi – fraksi lain yang ekstrim seperti GIA (kumpulan bersenjata Islam) dan lain – lain lagi lantas melabelkan beliau dengan label agen pemerintah, bersekongkol dengan pemerintah yang zalim, munafik dan pelbagai lagi. Walaubagaimanapun, tindakannya ini membuahkan hasil apabila kerajaan tentera masih lagi memberi peluang kepada parti – parti Islam untuk menyertai pilihanraya.
Pada tahun 1995 beliau telah menyertai pilihanraya dan mencalonkan dirinya untuk jawatan presiden. Pertandingan tersebut telah menyaksikan Nahnah berjaya memperolehi sokongan 3 juta suara yang mengundinya untuk jawatan tersebut, namun undian tersebut gagal untuk menjadikannya presiden kerana Boultafeqah, pemimpin sekular pro nasionalis telah berjaya mendapatkan undi yang lebih daripadanya. Walaubagaimanapun undian tersebut telah meletakkannya sebagai calon kedua terbanyak dipilih untuk jawatan tersebut. Pemilihan tersebut juga menyaksikan buat pertama kalinya di dunia seorang pemimpin gerakan Islam bertanding untuk jawatan presiden.
Beliau juga telah muncul dengan gagasan “Syurakrasi” iaitu gabungan di antara prinsip syura Islam dan juga nilai – nilai murni yang terdapat dalam ide demokrasi. Menurutnya banyak nilai – nilai yang murni dalam demokrasi yang selari dengan syura dan diperlukan oleh kaum muslimin dalam menjamin keadilan dan juga kesejahteraan dalam bidang politik. Beliau amat lantang menggesa kerajaan Algeria untuk menghormati prinsip demokrasi dan keadilan agar arus Islam diberikan ruang yang lebih untuk bersuara dan mempromosikan agenda dan program mereka.
Beliau juga pernah mengunjungi Malaysia beberapa kali dalam siri lawatan tidak rasminya untuk bertemu dengan rakyat Algeria yang sedang bekerja, berniaga dan menuntut di negara ini.
Tokoh yang disegani lawan dan kawan ini akhirnya telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 16 Jun 2003 selepas kembali dari Paris selepas menerima rawatan untuk sakit Luekimianya. Pemergiannya adalah satu kehilangan kepada dakwah Islam dan arus Islami di Algeria dan juga kepada dunia.

Tuesday, July 6, 2010

si WiraWati keKasih JihaD..!



Nusaibah,wanita yang ikut berbai'ah dalam bait Aqabah,menyerahkan dirinya,putera-puteranya dan harta bendanya untuk Allah Yang Maha Esa.Dia bukan hanya menyediakan makanan atau sekadar membalut luka semasa peperangan sahaja,tetapi turut berangkat berperang di hadapan Rasulullah s.a.w.Dengan semangat yang teguh,dia turut serta bersama suaminya,Ghazijah dan puteranya,Abdullah.


Semasa berperang,Rasulullah s.a.w melihat Nusaibah melindungi diri daripada pukulan-pukulan pedang tanpa sebarang perisai.Lalu Baginda s.a.w menyuruh seorang lelaki untuk memberikan perisainya kepada Nusaibah.Nusaibah lantas mengambilnya dan berperisai di hadapan Rasulullah s.a.w.


Tiba-tiba,seorang penunggang kuda Quraisy menyerang.Nusaibah terlindung dari perisai itu,sehingga serangan orang itu tidak mengena.Kemudian,Nusaibah memukul belakang kuda orang Quraisy itu sehingga orang itu terjatuh.Lalu Nabi s.a.w berteriak kepada Abdullah: "Hai putera Ummu Umarah,itu ibumu! itu ibumu!" Lalu Abdullah menolong ibunya dan membunuh lelaki itu.Abdullah terluka dan ibunya datang membalutnya,sedang Nabi s.a.w melihatnya.Selesai membalut,Nusaibah berkata: "Anakku,bangkitlah bersama aku,memerangi kaum itu." Hal itu menjadikan Nabi s.a.w bersabda: "Ummu Umarah!Siapakah yang sanggup terhadap apa yang kamu sanggup?" Berkata Nusaibah,"Engakau benar ya Rasulullah."


Ketika Rasulullah s.a.w melihat seorang lelaki memukul dan melukai Abdullah,Baginda menunjukkan kepada Ummu Umarah dan bersabda: "Inilah orang yang memukul anakmu." Maka Ummu Umarah menoleh dan memukul betis orang itu sehingga jatuh ke tanah.Rasulullah s.a.w tersenyum lalu bersabda: "Kau memukul membalas Ummu Umarah".


Kemudian,Ummu Umarah mendatangi seorang lelaki yang penuh dengan luka-luka.Lalu Baginda s.a.w bersabda: "Segala puji bagi Allah yang telah menenangkan kamu,dan telah menyejukkan hati kamu terhadap musuhmu dan aku menyaksikan dengan menuntut balas."

Abdullah sentiasa tetap di tempatnya di depan Rasulullah s.a.w.Dia tetap menjaga Rasulullah s.a.w agar Baginda tidak disakiti.Nabi s.a.w melihat seorang lelaki datang lalu baginda berteriak: "Hai putera Ummu Umarah!" Abdullah menjawab: "Ya Rasulullah!" Baginda s.a.w bersabda lagi: "Lemparkanlah." Maka Abdullah melempar lelaki yang datang itu dengan batu dan mengenai mata kudanya,sehingga kuda dan pemiliknya jatuh.Abdullah menindihnya dengan batu sehingga dapat membunuhnya.


Peperangan berlaku dengan sangat hebat.Serangan dari orang musyrikin datang bertubi-tubi.Ketika serangan terakhir,di mana mereka bermaksud memusnahkan pangkalan kaum Muslimin,dengan rencana membunuh Rasulullah s.a.w,datanglah penunggang kuda musyrikin Quraisy,Ibnu Qamak dan berkata: "Tunjukkanlah Muhammad kepadaku." Lalu Ummu Umarah dan Mushab bin Umair menemuinya.Maka Mushab dibunuhnya.Akan tetapi,Ummu Umarah tidak lemah,sebaliknya terus berlawan.


Ketika perang berlaku,Ummu Umarah menuju ke bahagian musuh-musuh Allah ke kanan dan ke kiri sehingga mendapat luka di badannya dan berlumuran darah.Lalu Rasulullah s.a.w memanggil Abdullah puteranya: "Balutlah luka ibumu! Semoga Allah memberkati kamu sekeluarga.Kedudukan ibumu adalah lebih baik dari kedudukan Fulan bin Fulan.Semoga Allah meredhai kamu sekalian sekeluarga!"


Nusaibah mendengar Nabi s.a.w mendoakan keluarganya melalui mulut Baginda yang mulia.Nusaibah berkata; "Aku tidak peduli apa sahaja yang menimpa di dunia ini." Setelah itu,Nusaibah pergi,seolah-olah ada hembusan bau harum yang menyentuh jiwanya.Dengan doa Rasulullah s.a.w itu,kelompok kaum musyrikin semakin sedikit,serangan-serangannya semakin ringan.Lalu kaum musyrikin dapat dikalahkan dan disempurnakan kebenaran Allah s.w.t.Maka selamatlah Rasulullah s.a.w dari orang-orang musyrikin,dan kaum Muslimin kembali ke Madinah.


Akan tetapi,sekembalinya dari peperangan,Nusaibah sakit dan berbaring di tempat tidurnya.Beliau dirawat oleh para wanita.Pada waktu itu,Nabi s.a.w menyeru untuk berperang melawan kaum musyrikin ke Hamraul Asad.Nusaibah berhajat mengikutinya,tetapi dilarang oleh Rasulullah s.a.w mengingatkan luka-luka Nusaibah yang masih belum sembuh.


Ketika Rasulullah s.a.w kembali dari berperang,sebelum sampai ke rumahnya,datanglah utusan yang memberi khabar bahawa Nusaibah telah sihat.Dengan berita itu,Baginda s.a.w merasa gembira sekali.


Ketika turun ayat hijab,Nusaibah kebingungan.Apakah setelah hari itu beliau boleh keluar untuk berperang dan apakah gantinya dari berperang?Beliau mendidik dan membesarkan putera-puteranya,Abdullah dan Habib agar manjadi pemuda yang gemar berperang dan mati syahid.Beliau mendorong kedua anaknya untuk berjuang membela agama Allah,meninggikan bendera-Nya, dan menegakkan kalimah-kalimah-Nya,berjuang dan berjihad kerana Allah serta hadapi segala sesuatu dengan dada yang lapang dan penuh semangat.


Rasulullah s.a.w mengizinkan orang-orang Islam untuk pergi menunaikan haji,lalu Nusaibah keluar bersama Baginda s.a.w.Tetapi orang-orang Quraisy menghalang dan melarang kaum Muslimin untuk masuk ke Kota Makkah dan beribadah haji.Akhirnya,dua pucuk pimpinan bertukar pendapat dan menandatangani Perjanjian Hudaibiyah,dan Rasulullah berbai'ah kaum Muslimin dengan Bai'atur Ridhwan.Nusaibah pun turut menyaksikannya.


Setelah Rasulullah s.a.w wafat,sebahagian kaum Muslimim kembali murtad dan tidak membayar zakat.Lalu Khalifah Abu Bakar r.a menyiapkan bala tentera untuk berperang dan mengirim surat kepada Musailamah,menerusi Habib putera Nusaibah.Musailamah menerima lalu bertanya: "Apakah kamu bersaksi bahawa saya utusan Allah?" Habib menjawab: "Saya tidak mendengar dengan berpura-pura mengaku tuli." Lalu Musailamah memotong anggota badan Habib satu demi satu dan menyiksanya sehingga menemui ajal.Berita itu sampai kepada Ummu Umarah,maka beliau sangat sedih di atas kematian anaknya.Beliau bersumpah untuk ikut menghadiri dan memerangi orang-orang Musailamah.


Bala tentera kaum Muslimin keluar dari Madinah menuju tanah Yamamah untuk memerangi orang murtad.Maka keluarlah Nusaibah bersama puteranya Abdullah sedangkan pada waktu itu Nusaibah telah berumur 60 tahun,tetapi beliau tidak lemah oleh ketuaannya.Beliau bersumpah untuk membalas tindakan yang dilakukan oleh Musailamah.


Ketika terjadi peperangan antara kaum Muslimin dan orang-orang murtad,pada mulanya kaum Muslimin berundur ke belakang.Tetapi panglima mereka Khalid bin al-Walid berteriak: "Wahai Muhammad ingatlah!" Teriakan itu menyentuh hati kaum Muslimin,maka timbullah semangat mereka.Ummu Umarah tidak dapat menahan diri,lalu menghunus pedangnya menyerang musuh.Namun,Nusaibah mengalami luka yang teruk dan tangannya terputus.Beliau tetap terus berlawan memerangi pasukan berkuda dan menuju ke hadapan sehingga bertemu Musailamah,lalu membunuhnya.Lapang hatinya dan terpadamlah kemarahannya.Beliau kembali ke rumah dengan keadaan tangannya yang sakit.Khalifah mengetahui keaadaannya lalu memberi kata semangat kepadanya.


Akhirnya,Nusaibah kembali ke rahmatullah.Maka berakhirlah kisah hidup seorang pejuang wanita yang cintakan kebenaran dan keadilan.Beliau menghirup pelajaran Nabi s.a.w iaitu iman yang teguh dan jernih.Beliau menyertai beberapa peperangan dan menjadi ibu teladan bagi kemuliaan seorang mukminah.

Wallahu taala a'alam


(Adaptasi dari Kisah-kisah Wanita Teladan,Pustaka Ilmi)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails