Thursday, December 24, 2009

Ideologi Baru Untuk Muslimah?





nasionalisme

secularisme

liberalisme

pluralisme

materialisme

racisme

darwinisme

Pernahkah anda mendengar perkataan-perkataan di atas? Itulah yang dikenali sebagai ideologi-ideologi moden. Semakin moden, semakin banyak ideologi atau fahaman baru yang muncul. Sebenarnya banyak lagi, kalau disenaraikan semua sekali mungkin saya terpaksa buat siri kedua untuk tajuk kita pada kali ini.

Jika dulu, pada zaman kerajaan khilafah Islam, umat Islam ketika itu diserang dan dipengaruhi oleh ajaran-ajaran yang sesat seperti mu'tazilah, qadariah, jabariah dan murjiah. Bahaya sungguh fahaman ini, banyak pendapat dalam ajaran-ajaran tersebut yang tidak selari dengan ajaran Islam. Walaubagaimanapun, pengaruhnya sangat kuat sehingga dapat mempengaruhi pemerintah ketika itu. Ulama-ulama yang menentang akan ditentang. Penjara merupakan tempat bagi ulama ketika itu. Antaranya ialah Imam Abu Hanifah yang ditangkap kerana mempertahankan kesucian Al-Quran.

Itu semua kisah lama, kini kita diserang pula dengan idelogi-idelogi dari barat. Apa yang ingin saya ketengahkan pada kali ini ialah satu fahaman yang menyerang sebahagian muslimah. Hampir-hampir mereka menjadi kafir dengan sebab fahaman ini!

Ia lebih dikenali sebagai 'feminisme'. Secara mudah, definisi bagi perkataan ini ialah satu fahaman yang memperjuangkan kesamarataan atau persamaan hak antara lelaki dan perempuan. Dengan melihat perkataan itu sendiri kita dapat mengagak apakah makna di sebaliknya. Perkataan feminine yang menunjukkan sifat keperempuanan menjadi pilihan golongan ini. Pada mulanya, ia berasal daripada barat. Ketika itu terdapat segolongan wanita yang berusaha untuk mendapatkan persamaan hak dalam bidang politik dan pemerintahan. Feminisme hanyalah nama bagi gerakan tersebut, kemudian ia terus berkembang sehingga menjadi satu fahaman yang mempengaruhi sebahagian wanita di seluruh dunia. Kemudian ia berkembang hingga ke Mesir tetapi telah bertukar nama menjadi 'islamic feminisme'. Definisinya juga turut berubah sedikit. Kali ini perjuangan mereka lebih tertumpu untuk mendapatkan persamaan hak dalam hal-hal yang berkaitan kekeluargaan dan harta seperti kuasa mentalak, harta pusaka, hak penjagaan dan aurat.



Sudah ramai yang terpengaruh dengan ini semua. Di luar negara ada contoh yang agak jelas iaitu Amina Wadud yang menjadi imam dan khatib untuk solat Jumaat yang ada lelaki di dalamnya sebagai makmum. Di Malaysia pun sudah banyak, mereka berani mempertikaikan hukum-hakam Islam. Antara yang paling jelas ialah Sister In Islam (SIS). Tanpa berpandukan sebarang tafsir atau ulama, mereka dengan sewenang-wenangnya bercakap dan menghuraikan kandungan Al-Quran yang mulia dan suci itu. Dalam kes model Kartika, mereka turut tidak ketinggalan untuk mengulas dan ‘buat pala’ dalam hal berkaitan perundangan Islam. Tetapi telah dibidas oleh tokoh-tokoh agama. Rujuk ini.

Saya cukup sedih dan terkejut apabila saya terjumpa sebuah blog seorang wanita yang saya rasakan sudah sedikit terpengaruh dengan fahaman ini. Dia juga merupakan lepasan institusi tahfiz terbesar di Malaysia. Dia menyatakan bahawa dia menyokong islamic feminisme. Adakah hanya kerana ada perkataan islamic di depan feminisme sudah cukup untuk menghalalkan sesuatu perkara? Bagaimana dengan islamic beer? islamic zina? islamic couple? islamic maksiat? Walaubagaimanapun, dia agak terselamat kerana mungkin dia tidak mengerti maksud islamic feminisme yang sebenar, bahkan dia telah memanipulasikan definisinya dengan mentafsirkan ia sebagai satu seruan agar kaum lelaki kembali kepada asal fitrah dan menunaikan tanggungjawab mereka sebagai lelaki. Sebenarnya perkara ini tidak perlu kerana Islam yang syumul itu telah menyatakan perkara ini bahkan dalam Islam ia lebih adil kerana memerintahkan supaya kaum lelaki dan kaum perempuan agar sama-sama berusaha untuk menunaikan tanggungjawab mereka dan menjalankan amanah dengan sebaik-baiknya.




Pengamal dan pejuang islamic feminisme lebih teruk daripada mereka yang memperjuangkan feminisme barat kerana di barat mereka menentang ketidakadilan yang berlaku disebabkan kezaliman dan kejahilan pemimpin barat, manakala pendokong islamic feminisme menentang syariat Allah, hukum-hakam, ulama dan sistem Islam.

Mungkin ada yang tidak faham mengapa mesti Allah bezakan tanggungjawab dan kelebihan suatu jantina atas suatu jantina yang lain.

1. Sebenarnya yang paling utama untuk kita ketahui ialah Allahlah yang menciptakan kita, Dia juga Maha Mengetahui akan segala sesuatu. Jadi Allah lebih arif dan pakar dalam menetapkan tanggungjawab bagi makhluk-Nya, Dia lebih tahu apa yang sesuai.

2. Bagi sesiapa yang benar-benar mengkaji dan memperhatikan perbezaan yang ada pada kedua-dua jantina ini, maka dia akan mendapati bahawa memang terdapat perbezaan dari pelbagai sudut seperti biologikal, emosi, pemikiran, cara, sifat dan tingkah laku yang menyebabkan perlu wujudnya perbezaan tugas dan tanggungjawab agar ia bersesuaian dengan perbezaan yang ada pada kedua-dua jantina tersebut.

3. Mungkin ada juga yang merasakan seperti Allah tidak adil dalam menetapkan tanggungjawab, ia merasakan sesuatu tugas itu sebagai sangat baik dan menunujukkan kemuliaan sehingga menyebabkan ia merasa perlu untuk dia melaksanakan tugas itu. Sebenarnya ini adalah satu kefahaman yang salah. Cuba kita perhatikan analogi berikut. Terdapat dua alat yang berbeza, yang pertama ialah DVD player manakala yang kedua ialah VCD player. Kedua-duanya berjenama SONY. Kita dapat melihat bahawa kedua-duanya dipandang hebat dan berkualiti kerana berjenama SONY tetapi tugas dan peranannya berbeza disebabkan adanya perbezaan dalam penciptaan alat tersebut. Jadi tugas mereka juga berbeza dan sesuai dengan keadaan masing-masing. Begitulah juga dalam perkara ini, kita semua adalah hamba Allah yang sama tarafnya, tetapi ada perbezaan yang menyebabkan perbezaan tugas dan peranan. Semuanya sama taraf kerana berjenama ’hamba Allah’, apa yang dapat membezakan kita? Taraf kita di sisi Allah akan berbeza hanya dengan sebab taqwa, bukan sebab jantina, warna kulit, saiz, bangsa, duit atau apa sahaja perkara lain yang biasa dijadikan ukuran oleh sesetengah masyarakat kita.



Seruan dan pesanan saya kepada wanita, khususnya kepada mereka yang memperjuangkan feminisme atau islamic feminisme, tinggalkan segera fahaman ini, mungkin dengan sebab ini aqidah anda boleh rosak. Jika anda ingin memperjuangkan hak anda, maka perjuangkanlah hak anda untuk menutup aurat. Di kala muslimah Turki habis-habisan menuntut hak menutup aurat di sana, kita di sini habis-habisan menuntut supaya diberi kebenaran agar free hair dibenarkan, agar kain boleh dibelah, agar baju boleh diketat, agar tudung boleh di’Bienda’, agar paha boleh ditunjuk, agar lurah boleh didedah, agar kain boleh terangkat sehingga menggersangkan si Adam yang lemah imannya. Kononnya inilah hak asasi dan kebebasan bersuara.

Ingatlah wahai isteri para menteri, datin-datin, atau siapa sahaja anda, Allahlah penentu segalanya, penentu kebebasan dan batasan bagi kita semua.

Jika masih ada yang ingin anda perjuangkan, maka perjuangkanlah maruah wanita yang sudah dilelong kesana kemari. Halanglah mereka dari menjadi model yang sekadar pemuas nafsu. Tidak ketinggalan juga mereka yang sekadar menjadi daya penarik dan pelaris barang jualan. Hampir semua produk yang dikeluarkan oleh Jepun mempunyai model yang seksi di sebelahnya. Perkara inilah yang perlu anda hentikan, perjuangkan hak anda untuk tidak dimanipulasi oleh mereka yang hanya mementingkan keuntungan dan wang ringgit. Lagipun ia suatu kebaikan untuk syarikat itu sendiri, mengapa? saya bimbang sekiranya produk mereka itu tidak laku kerana adanya ’produk’ lain yang lebih ’sempoi’, ’mantap’ dan ’mengancam’ di sebelahnya.
ART
Akhir kata, elakkan feminisme dan segala yang berkaitan dengannya. Perjuangkan apa yang telah Islam tetapkan, nescaya segala hak dan keperluan kamu akan dipenuhi.



klik sini, contoh pendapat berdasarkan logik SIS


 

ARTIKEL INI ADALAH HASIL NUKILAN MANTAN PRESIDEN BADAR SBPIKP 06/07, MUHAMMAD NASIRUDDIN BIN MOHD. SOBRI (http://almomentum.blogspot.com)



Friday, December 18, 2009

aurat perempuan itu adilkah..???

Bismillahir-Rahmanir-Rahim

"adilkah aurat perempuan nie?? knapa perempuan kena tutup semua anggota bdnnya except tapak tangan ngan muka jarh..??
knapa aurat lelaki nie limit sngat..?? tak adil arhh!!!" persoalan yang sebegini mmg sering kali kita dengar, sering kali dihujahkan.. bahkan jujurnya, dulu pun ana ada terfikir dan jiwa remaja ana pun turut memberontak..! tapi, satu hari, punya leka ana duk cari bhn blog, ana terbaca satu entri di page Ust Zaharuddin Abd Rahma nie..

..... ini adalah beberapa perbincangan ustaz tersebut dgn seorang wanita yang agak berjaya dan berpendidikan orangnya.....

"Ustaz mengapa kami kaum wanita kena tutup aurat banyak dan sukar, tapi lelaki sikit aja. Adil ke begitu ustaz?" Tanya seorang wanita yang bertitle PhD dalam bidang ekonomi kepada saya(ustaz tersebut).

"Dr tahu tak berapa jarak matahari ke bumi? " Tanya saya(ustaz tersebut) membalas.

"Emm, tak ingat la ustaz, kenapa pulak? Bagaimana soalan saya tadi" Pakar ekonomi ini cuba mengingatkan saya(ustaz tersebut).



"Cuba Dr bayangkan, kalau jarak antara matahari dan bumi ini tiba-tiba berubah jadi seinchi rapat, apa agaknya akan jadi kat kita?" Soal saya(ustaz tersebut) mengajaknya berfikir.



"Rasanya jika ikut teorinya, mesti hancur lebur dan cair penduduk bumi kot, ustaz" katanya.



"Jadinya, Dr setuju tak kalau saya kata bahawa Allah SWT begitu mahir dan amat tepat dalam seluruh urusannya, jika tidak..sudah tentu kita tak boleh hidup di dunia ni, bumi asyik berlaga, siang malam tak tentu hala dan tumbuhan semuanya kelam kabut tumbuhnya" Jelas saya(ustaz tersebut) sedikit panjang.



"Benar ustaz, saya amat bersetuju tentang Allah maha mengetahui dan berkuasa" katanya sambil mengangguk.

"Jika demikian, mengapa Dr boleh timbul rasa sangsi tentang keadilan dan kebijaksanaan Allah dalam mengarahkan wanita menutup aurat begini, dan lelaki begitu?" Saya cuba membawa semula kepada topik awalnya.

"Hmmm, ye tak ye jugak ustaz kan, betul-betul tak patut saya rasa begitu, astahgfirullahah azim " sambil menggeleng kepalanya perlahan.




Bagi sesetengah orang yang bijak, mungkin fakta ringkas (ustaz tersebut) tadi sudah cukup untuk memberi faham kepada jiwa dan hati. Walau bagaimanapun, ia mungkin sekali tidak berkesan buat setengah yang lain.



Jawapan lazim yang kerap digunakan oleh golongan ustaz2 apabila ditanya soalan sebegini adalah kembali kepada pengertian adil dalam Islam. Iaitu meletakkan sesuatu pada tempatnya. Contohnya ‘favorite'nya pula, menyebut "adil tak meletakkan kupiah di atas kepala lutut?."

Benar dan saya(ustaz tersebut) bersetuju itulah takrif adil tersebut, iaitu "meletakkan seseuatu pada tempatnya", lalu tak semua benda patut kita letakkan pada tahap yang sama, seperti kita mengharapkan anak kita berumur 14 bulan untuk mengerti bahayanya memakan semua benda kecil yang dijumpainya di atas lantai.

"EEee, budak ni tak reti ke benda-benda ni kotor? " tempik seorang ibu kepada anaknya kerana memasukkan dalam mulutnya kotoran di lantai dapur rumahnya.

Saya(ustaz tersebut) yakin, kita semua faham bahawa tidak adil untuk kita memarahinya kerana ia baru berusia 14 bulan. Berbeza jika ia berusia 14 tahun dan cergas aqalnya tetapi masih memungut dan makan semua yang dijumpainya di atas lantai. Itu sememangnya patut dikesali.

Dari sudut Islam, kita harus memahami bahawa Allah SWT maha bijak dalam mengatur hukum di atas dunia ini. Apa yang memudaratkan manusia secara tersurat dan tersirat akan diletakkan had dan batasan untuk dikurangi atau dijauhi. Apa yang bermanfaat dan baik sahaja yang akan digalakkan dan dibenarkan.
"Mereka menanyakan kepadamu: ""Apakah yang dihalalkan bagi mereka?"" Katakanlah: ""Dihalalkan bagimu yang baik-baik" ( Al-Maidah : 4)



Justeru, apa yang ‘neutral' atau ‘harus' hukumnya akan dibiarkan terbuka (tanpa sebarang larangan) sebagai rahmat dan kemudahan kepada umat manusia. Fakta ini datang dari sabda Nabi SAW :

هSesungguhnya Allah telah memfardhukan pelbagai perkaar wajib, maka janganlah kamu mengabaikannya, dan telah menetapkan had bagi beberapa keharusan, maka janganlah kamu melewatinya, dan juga telah mengharamkan beberapa perkara, maka janganlah kamu mencerobihinya, dan juga telah mendiamkan hukum bagi sesuatu perkara, sebagai rahmat kemudahan buat kamu dan bukan kerana terlupa, maka janganlah kamu menyusahkan dirimu dengan mencari hukumannya" ( Riwayat Ad-Dar Qutni, ; Ad-Dar Qutni : Sohih, An-Nawawi : Hasan )


Perempuan Lebih Sukar?

Pernah sekali di Brunei, selepas tamat kursus yang saya(ustaz tersebut) kendalikan, datang seorang peserta wanita lalu berkata :

"Tapi ustaz, orang lelaki mudah le dapat tutup aurat dengan sempurna, sebab depa senang, sikir benor auratnya". Tegasnya.

"Jika puan rasa susah, tapi buat juga kerana Allah, lagi banyak pahala puan dapat, untung orang perempuan, tutup je aurat terus dapat pahala setiap saat, berganda dari pahala orang lelaki kerana mereka tidak berapa sukar" jawap saya menarik minatnya.

"eh, betul ke ni ustaz" sambil tersenyum luas.

Berminat betul nampaknya dia kali ini sehingga nampak jelas raut wajahnya ingin penjelasan lanjut.

"Benar, InshaAllah.." Kata saya(ustaz tersebut).

Kata saya(ustaz tersebut) ini berdasarkan satu hadith yang menyebut



إن لك من الأجر على قدر نصبك ونفقتك

Ertinya : "Sesungguhnya bagi kamu ganjaran pahala berdasarkan kepada kadar keletihan dan belanja ikhlas kamu" (Riwayat Ad-Dar Qutni dan Al-Hakim)

Menurut Imam Ibn Hajar di dalam Fath al-bari menjelaskan bahawa hadith ini pernah disebutkan oleh Nabi SAW kepada Aisyah r.a berkenaan umrah yang dilakukan oleh Aisyah. Dimana Nabi SAW diriwayatkan menyebut :



إنما أجرك في عمرتك على قدر نفقتك

Ertinya : "Sesungguhnya ganjaran pahalamu (wahai Aisyah) ketika umrahmu ini adalah berdasarkan kadar kesukaran dan wang yang dibelanjakan"

Imam An-Nawawi pula berkata :-

الحديث أن الثواب والفضل في العبادة يكثر بكثرة النصب والنفقة

Ertinya : "Zahir hadith ini menunjukkan ganjaran dan pahala dalam ibadah akan bertambah dengan bertambahnya keletihan dan belanja yang dikeluarkan"

Bagaimanapun ulama sepakat menyatakan bahawa konsep pahala lebih besar apabila amalan lebih sukar dan letih" ini, tidaklah terpakai di dalam semua keadaan, kerana terdapat beberapa jenis ibadat yang ringan tetapi mempunyai pahala yang amat besar, seperti ucapan zikir tertentu yang disebut oleh Nabi SAW, demikian juga berbezanya solat tahajjud di bulan biasa dan di bulan Ramadhan. Kelebihan solat sunat Witr atas solat sunat tasbih yang jauh lebih sukar dan lain-lain. Demikian juga yan ditegaskan oleh Imam Izzudin Abd Salam ( Qawaid al-Ahkam fi Masalihil Anam)

Hukum Asal & Fitrah

Hasilnya, yakinilah bahawa Allah SWT maha adil dalam menentukan tanggungjawab kepada lelaki dan wanita. Sememangnya Allah SWT memerintahkan kaum Hawa untuk menutup auratnya dengan begitu luas; Malah ini kerana menurut hukum Islam yang asal, kerja mencari nafqah adalah merupakan tanggungjawab utama kaum lelaki. Bertepatan dengan tugasan asalnya itu, secara umumnya kaum lelaki diberikan lebih kemampuan fizikal, mental dan kemudahan dalam menutup aurat agar mudah ia ke hulu dan ke hilir mencari nafqah buat keluarganya. (Fatawa Az-Zarqa, hlm 290, cet Dar Al-Qalam)

"Habis ustaz nak orang perempuan duk rumah je la ni?" desak seorang wanita, sambil menjeling saya(ustaz tersebut) dengan jelingan kurang puas hati.

Saya tidak menafikan keperluan wanita untuk bekerja hari ini, ia adalah satu fenomena yang sudah terlewat dan amat sukar untuk dielakkan. Namun, pandangan bebas saya menyatakan, keperluan wanita untuk bekerja timbul hari ini adalah apabila timbul masalah kekurangan kaum lelaki yang berkemampuan untuk menjalankan semua tugasan yang sepatutnya dijalankan oleh mereka di luar rumah.

Adakah kita sedar bahawa punca kelemahan anak-anak lelaki dalam hal ini kemungkinan berpunca dari rumahnya?.

Pernahkah anda mempunyai anak lelaki ? Bagi yang pernah, saya kira perbezaan dalam menumpukan perhatian dan penjagaan anak lelaki sejak kecil adalah ketara berbadning kanak-kanak wanita.

Hasilnya, keagresifan anak-anak lelaki memerlukan lebih didikan dan tumpuan, jika tidak, ia berpeluang untuk menjadi kaki buli di sekolah, malas belajar, bermain lebih dari belajar dan akhirnya mendapat ijazah rempitan di atas jalan raya. Nauzubillah.

Kerana itu, rumah dan pendidik di rumah terbaik adalah seorang ibu. Pendidikan di rumah teramat penting bagi mencorakkan sikap dan sifat anak-anak di hari kemudian, terutamanya kemampuan si anak lelaki. Iaitu samada ia mampu menggunakan tenaga fitrahnya yang gagah untuk mentadbir dunia dengan adil dan baik atau sebaliknya. Jika tidak, akan berterusanlah kekurangan tenaga lelaki yang mahir dan rajin di dalam industri pekerjaan, dalam masa yang sama pula peranan wanita yang lebih mudah dibentuk sejak kecil dan rajin, pasti terkehadapan. Lalu berbondong-bondonglah kaum wanita di tawar bekerja.

Di ketika itulah timbulnya isu, sukarnya wanita untuk menjaga auratnya semasa ia bekerja, ke sana ke sini, bermesyuarat di sana sini. Walhal, Allah SWT sememangnya tidak memperuntukannya untuk kaum wanita terlalu sibuk dan terbuka sedemikian. Malah juga tidak begitu tepat menurut fizikal dan mentalnya. Kemantapan mental, ketabahan sabarnya, kelembutannya pada hakikatnya adalah khas untuk anak-anaknya demi melahirkan keluarga, masyarakat dan Negara yang dipimpin oleh individu yang cukup kasih sayang ibunya. Malangnya, sifat lembut, taat, sabar dan kehebatan pshcologi itu telah dihabiskan dan digunakan kepada kerjaya, ‘boss' dan kakitangan yang lain. Tinggallah yang hampas dan sisa buat anak-anaknya.

Kaum lelaki secara purata sememangnya agak kurang mampu untuk bersabar dengan tangisan anak dan karenah mereka. Lalu dihantarlah anak-anak ini ke pusat penjagaan kanak-kanak. Kesan jangka panjangnya, akan lahir anak-anak lelaki yang tidak ‘menjadi' akibat dididik oleh individu yang tidak professional lagi melepas batuk di tangga. Iaitu di kebanyakan TASKA yang menghimpunkan berpuluh kanak-kanak sekaligus dengan 3-4 orang wanita muda bujang sebagai pendidiknya. Mampukah anak-anak dididik dengan berkesan dalam suasana begini.?

"Begini, saya kata ikut hukum asal yang Allah letak memang begitu, cuba bayangkan betapa sukarnya wanita bekerja hari ini untuk melaksanakan tugasnya dalam keadaan ‘senggugut', sakit perut, mengandung dan bersalin. Sekiranya ia telah menapoous pula, sukarnya tiba-tiba perlu ke sana sini seorang diri, bermesyuarat bersama lelaki berdua-duaan dan sebagainya"



"Mereka sepatutnya lebih dimuliakan dengan diberi kerehatan cukup di rumah sambil membina pimpinan dan generasi soleh masa depan, iaitu anaknya dan keluarganya" Ulas saya, walaupun saya tahu, isu ini amat panjang untuk dibincang serta amat sukar untuk memuaskan hati kaum wanita moden zaman ini.



Nabi SAW bersabda :
Ertinya : "Bagi seorang wanita untuk menunaikan solat di tempat tidurnya adalah lebih baik dari menunaikannya di biliknya, dan menunaikannya di biliknya lebih baik dari menunaikannya di rumahnya, dan menunaikannya di rumahnya lebih baik dari menunaikannya di masjid" ( Riwayat Abu Daud, Ahmad, 6/371 ; Ibn Athir : Hasan 11/200 )

Hadith di atas jelas membuktikan betapa tempat yang sebaiknya bagi wanita untuk mendapatkan pahala terbesar adalah di rumahnya. Manakala, bidang institusi keluarga, pendidikan anak dan menjaga keamanan rumah tangga WAJIB TIDAK DIPANDANG REMEH, malah ia sebenarnya amat sukar, malah ia menyamai kepimpinan sebuah negara. Pandangan remeh terhadapnya adalah kesilapan utama wanita moden zaman kini hingga terlalu berhasrat menjaga syarikat dan berbakti kepada negara sedangkan ; mendidik anak-anak dengan cemerlang adalah sumbangan terhebat kaum wanita buat Negara yang tidak mampu disaingi sama sekali oleh kaum lelaki.

Akibatnya berbondong wanita bekerja, kemudiannya apabila kaum wanita hari ini didedahkan dengan pelbagai hadith Nabi berkenaan adab Islam yang perlu dituruti olehnya. Ramai yang merasakan ia seolah-olah mustahil dan tidak ‘up to date' sehinggakan dirasakan Nabi SAW tidak tepat dalam kata-katanya. Lebih buruk, adalah dituduhnya Nabi SAW bersikap ‘bias' atau berat kepada kaum lelaki, kerana baginda sendiri adalah lelaki. Lebih serius dari itu, yang menuduh Islam sudah ‘out dated'. La hawala wal quwwata Illa Billah.



Wanita dan Wangian

Antara kesilapan kerap yang dilakukan oleh kaum wanita apabila sudah keluar bekerja hari ini adalah berwangian dengan pelbagai jenis ‘perfume' sewaktu keluar dari rumahnya.

" Ala ustaz, takkan ustaz nak kami busuk ustaz" Tanya seorang wanita kepada saya(ustaz tersebut).

Busuk atau tidak itu adalah bergantung kepada sikap kebersihan seseorang. Diharuskan wanita memakai sabun ketika mandi, dan bauannya yang seidkit juga harus. Bagaimanapun, yang menjadi masalah kini adalah yang bergeluman dengan wangian, sehinggakan 30 meter jarak darinya pun sudah dapat dihidu baunya.

Nabi SAW mengingatkan kaum wanita dengan sabdanya :

Ertinya : "Mana-mana wanita yang berwangian dan kemudian lalu dikhalayak lelaki bagi menarik lelaki dengan wangiannya, maka ia adalah seperti wanita penzina, dan setiap mata (lelaki) yang (tertarik lalu) memandangkan adalah mata yang berzina" ( Riwayat Abu Daud, At-Tirmidzi dan Albani : Hasan Sohih)

Tahukah kaum wanita bahawa lelaki normal mudah terangsang dan naik syahwatnya apabila menghidu bauan wangi si wanita?

"Tapi memang itu tujuan sebahagian mereka pakai wangian" Kata seorang wanita.

Jika itulah tujuannya, ia harus berdepan dengan seghala masalah dan bahaya dari kaum lelaki yang buas, tika itu...janganlah ia marahkan si lelaki tersebut.

Apabila sudah bekerja juga, banyak aurat yang terbuka di sana sini dengan hujjah ‘panas', sukar nak jaga, sukar nak bergerak, permintaan boss dan syarikat, ‘untuk nampak elegan' , supaya tak nampak macam mayat berjalan dan lain-lain lagi. Akhirnya dikorbanan hukum dan akhiratnya UNTUK DUNIANYA. Amat simpati saya terhadap kaum hawa sebegini. Allahul Musta'an.


Nabi SAW pernah bersabda :



ما من امرأة تضع ثيابها في غير بيت زوجها إلا هتكت الستر بينها وبين ربها

Ertinya : Tiada seorang wanita pun yang membuka auratnya (pakaiannya) di rumah atau tempat selain rumah suaminya (atau ayahnya tanpa kewujudan orang luar) kecuali dia telah merempuh tabir (sempadan yang digariskan) di antaranya dan tuhannya" (Riwayat Ahmad, 6/301 ; Albani : Sohih)

Akhir kata ; Wanita yang terbaik adalah Maryam, Fatimah dan Khadijah...pelajarilah tentang mereka bagaimana untuk mendapatkan hidup indah di akhirat yang kekal buat selamanya. Ameen..


.: semoga artikel ini dapat membuka mata, telinga dan fikiran kita mengenai segala ketetapan yang telah Allah tetapkan..:.
WALLAHUA'LLAM..

Thursday, December 17, 2009

kisah 'GAdis keCIl..'

salam..
baru-baru ini ana ada melawat satu blog, dalam tengah sbuk mencari idea, out of the blue ana terbaca dan terjatuh cinta dengan cerpen kisah gdis kecil ini.. ^_^ jadi ana terfikir untuk berkongsi cerpen ini kerana walaupun cerpen ini ringkas namun moral value yg tercelit cukup banyak dan memBERANSANGKAN..! bhsa pun ringkas jgk.., jd,slamat MEMBACA yerh...!:P

Episod Satu: Pertemuan Pertama

Februari 1990

Jam menunjukkan pukul 7 pagi. Aku benar-benar pasti kerana berkali-kali aku menatap jam yang terlekat di pergelangan tangan kiriku. Hari ini, aku rasakan jarum panjang dan pendek itu bergerak begitu perlahan. Terkedek-kedek. Ah~!! Mungkin aku dalam keresahan, resah menantikan sebarang kemungkinan yang bakal terjadi pada hari pertamaku ini.

Aku mengatur langkah kakiku menuju masuk ke kawasan sekolah dengan sejuta satu rasa yang bercampur baur. Hari ini hari pertama aku di sini. Bertugas sebagai seorang guru praktikal di sebuah sekolah yang agak terpencil. Sekolah ini cuma ada tiga buah bangunan. Dua bangunan lama setingkat dan satu bangunan baru 4 tingkat yang sememangnya baru disiapkan. Mungkin hadiah daripada kerajaan negeri kerana pilihanraya baru sahaja berlangsung. Aku tersenyum sendirian.

Aku tersenyum lagi melihat sebuah kolam yang letakknya berhampiran pintu pagar sekolah. Di sekelilingnya terhias pohon-pohon rendang. Juga terdapat air terjun yang mengalir tanpa henti. Panorama indah itu sedikit sebanyak mampu memujuk hatiku yang resah. Aku tersenyum lagi. Segala puji hanya bagi-Mu Allah.

Suasana masih sunyi namun kian menjadi hingar. Beberapa orang murid mulai mengisi ruang sekolah. Ada yang memandang aku kehairanan, mungkin aku terlalu asing bagi mereka. Aku mengerti kerana hari ini hari pertama aku menjejakkan kaki ke sini. Setelah aku menghadiahkan senyuman, mereka tidak lokek membalasnya semula, terhibur juga aku melihat telatah mereka di pagi hari.

Aku terus menyusun langkah. Aku terlihat sebuah bangku cokelat berhampiran dengan tempat parking kereta guru, lalu aku terus melabuhkan punggungku di situ. Melepaskan lelah seketika waktu sementara menanti ketibaan guru dan pegawai yang harus aku temui pada hari pertama itu.

Seorang demi seorang murid melintasi pintu pagar sekolah. Aku sekadar menjadi penonton bisu. Ada pelbagai gelagat dan keletah kadang-kala membuatkan aku tergelak kecil sendirian. Gelihati. Tiba-tiba, tidak semena-mena bola mataku tertancap pada seorang gadis kecil.

Di belakangnya tergalas beg sekolah yang kusam dan terkoyak,aku dapat melihatnya dengan jelas. Dia mengatur langkah longlai sambil tangan sebelah kanannya memegang sebekas tupperware. Tubuhnya kecil, rambutnya pendek paras leher, hitam, lurus dan lebat. Bukan saja beg yang koyak, kasutnya juga koyak. Aku tersentuh melihatnya. Perasaanku dirundung hiba tiba-tiba. Sayu aku melihatnya.

Gadis kecil itu terus mengatur langkah, tidak sedar aku sedang memerhatikannya. Dia jalan menunduk. Merenung tanah yang bakal dipijaknya. Pandangan matanya bagaikan kosong, sedang melayang terlalu jauh. Wajahnya suram, bagai ada hirisan di hatiku kala mata kami bertautan.

Mata gadis kecil itu seolah-olah terlalu sarat dengan derita. Terlalu sukar untuk aku membacanya. Apakah yang sedang kau fikirkan wahai anak kecil? Aku bermonolog sendirian.

___________________________________________________

Episod Dua: Hikmah Sebalik Pertemuan

Aku membetulkan tag nama yang tersemat di dada kanan ku. Tag itu tertera namaku "Nora Asyikin". Aku tersenyum menatapnya. Tudung yang sudah elok aku perbetulkan lagi, bimbang kalau-kalau penampilan pada hari pertamaku itu mengakibatkan persepsi yang buruk terbit dari minda anak muridku.

Aku berdiri tegak. Berdehem kecil beberapa kali untuk melegakan tekak. Kedua belah tanganku aku genggam dan lepas berulang kali. Seiring itu juga aku menarik nafas yang dalam beberapa kali. Aku masih berdiri di hadapan kelas 2 Mawar. Masih teragak-agak untuk melangkah masuk. Setelah membaca beberapa doa yang aku hafal, aku meyakinkan diri untuk terus melangkah masuk ke dalam kelas.

Sebaik sahaja aku masuk, suasana kelas yang tadinya bising menjadi senyap tiba-tiba. Seorang pelajar yang duduk di meja paling hadapan berdiri memberi salam padaku. Lalu aku tahu, dialah ketua darjah kelas 2 Mawar. Aku menghadiahkan senyuman kepada semua pelajar lalu menyuruh mereka duduk. Semuanya bagaikan robot, akur dengan kata-kataku.

Bilangan murid kelas 2 Mawar 26 orang semuanya. Sekolah ini tidak besar, jumlah pelajar keseluruhan dari darjah satu hingga darjah enam tidak melebihi 500 orang. Setiap darjah cuma ada 2 kelas dan bilangan murid bagi setiap kelas lebih kurang 30 orang sahaja. Aku berkira-kira di dalam hati. Kesemua 26 pasang mata sedang memandang tepat ke arahku. Ada yang tersengih-sengih menatapku dan ada juga yang sekadar endah tidak endah.

"Apa khabar semuanya? Sihat tak?" Aku memulakan bicara.

"Sihat!!" suara murid bergema menjawab soalanku serentak.

"Alhamdulillah.. siapa tahu sekarang ni waktu untuk subjek apa?" Aku memancing lagi.

"Mathematic!!" sekali lagi suara murid kelas 2 Mawar bergema. Aku senyum lalu menganggukkan kepala.

"Pandai semuanya. Alhamdulillah. Saya cikgu Nora Asyikin, guru pelatih akan mengajar kelas kamu subjek mathematic mulai hari ini, sampailah ke masa yang telah di tentukan, siapa suka matematik? " Aku mula berkeyakinan untuk berhadapan dengan murid-murid di hadapanku, panjang lebar aku berceloteh. Mereka mendengar, ada yang mengangkat tangan dan ada yang cuma tersengih menampakkan giginya yang rongak. Hatiku tercuit.

"Baiklah, hari ini cikgu tak akan terus mula mengajar, cikgu nak kenal-kenal dulu dengan kamu semua. Boleh tak cikgu tahu apa nama kamu sorang demi sorang?" Aku terus menyusun strategi. Murid-murid 2 Mawar mula kelihatan menerimaku dengan senang. Di dalam hati aku bersyukur. Mereka berama-ramai setuju untuk memperkenalkan diri masing-masing.

Seorang demi seorang murid berdiri memperkenalkan nama masing-masing. Ada Amin, Yusri, Helmi, Halimi, Muhammad, Azri, Hanif, Arif, Azmi, Hazizi, Baharom, Faizal, Anuar dan Syukri. Aku cuba sedaya upaya aku untuk menyimpan wajah dan nama mereka kemas-kemas dalam mindaku. Untuk menghafal semuanya dalam masa satu jam bukan mudah, syukur juga kerana mereka turut memakai tag nama, setidak-tidaknya kemudian hari aku tidak perlu bertanya soalan serupa berulang kali.

Baris demi baris berlalu akhirnya tiba giliran murid perempuan yang berambut pendek. Aku agak terkejut melihatnya, entah bagaimana aku tidak sedar kewujudan dia di dalam kelas ini dari tadi. Mungkin kerana fizikalnya yang kecil? Entahlah.. Namun dia tidak asing bagiku. Kali pertama melihatnya aku sudah merasakan bagai ada tarikan magnet antara kami. Tarikan yang misteri yang terlalu sukar untuk aku tafsirkan.

Dialah gadis kecil yang pernah aku lihat sewaktu aku sedang duduk di bangku berhampiran pintu pagar sekolah awal pagi tadi. Dia menarik kerusinya ke belakang lalu berdiri memandang ke arahku. Dia cuma tersenyum. Jantungku berdegup laju sedikit dari sebelumnya. Ada pelbagai persoalan yang sedang bermain dibenakku. Namun aku memujuk diri supaya bersabar dahulu.

Mungkin Tuhan sengaja menemukan aku dengannya. Apakah hikmah yang tersembunyi, hanya Allah Yang Maha Mengetahui.

_______________________________________


Episod Tiga: Kian Dekat

Dia masih berdiri dan tersenyum memandang ke arahku. Aku terpaku seketika. Bagai tersedar dari lamunan panjang, aku membalas senyumannya.

"Saya Siti Khadijah Binti Ibrahim, cita-cita saya mahu jadi cikgu" gadis kecil itu berkata-kata. Wajahnya redup memandang ke arahku. Di bibirnya masih terukir senyuman. Aku menganggukkan kepalaku berulang kali. Aku juga senyum padanya.

"Kenapa mahu jadi guru?" Aku bertanya lagi, sengaja menarik perbincangan lebih panjang dengan dia.

"Sebab jadi cikgu nanti dapat banyak hadiah bila hari guru.." Dia menjawab lirih. Aku tergelak kecil mendengarnya. Dia juga tersengih melihat aku. Beberapa ketika kemudiannya, aku mempersilakan dia kembali duduk di tempatnya.

Dia hanya menurut. Dia kembali duduk. Aku beralih kepada murid yang lain pula. Dari hujung mata aku sempat melihat wajahnya kembali suram seperti mana teduhnya wajah itu ketika kali pertama aku melihatnya. Dia melontar pandangannya jauh ke luar tingkap. Melayangkan lamunannya jauh tidak bertepian. Mungkin khayalannya sudah menjejak awan puti. Aku biarkan saja dia dengan lamunannya. Makin hebat perasaanku berperang sesama mereka. Bercampur aduk.

Usai bersuai kenal dengan semua pelajar kelas 2 Mawar, aku kembali ke meja di hadapan kelas. Meja guru. Aku melabuhkan punggung ke kerusi. Melepaskan penat seketika. Jam di pergelangan tanganku aku tatap sekali lagi. Lagi 10 minit masa mengajar akan berakhir. Aku kembali bingkas. Berdiri betul-betul di hadapan kelas. Menghadap ke semua pelajar kelas 2 Mawar. Aku menyambung sepatah dua kata sekali lagi sebelum mengakhirkan kelas pertama pada hari itu. Terasa bagaikan masa berlalu begitu pantas. Tidak terkejar olehku.

Aku mengemas barang milikku di atas meja guru. Lalu aku memeluk buku dan file rapat ke dadaku. Ketua kelas berdiri di ikuti semua murid, mengucapkan terima kasih untukku. Aku sekadar senyum dan menganggukkan kepala.

Sebelum melangkah kaki keluar dari bilik darjah, sekali lagi aku mengerling ke arah Siti Khadijah. Dia sedang mengemas buku di atas mejanya. Tidak sedar aku mencuri pandang terhadapnya. Gadis kecil itu, gadis kecil yang telah berjaya mencuri perhatianku. Aku ingin mendekatinya, aku pasti mendekati dia. Aku harus mencari jalan untuk mendekati dia, aku harus! Bisikku di dalam hati.

______________________________________


Episod 4: Sekeping Hati yang Suci

Aku menatap jam yang terlekat di pergelangan tanganku sekali lagi. Waktu rehat cuma tinggal 15 minit. Cikgu Sofea Aleeya dan Cikgu Marlina terlebih dahulu ke kantin setelah aku memberitahu mereka bahawa aku bakal menyusul lagi beberapa minit. Namun sakit senggugut kali ini bukan calang-calang sakit. Aku lansung tidak dapat bangkit dari kerusiku. Dahiku berkerut menahan kesakitan. Peluh menitik dari setiap liang romaku. Aduh!

"Cikgu.." tiba-tiba aku terdengar suara kecil menyapaku dari belakang. Suara seorang kanak-kanak, aku boleh mengagaknya. Dengan lemah aku menoleh ke arah suara itu. Aku terkejut melihat Siti Khadijah berdiri di belakangku. Riak wajahnya seakan risau melihat keadaanku. Aku cuba mengukir senyum.

"Khadijah ada apa jumpa cikgu?" aku mengajukan soalan setelah terpaku beberapa detik. Gadis kecil itu masih lagi pegun di tempatnya berdiri.

"Cikgu sakit ke?" dia tidak menjawab soalanku, malahan menyoal aku semula.

"Cikgu tak makan ubat?" bertalu-talu dia bertanya kepadaku. Aku sekadar tersenyum, kemudian menggelengkan kepala.

"Sakit sikit saja, tak perlu makan ubat, sekejap lagi baiklah.." aku menjawab lemah. Senyuman masih terukir di wajahku, cuba menutup kesakitan agar gadis kecil di hadapanku itu tidak berterusan bimbangkan aku. Setelah melihat aku seola-olah tidak apa-apa, akhirnya dia tersenyum. Dia mungkin lega.

"Cikgu, saya belikan karipap untuk cikgu, ambiklah," ujar gadis kecil itu sambil menghulurkan beg plastik yang terisi dengan karipap. Aku menggeleng kepala, cuba menolak lembut. Aku kagum melihat keprihatinannya. Betapa suci hati seorang gadis kecil, namun aku keberatan untuk menerima karipap itu. Aku tahu dia bukanlah dari keluarga berada, dia lebih memerlukan karipap itu daripada aku.

"Takpe Khadijah, cikgu tak lapar, kamu makanlah.." aku cuba menolak, kata-kata itu terluncur keluar dari bibirku. Gadis kecil itu masih berkeras. Dia masih menghulurkan karipap itu kepadaku, tidak berganjak.

"Cikgu, saya beli karipap tiga. Saya dah makan satu, cikgu ambiklah dua. Saya lalu bilik guru tadi saya nampak cikgu sakit perut, saya takut cikgu lapar," gadis itu berceloteh di hadapan ku. Aku jadi tidak tergamak untuk kecewakan harapannya lalu aku menyambut hulurannya.

"Terima kasih ya, nanti cikgu belanja Khadijah pulak," Aku mengucapkan terima kasih. Dia tersengih memandangku. Mungkin seronok akan dibelanja olehku.

"Cikgu, lain kali kalau cikgu lapar lagi, cikgu jangan risau ye, kalau saya ada duit, saya belikan cikgu kuih," gadis kecil itu berceloteh lagi. Aku sekadar mampu tersenyum. Anak kecil sepertinya bukan tahu kalau pun aku beritahu bahawa aku sakit kerana senggugut. Lalu aku iakan saja. Aku anggukan kepalaku.

"Loceng dah nak bunyi dah..." aku mengingatkan gadis kecil itu setelah menatap jam di dinding bilik guru. Dia ikut sama memandang jam yang terlekat di dinding itu.

"Saya pergi dulu ya cikgu!" dia meminta diri lalu berlari keluar dari bilik guru. Hatiku tercuit melihat telatah gadis kecil itu. Hilang kisah sakit senggugutku. Melayan gelagat gadis kecil itu bagai penawar yang paling mujarab. Saraf-saraf kesakitanku kini berhenti menghantar isyarat ke otak. Sakit itu sudah tiada. Aku mengucapkan syukur kepada Ilahi di dalam hati. Sejenak kemudian, aku teringat karipap di tanganku. Sekali lagi aku tersenyum.


Sudah sebulan aku di sini. Aku panjatkan syukur yang tidak terhingga kepada Allah kerana mempermudahkan segala urusanku sepanjang keberadaan aku di sekolah ini. Allah Maha Mengetahui, Dia memberikan dugaan hanya kepada hamba-Nya yang benar-benar mampu memikulnya. Dan Allah juga tahu bagaimana gejolak perasaanku. Dia tahu segala yang telah aku lalui dan Dia juga tahu apa yang bakal aku tempuhi. Hanya kepada Dia aku berserah dan memohon. Hanya daripada Dia aku meminta pertolongan. Sesungguhnya aku mengaku, aku bukanlah hamba yang sempurna. Aku juga banyak melakukan khilaf. Hanya kepada Dia aku mengadu dan memohon keampunan.

Suasana bilik guru yang sunyi kini kembali riuh, guru-guru kini kembali ke meja masing-masing setelah selesai menjamu selera. Waktu rehat sudah berakhir. Dari jauh aku melihat Cikgu Sofea Aleeya dan Cikgu Marlina berjalan menuju ke arahku. Dari kejauhan aku dapat melihat riak wajah mereka, seolah-olah sarat dengan pertanyaan. Aku bersedia menghadapi mereka. Aku boleh mengagak apa soalan yang bakal ditanya. Aku melemparkan senyuman ke arah mereka. Terbit juga rasa kesal kerana mungkir janji dengan mereka berdua. Mungkin mereka lama menanti kehadiran aku di kantin. Memang aku bersalah kerana tidak menunaikan janji, tapi apakan daya, aku juga tidak bermaya.

Sepintas lalu aku teringatkan karipap di tanganku yang masih belum sempat aku jamah. Sekali lagi gelagat si gadis kecil menerjah fikiranku. Hatiku tercuit mengenangkan dia, aku tergelak kecil sendirian. Cikgu Sofea Aleeya dan Cikgu Marlina kini berdiri tepat di hadapanku. Kehairanan barangkali melihat aku tersengih sendirian. Belum sempat mereka mengajukan soalan, aku terlebih dahulu meminta maaf. Lalu aku memaklumkan apa yang terjadi sebentar tadi. Mereka berdua jelas risaukan keadaanku namun dengan segera aku memaklumkan kepada mereka bahawa aku kini sudah tidak sakit lagi.

"Jangan risau, saya tidak apa-apa, dah okey dah.." berkali-kali aku menjelaskan, namun mereka berdua masih lagi risaukan aku.

"Betul ni awak okey? Dah makan 'pain killer' ke?" Cikgu Marlina bertanya lagi.

"Dah.. gadis kecil 'pain killer' saya!" aku menjawab kemudian tergelak. Gelihati melihat wajah kedua-dua guru di hadapanku yang kehairanan semacam lagaknya. Dahi mereka berkerut, mulut mereka terbuka sedikit. Sungguh aku tidak mampu menahan gelak, di situ juga ketawaku berderai.

----------------------------------------------------

Episod 5: Hilang Di Mata

Suara unggas memeriahkan suasana malam. Irama yang jauh berbeza dengan keadaan di tempat tinggalku di kota besar, deruman enjin kenderaan memenuhi setiap ruang masa. Di desa ini aku berasa damai. Jiwaku tenang. Aku mengatur langkah menuju ke arah tingkap bilikku. Daun tingkap aku kuak perlahan, serentak itu aku dapat rasakan angin malam menyentuh pipiku. Dingin.


Malam ini bulan mengambang penuh. Indah. Spontan bibirku melafazkan Subhanallah. Aku masih berdiri di jendela, melontar pandangan jauh ke langit. Bulan itu cantik namun entah kenapa aku tetap jua mencari bintang-bintang. Sejak aku kanak-kanak, aku sangat gemar merenung langit, mencari bintang. Mengira bintang. Hinggalah akhirnya aku mengenal buruj, membuak-buak cita-citaku untuk menjadi seorang astronomer. Teringat kenangan silam membuatkan aku tersenyum sendirian. Membayangkan teleskop di sekolah lama dan kenangan bersama teman-teman lama. Indahnya zaman kanak-kanak.


Bagai tersedar dari lamunan, aku tiba-tiba teringatkan si gadis kecil, Siti Khadijah. Pernah suatu pagi dia memuji aku. Wajahnya berseri-seri. Katanya aku cantik, aku lawa kerana aku bertudung labuh. Dia juga ingin memakai tudung ke sekolah sama sepertiku, malangnya emak dan ayahnya tidak mampu membelikannya tudung. Teringatkan sesuatu lansung membuat aku terus menutup tingkap. Aku selak tingkap itu rapi. Tergesa-gesa aku berlalu, ingin melihat sekali lagi tudung yang telah aku belikan untuk gadis kecil itu.


Aku membelek-belek sehelai kain tudung putih di atas ribaanku yang aku beli di Bandar Kota Bharu sebaik sahaja pulang dari sekolah siang tadi. Aku ingin hadiahkan tudung ini kepada seseorang yang istimewa. Tidak sabar rasanya menunggu hari esok tiba. Agar aku dapat bertemu dengan gadis kecil itu, agar aku dapat memberikan tudung putih ini kepadanya. Kain tudung itu aku lipat rapi kemudian memasukkanya semula ke dalam beg kertas. Aku harus tidue segera agar masa berlalu tidak terasa lama.


----------------------------------------------------------------


Aku tiba di sekolah awal pagi. Orang pertama yang tiba setelah Pak Mamat jaga sekolah membuka kunci pagar. Aku menanti seseorang. Tidak sabar bertemu dengannya. Seorang demi seorang murid sekolah melintas pintu pagar, kini kian ramai. Namun bayang-bayang si gadis kecil tetap juga tidak menjelma. Sudah setengah jam aku menanti di bangku cokelat, namun dia tetap juga tidak menampakkan wajah.

Loceng sekolah berdering nyaring. Pintu pagar ditutup menandakan waktu pembelajaran sudah bermula. Aku sedar penantianku pagi ini tidak membuahkan hasil. Aku bingkas bangun. Aku tidak boleh terus menunggu kerana aku juga ada tugas yang perlu aku laksanakan. Aku mengorak langkah, menuju ke bilik guru. Aku kecewa namun masih berharap dapat dia tetap akan hadir ke sekolah walaupun lewat sedikit. Jam 9 nanti giliran aku mengajar kelas 2 Mawar, aku berdoa mudah-mudahan dapat melihat dia duduk di kerusinya. Amin.

--------------------------------------------------------------------

Episod Enam: Terbongkar Rahsia


Hari ini aku tunaikan solat zuhur di surau sekolah. Aku tidak pulang terus ke rumah kerana ada destinasi lain yang ingin ku tuju. Beberapa minit sebelum azan berkumandang, aku siap berwudhuk, menyarung telekung putih yang dihadiahkan oleh arwah ayah ketika ulangtahun kelahiranku 3 tahun lepas. Agak usang, namun aku amat gemar menggunakan telekung ini. Sementara menanti tibanya waktu zuhur, aku mencapai senaskah Quran di atas rak. Masih kelihatan baru, mungkin kerana ianya sangat jarang digunakan. Aku menyelak lembaran Quran itu lalu terus ke surah Ar-Rahman. Aku mulakan bacaan dengan membaca ummul kitab, Al-Fatuhah.

Selesai memberi salam, aku menadah tangan, merendah diri memohon doa kepada Allah Yang Esa. Banyak yang aku adukan. Banyak juga yang aku pinta. Sesungguhnya hanya kepada Dia aku berserah dan bergantung harap. Aku tak lupa mendoakan arwah ayah, ibu, dan seluruh muslimin dan muslimat. Dalam doaku juga aku tidak lupa untuk hadiahkan doa buat gadis kecil. Sungguh aku bimbang akan dia. Hari ini sudah masuk tiga hari dia tidak datang ke sekolah. Aku penasaran ingin tahu keadaannya bagaimana.

Hari ini aku nekad, sebaik sahaja tamat waktu persekolahan, aku ingin menjenguknya di terataknya. Ketika di dalam kelas pagi tadi, aku sempat bertanya rakan sekelasnya mana letaknya rumah Siti Khadijah si gadis kecil. Alhamdulillah, ada juga yang dapat membantu. Aku panjatkan syukur kepada Ilahi.

--------------------------------------------

" Saya Cikgu Nora, Khadijah ada?" Aku bertanya kepada seorang anak kecil sebaik sahaja tiba di teratak usang itu. Puas aku memberi salam, memanggil dari luar, tiada siapa yg keluar kecuali seorang anak kecil tidak berbaju, dalam lingkungan usia 5 tahun. Anak kecil itu menggelengkan kepalanya. Aku juga tidak pasti samada dia benar-benar memahami soalan aku atau tidak.

"Mak ada?" Aku bertanya lagi setelah beberapa ketika berdiri di situ. Anak kecil itu berlari masuk ke dalam rumahnya semula. Dari luar aku mendengar suara kecilnya memanggil ibunya. Aku masih setia menanti di situ. Beberapa minit kemudian anak kecil itu kembali lagi berdiri di muka pintu rumah.

"Mak atiq, mak yuh acuk," Anak kecil itu memaklumkan sesuatu padaku. Masih pelat, tapi aku dapat memahaminya. Aku mengerti, lalu mengatur langkah, memanjat tangga kayu dengan hati-hati. Rumah ini agak usang. Sayu aku melihatnya. Bertambah hiba hatiku melihat seorang wanita sedang terbaring di atas tilam di ruang tamu rumah. Wajahnya cengkung, badannya kurus. Hanya tinggal tulang dan kulit. Aku nyaris menitiskan air mata simpati, namun ku tahan semampu aku.

Aku menghulurkan tangan, bersalam dengan tuan rumah. Wanita itu kelihatan sungguh lemah untuk menyambut salamku, tangannya menggigil. Namun dia masih menghadiahkan aku senyuman yang penuh dengan keikhlasan, iras benar dengan senyuman Siti Khadijah. Mana lagi tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi? Teringatkan Siti Khadijah, aku makin tertanya-tanya. Sudah hampir setengah jam aku di situ namun bayangnya tetap juga tidak muncul.

"Khadijah mana yer? Dari tadi saya tak nampak dia pun.." aku memberanikan diri untuk bertanya. Riak wajah wanita itu menjadi kian sayu. Matanya bergenang air mata. Dia memalingkan wajahnya, melontarkan pandangan jauh entah ke mana. Diam. Aku juga ikut diam, tidak berani untuk bertanya lagi, bimbang menambah racun pada luka yang masih berdarah.

Walaupun jantungku berdegup agak kencang kerana perasaan ingin tahu membuak-buak, namun aku mengunci bibir. Biarkan dia melayani melankoli hatinya, dan aku memujuk hatiku sendiri. Pasti ada jawapannya. Aku optimis. Bersabarlah Nora Asyikin.

--------------------------

Episod Tujuh: Takdir yang Tertulis

Aku sendiri tidak tahu kenapa, di teratak usang ini mudah benar hatiku tersentuh. Dalam hingga ke dasar lubuk hati. Anak kecil tidak berbaju tadi pastinya belum mengerti apa-apa. Saat ibunya berlinangan airmata, dan aku juga, dia bagaikan sedang asyik di alam lain. Sedang mengira biji-biji getah di satu sudut rumah. Kadang-kadang dia ketawa dan ada masanya merungut sendirian. Indahnya dunia seorang kanak-kanak yang belum mengenal erti kehidupan. Ah..

Aku kesat sisa airmata yang berbaki di kedua belah pipiku. Ibu Siti Khadijah juga begitu. Hatiku sayu tidak tertanggung mendengar cerita si ibu yang sedang terbaring sakit. Cerita tentang mereka sekeluarga, terkandung di dalamnya penderitaan yang ditanggung oleh anak-anak yatim itu. Memilukan. Sudah suratan takdir yang tertulis buat mereka sekeluarga, moga mereka tabah mengharungi, dalam hati aku panjatkan doa kepada Ilahi.

Kini aku kian mengerti mengapa gadis kecil itu sering saja termenung dan mengasingkan diri. Dalam diam, aku kian mengkagumi gadis kecil itu, tubuhnya saja kecil tapi jiwanya cekal, kental, semangatnya besar, mungkin lebih besar dari aku. Di dalam kelas akulah guru, namun kini, gadis kecil itu pula yang mengajar aku erti ketabahan yang sebenar. Dia juga guruku. Dalam diam aku memuji.

Setelah berbasa-basi, aku meminta diri untuk pulang. Sebelum terus pulang ke rumah sewa, aku ingin bertemu gadis kecil. Aku ingin menyampaikan sesuatu kepadanya. Aku ingin tahu bagaimana keadaan dirinya. Aku ingin melihat dia. Atau mungkin, aku rindu kepada gadis kecil itu. Segalanya mungkin kerana di sekolah ini, dialah murid yang paling rapat denganku. Pilih kasihkah aku? Ya Allah.. ampunkanlah dosaku.

Ibu Siti Khadijah izinkan aku bertemu anaknya. Aku bertanya bagaimana ke sana, dia menjawab senang. Aku berterima kasih lalu meminta diri. Wanita lemah tidak bermaya itu cuma mampu menghantar aku pulang dengan lirikan matanya. Aku tidak berkecil hati kerana aku benar-benar memahami keuzurannya. Hari ini mungkin harinya, nasib aku kemudian hari hanya Allah yang tahu.

Aku mengatur langkah berhati-hati. Risau juga andai terpijak papan reput. Anak kecil tidak berbaju mengekori aku dari belakang, menghantar aku hingga ke muka pintu, ketika dia menyalami aku, aku hulurkan dia sekeping duit kertas, aku katakan padanya, buat beli jajan. Mulanya dia segan untuk menerima namun setelah aku bersungguh-sungguh menghulur, dengan malu-malu dia mengambilnya.

Dia tersengih menampakkan giginya yang rongak. Dia gembira. Aku juga turut merasai kebahagiaannya itu, erti hidup pada yang memberi. Benarlah, tangan yang memberi itu jauh lebih baik dari tangan yang menerima. Bahagia yang aku rasai meresap ke seluruh jiwaku. Besar hikmahnya pada mereka yang mengeluarkan hartanya kerana Allah, rukun Islam ke empat juga mewajibkan umat Islam yang berkemampuan menunaikan zakat, kerana sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui.

Aku tersenyum senang, menampakkan barisan gigiku yang tidak rongak tetapi putih tersusun lalu terus mengatur langkah. Aku ingin bertemu gadis kecil. Biarpun sekejap cuma. Aku ingin melihat sendiri dengan mata kepalaku bagaimana dia memerah keringat. Aku masuk ke dalam kereta. Sebaik sahaja aku menutup pintu kereta, anak kecil tidak berbaju itu melambai-lambai ke arahku, lambaian selamat tinggal barangkali. Aku melambai kepadanya kembali, aku masih lagi tersenyum, namun hatiku pilu.

----------------------------------

Setelah berjalan lebih kurang lima minit, aku tiba di kawasan sawah bendang. Sayup mata memandang. Mana mungkin untuk aku meredah setiap batas. Mencari gadis kecil itu di setiap penjuru bendang yang luas itu. Aku juga tidak tahu harus bermula dari mana. Terik matahari masih lagi memancarkan sinarnya. Bahangnya sudah terasa menggigit kulitku, namun demi Siti Khadijah, aku masih lagi berdiri di situ. Mencari jalan, memikirkan cara.

"Pakcik.. Pakcik! Assalamualaikum, boleh saya tumpang tanya, pakcik tahu tak mana anak arwah Pakcik Ibrahim berada sekarang?" Aku bertanya kepada seorang petani tua yang kebetulan melintas di hadapanku. Ini petani ketiga yang aku sapa setelah dua orang petani yang aku tanya sebelum ini tidak dapat membantu apa-apa.

"Waalaikumsalam..oh.. budak-budak tu.. tadi pakcik ada nampak mereka masa memindahkan anak padi.. kamu lalu ikut sini.. sampai nampak pohon kelapa kamu belok kanan..dari jauh kalau kamu nampak 3 orang budak dalam bendang,hah, itulah mereka.." petani itu menunjukkan arah kepadaku sambil tangannya digayakan ala-ala polis trafik. Aku sekadar mengangguk-anggukan kepala, sebagai tanda aku mengerti. Aku berterima kasih kepadanya.

"Kamu ni sape?" Petani itu mengusul pula. Aku tersenyum.

"Saya cikgu dia.." Aku menjawab, masih tersenyum.

"Oh cikgu.. bagaimana budak-budak tu kat sekolah? kasihan juga pakcik tengok mereka, kecik-kecik lagi dah kena turun sawah.." Petani itu menyambung lagi. Raut wajahnya mempamerkan rasa simpati itu. Aku tunduk ke tanah. Diam beberapa ketika mencari ayat yang paling sesuai. Aku juga simpati.

----------------------------------

Ini kali pertama aku turun ke bendang. Aku meniti setiap batas dengan hati-hati. Ada batas yang elok dan ada juga yang tidak. Kakiku sudah bersalut selut hingga ke paras betis. Aku gagahkan jua langkahku mencari sebuah destinasi dalam panas terik mentari. Peluh mula membasahi dahiku, namun sedikit pun tidak mematahkan semangatku. Aku terus mara.

Setelah 17 minit meredah bendang, akhirnya dari jauh aku dapat melihat 3 orang kanak-kanak seperti yang diberitahu oleh petani tua sekejap tadi. Aku tersenyum. Pencarianku membuahkan hasil. Alhamdulillah. Syukur pada-Mu Tuhan, sebelum sempat aku berputus asa, Kau berikan aku kejayaan. Aku mempercepatkan lagi langkah kakiku. Destinasi itu kian hampir, aku kian bersemangat.

"Assalamualaikum!" aku meninggikan sedikit suaraku, memberi salam setelah sampai ke petak sawah mereka. Mereka sedang asyik bekerja hinggakan kehadiranku tidak disedari lansung. Mendengar salamku barulah mereka menoleh ke arahku. Gadis kecil itu juga memandang ke arahku. Riak wajahnya mengelirukan, terlalu sukar untuk aku membacanya saat itu. Oh Tuhan, adakah aku tersilap langkah? Adakah kehadiranku tidak disenangi? Harus bagaimana aku memperbetulkan keadaan, berikan aku petunjuk-Mu Tuhan.

----------------------

Episod Lapan : Bertemu untuk Berpisah. [Episod Akhir]

"Khadijah! Jangan lari!" Aku memanggil sebaik sahaja melihat Siti Khadijah mempercepatkan langkah, ingin keluar dari bendang. Siti Khadijah teragak-agak, tidak mahu toleh ke belakang.

"Khadijah, cikgu bukan nak marah kamu.." Aku cuba memujuk lagi. Aku bersyukur kerana akhirnya dia mematikan langkahnya. Dia menoleh ke arahku, aku menghadiahkannya sekuntum senyuman istimewa buatnya.

"Betul cikgu tak marah? Saya dah tiga hari tak pergi sekolah.." Tanya Siti Khadijah lagi, inginkan kepastian, ternyata, dia juga sedar akan kesalahannya. Aku senyum dan anggukkan kepala..

"Betul, cikgu tak marah, cikgu ada hadiah untuk Siti Khadijah," Ujarku sambil menghulurkan sesuatu kepadanya. Dia tersengih-sengih menghampiri aku. Malu-malu.

"Ambiklaa.. hari tu Khadijah hadiahkan cikgu kuih, sekarang cikgu pula bagi hadiah untuk Khadijah, ambiklah," Pujuk ku setelah melihat dia masih ragu.

"Terima kasih, cikgu," ucapan keramat dari seorang murid buat sang guru. Aku senang mendengarnya.

"Tudung baru!! Wah.. seronoknya!! terima kasih cikgu, saya suka tudung nih, dah lama nak tudung tapi mak tak beli, mak takde duit.."Khadijah girang, melompat-lompat di atas batas, sungguh aku terhibur melihat gelagatnya. Maha Suci Allah.

"Esok pergi sekolah tahu.. pakai tudung baru, pasal yuran yang belum di bayar jangan risau ye, nanti cikgu bincang dengan guru besar..yang penting Khadijah, kakak dan adik belajar, ilmu tu penting..untuk kita dunia dan akhirat.."Aku memujuk senang.

"Baik cikgu! esok saya pergi sekolah.. nak pakai tudung baru..seronoknya kak.. Mael.. tengok ni, orang ada tudung baru, yeay yeay!" Dia masih kegirangan, bersemangat!

Ya Allah, moga kebahagiaan milik si gadis kecil itu akan terus berkekalan, dia masih kecil, jalan hidupnya masih jauh, moga Kau ringankanlah bebanannya Ya Allah, moga Kau jadikan dia hamba-Mu yang solehah, moga dia bahagia dunia dan akhirat.

----------------------------------

Hujan turun dengan lebat sejak subuh tadi. Fenomena biasa di musim tengkujuh. Entah kenapa, hatiku sering hiba tatkala hujan turun mencurah-curah. Kali ini perasaan sayu itu sungguh hebat, desak nafasku bagaikan menghimpit. Aku kegelisahan. Jam sudah menunjukkan jam 9.45 pagi, waktu menjagar kelas 2 Mawar juga sudah hampir tamat. Kerusi milik Siti Khadijah tidak berpenghuni, dia tidak hadir. Semalam dia berjanji akan datang ke sekolah hari ini, memakai tudung baru, tapi di manakah dia? Aku benar-benar resah.

Waktu mengajar sudah selesai. Aku mengemas buku milikku lalu kembali ke bilik guru. Sebaik sahaja tiba, aku lihat suasana kecoh di dalam bilik guru. Tidak semena-mena, jantungku berdegup kencang. Aku percepatkan langkah, menghampiri kelompok guru yang sedang berbincang. Atau mungkin berbicara. Atau mungkin, ah, aku sudah tidak mampu berfikir lagi, aku benar-benar resah. Dari jauh aku mendengar mereka menyebut nama Siti Khadijah, gadis kecil yang mencuri hatiku. Darahku mengalir kian laju.

"Cikgu, ada apa?" tanpa salam aku terus bertanya.

"Siti Khadijah, pelajar kelas 2 Mawar, jatuh dalam tali air pagi tadi masa nak datang sekolah.." Suatu suara menjawab pertanyaanku, lututku bagai lemah longlai. Laju saja airmata mengalir dari ke dua kelopak mataku. Tanpa berfikir panjang, aku terus berlari keluar dari bilik guru, wajah si gadis kecil bermain-main di layar fikiranku. Hanya dia.

---------------------------------------

Sebaik tiba di tali air, tidak jauh dari sekolah, bagaikan pesta sedang berlansung. Ramai orang berkumpul sepanjang tali air. Hatiku kecut sekali. Sungguh aku tidak cukup tabah untuk menerima kenyataan bahawa aku akan kehilangan dia untuk selamanya. Sungguh aku tidak cukup kental untuk melepaskan dia pergi untuk selamanya. Sungguh aku cuma hamba yang lemah, ya Tuhan, selamatkanlah Siti Khadijah.

Dengan langkah yang longlai, aku tabahkan hati menghampiri kelompok orang ramai. Aku dapat melihat kakak dan adik Siti Khadijah sedang menangis berpelukan di pinggir tali air. Suasana hiba dan riuh. Tanpa perlu bertanya, aku dengar mereka berbisik sesama mereka. Mayatnya belum dijumpai.

Beberapa barang miliknya sudah ditemui, tapi tidak jasadnya. Aku amati barang yang dijumpai. Sepasang kasut yang koyak rabak, aku tahu itu benar-benar milik gadis kecil, airmataku kian meluncur laju. Di sisi kasut koyak usang itu letaknya sehelai tudung putih yang masih baru, aku juga kenal tudung itu, pemberianku buat si gadis kecil. Ya Allah..Tabahkanlah hatiku ya Allah, selamatkanlah Siti Khadijah.. dalam hati aku masih berdoa, airmataku gugur bersatu dengan lebatnya hujan yang turun.

"Dah jumpa, mayat dah jumpa!" suara itu bagaikan petir menikam ke jantungku. Tiba-tiba suasana kembali riuh. Orang ramai menghurungi punca datangnya suara. Aku menyaksikan dengan kedua mataku, mereka mengusung sekujur jasad yang kaku, tidak lagi bernyawa..

Ya Allah.. Alam bagaikan gelap gelita, aku rebah jatuh ke bumi.

Innalillahiwainnailaihirajiun..
=TAMAT=

NATRAH: daRAh trageDImu maSIh baSAh..~

bismillahirrahmanirrahim..
alhamdulillah, entri kali nie ana tertarik untuk berkongsi kisah duka di sebalik tragedi NAtrah ini."Ummat Islam sangat pantang kalau agama suci mereka disentuh atau dipermain-mainkan. natrah atau nma sebnarnya Bertha Hertogh atau Maria Heberania Hertogh telah meninggal pada 9 Julai lalu. Beliau meninggal dunia dalam usia 72 tahun di kediamannya di Huijbergen, Belanda, kerana leukemia begitulah laporan berita. Natrah adalah satu nama yang cukup nostalgik bagi umat Islam negara ini . Satu nama yang boleh menitiskan air mata bila menghimbau sejarah dan kisah yang melakari hidupnya.

Mereka yang mengingati kepada Natrah atau hidup sezaman dengannya akan memalingkan kenangan kepada tragedi yang pada 1950 yang meletus di Singapura sebegitu mendengar nama Natrah disebut.

Mungkin juga perasaan sebak dan terharu akan memenuhi diri apabila mengenangkan nasib dan liku-liku kehidupan yang pernah ditempohi Natrah yang begitu sulit, tragis dan menyedihkan.
Sebenarnya perjalanan Natrah atas dunia ini sungguh mencabar peribadinya dan tidak terungkap oleh sesiapa pun secara hakiki.

Natrah tidak asing kepada mereka yang cintakan Islam bukan saja di negara ini bahkan umat Islam di seluruh dunia juga. Tragedi yang menimpa dirinya dan juga gara-garanya menjadi lambang kepada betapa pengorbanan umat Islam dalam membela agamanya terlalu tinggi dan luhur. Umat Islam bukan saja sanggup melakukan apa saja, hatta darah untuk menjaga kesucian agamanya sanggup digadai.

Tragedi yang berlaku di sebalik pencaroba dilalui Natrah adalah satu simbol dan papan tanda sejarah untuk umat Islam negara ini khususnya, yang mungkin sengaja dicetuskan Tuhan dengan tujuan-tujuannya yang harus ditafsirkan dengan makrifah mendalam. Justeru apa yang berlaku di sebalik diri Natrah tidak boleh dilupakan atau dihayati bagaikan menelaah buku sejarah saja. Ia perlu diingat dan diambil sebagai iktibar berguna.

Sebaik mengetahui berita kematiannya, Rabu lalu saya melayari internret mencari kisah-kisah mengenai Natrah. Membaca semula kronologi apa yang berlaku terhadap diri Natrah. Ringkasnya, Natrah seorang gadis berbangsa Belanda yang menjadi polimek dan rebutan dua agama dan dua budaya. Agama Islam dan Kristian dan budaya Melayu dan Belanda. Secara tidak langsung Natrah juga menjadi penguji kepada sejauh mana keimanan umat Islam negara ini.

Natrah dilahirkan di Tjimah, Jawa, Indonesia pada 24 Mac 1937 dari sepasang suami isteri berbangsa Belanda beragama Khatolik, Adrimus Petrus Hertogh, seorang sarjan askar dan ibunya bernama Adeline.

Semasa berusia lima tahun beliau diserahkan oleh ibunya dan neneknya Nor Louisyen kepada seorang penjual kain batik berasal dari Kemaman, Terengganu, Che Aminah Mohammad. Penyerahan Natrah kepada Che Aminah adalah demi melindungi anaknya itu. Ia dipercayai dilakukan bertolak dari kasih sayang seorang ibu kepada anaknya.

Saat itu anti dan sentimen kebencian rakyat kepada Belanda di Indonesia memuncak. Mungkin atas kasih sayang seorang ibu kepada anak dan firasatnya demi menyelamatkan nyawa anaknya, Adeline menyerahkan kepada Che Aminah. Penyerahan Natrah kepada Che Aminah ini tidak diketahui oleh bapanya yang ketika itu yang dalam tawanan Jepun.

Che Aminah menerima tanggungjawab dan amanah Adeline itu dengan membawa balik Natrah ke Malaya menerusi Singapura. Bermula pada hari itu Che Aminah menerima Natrah sebagai anak kandungnya sendiri, malahan lebih dari itu. Bagi Che Aminah, Natrah bukan sekadar anak tetapi jiwanya. Di Terengganu dalam penjagaan Che Aminah, Natrah menjalani kehidupan baru dan selamat dunia akhirat. Beliau diberikan didikan budaya dan agama yang dianuti Che Aminah, agama Islam dan budaya Melayu.

Natrah dibesarkan dalam keadaan penuh kasih sayang dan hormat. Untuk menjamin dan menjaga keselamatan Natrah Che Aminah mengahwinkan Natrah dengan Mansor Adabi seorang guru ketika Natrah berusia 13 tahun dan Mansor 22 tahun. Perkahwinan ini adalah perkahwinan gantung kerana Natrah masih gadis sunti. Ia berlaku selepas keluaraga Natrah cuba menuntut Natrah dan sebagai ikhtiar Che Aminah menyelamatkan pertiwi jiwanya itu.

Kehidupan aman bahagia yang dilalui Nartrah bersama ibu barunya itu bagaimana pun terganggu apabila Adrimus sekembali ke Belanda mencari anaknya dan menuntut semula agar ia dikembalikan kepadanya. Di sinilah Natrah mula menjadi isu, polemik dan juga akhirnya mencetuskan tragedi berdarah.

Ayahnya menuntut Natrah di mahkamah di Singapura agar dikembalikan kepadanya yang berhak. Dalam perbicaraan ini Che Aminah berjaya memperolehi hak penjagaan ke atas Natrah. Bagaimanapun ia tidak berakhir di situ. Adrimus terus menuntut Natrah atas alasan Natrah tidak boleh dikahwinkan dengan Masnor.

Undang-undang Belanda digunapakai di mana menurut undang-undang Belanda wanita di bawah umur 16 adalah menjadi hak dan kewajiban keluarga bagi memutuskan masa depannya termausk dalam soal agama, perkahwinan dan sebagainya. Tuntutan ini diperolehi oleh Adrimus.

Keputusan mahkamah itu menyebabkan pada 12 Disember 1950, Natrah dirampas semula oleh keluarganya dan dibawa balik ke Belanda. Keputusan ini sudah tentu sesuatu yang berat bagi Natrah dan memilukan hati Che Aminah dan seluruh umat Islam.
Keputusan mahkamah ini meninggalkan rasa pedih dan satu tamparan kepada umat Islam. Bagi Che Aminah dan keluarganya usahlah diceritakan lagi. Anak yang selalu didodai dan dijaga bagaikan meruntun kelopak yang sedang berkembang mewangi, kehilangan Natrah seolah segala kehidupan Che Aminah dan juga Mansor bagaikan terpadamnya mentari dan bulan.

Mungkin keputusan mahkamah yang memberi hak kepada keluarganya menjaga Natrah tidak menimbulkan kemarahan. Tetapi apabila mahkamah juga memutuskan Nartrah dijadikan Khatolik (kembali ke agama asal orang tuanya) inilah yang menimbulkan kemarahan dan menderaukan darah.

Kemurtadan inilah menyebabkan berlakunya rusuhan. Umat Islam tidak boleh menerima kejadian ini kerana ia mencabar seluruh kehidupan mereka. Keputusan itu seolah menginjak-injak kesucian agama mereka.

Rusuhan berlaku kerana atas keyakinan demi menjaga akidah Natrah. Umat Islam bangkit cuba mempertahankannya. Dalam rusuhan ini seramai 18 orang terbunuh dan beratus-ratus cedera. Perisitwa dan tragedi ini adalah terbesar berlaku yang bertolak dari sentimen keagamaan. Tragedi inilah juga yang menjadi sejarah hitam bagi Natrah dan umat Islam Malaya ketika itu.

Mengenai meletusnya tragedi ini, Natrah tidak boleh dipersalahkan. Beliau tidak boleh berbuat sesuatu. Dalam usianya itu dia hanya mengikut saja. Ia tertakluk dibawa kekuasaan siapa yang kuat dan berkuasa. Natrah hanya sebuah piala rebutan antara keluarganya (Kristian) dengan umat Islam Malaya.

Yang jelasnya pemulangan Natrah ke Belanda menerusi keputusan mahkamah itu tidak menyeronokkannya? Betapa tidak Natrah terpaksa meninggalkan dua jiwa, ibunya (Che Aminah) dan suaminya (Mansor Adabi) serta kehidupan hakikinya di bawah penjagaan Che Aminah.

Sepanjang di Belanda tidak ada siapa tahu secara pasti apakah beliau berusaha untuk meloloskan diri dan kembali kepada kebahagiaan hakiki yang dinikmati di Malaya bersama Che Aminah dan Mansor Adabi serta bersama umat Islam lain. Namun surat-surat atau pesan-salam yang berlaku antara mereka menggambarkan bahawa hati Natrah masih di Malaya manakala yang berada di Belanda hanya lembaga raganya yang kosong saja.

Dari catatan dan laporan mengenai perjalanan hidupnya di Belanda, ia adalah berita-berita yang mengguriskan hati menyedih. Hidup Natrah digambarkan sebagai menyeksakan. Rumah tangganya yang dibina sebanyak dua atau tiga kali runtuh berselerakan. Untuk membiayai kehidupan Natrah juga dikatakan pernah berkerja sebagai pencuci hotel dan tukang masak.

Paling menghibakan hati apabila beliau juga dikatakan pernah mengalami gangguan jiwa dan ditangkap polis kerana merancang untuk membunuh suaminya. Sepanjang perkahwinan beliau dikurniakan 10 orang anak.

PEMERGIAN Bertha Hertogh, atau nama Islamnya, Natrah, 72, pada 9 Julai lalu, disifatkan bekas penulis dan penyelidik untuk majalahDewan Masyarakat, Datin Fatini Yaacob, 50, sebagai satu pengakhiran kepada penderitaan wanita malang itu.
Fatini pernah menjejak Natrah sehingga ke Belanda dan Amerika Syarikat (AS) kira-kira 20 tahun lalu untuk merungkai kisah pencetus Rusuhan Natrah yang berlaku di Singapura pada 1950 itu.
Natrah, yang dilahirkan pada 24 Mac 1937, menjadi rebutan antara ibu angkatnya, Che Aminah Mohamad, dengan keluarga kandungnya yang berasal dari Belanda.
Sebelum itu, Natrah ditinggalkan ibunya, Adeline Hunter, di bawah jagaan Che Aminah ketika berumur lima tahun di Jawa setelah bapanya, Sarjan Adrianus Petrus Hertogh, ditawan tentera Jepun. Sepanjang berada di bawah jagaan Che Aminah, Natrah dididik dengan agama Islam dan adat Melayu.
Setelah berpindah ke Singapura, Hertogh menuntut Natrah dikembalikan kepadanya.

Pada mulanya Che Aminah memenangi hak penjagaan ke atas Natrah. Namun tindakannya menjodohkan Natrah dengan Mansor Adabi, seorang guru berusia 22 tahun, mengeruhkan keadaan kerana Natrah baru berumur 13 tahun.
Undang-undang Belanda menetapkan remaja di bawah 16 tahun tidak boleh dinikahkan dan pernikahan itu berlangsung di Singapura yang mengamalkan undang-undang British.
Akhirnya, pernikahan itu dibatalkan dan Natrah dibawa pulang ke Belanda. Ketika di Belanda, Natrah dimurtadkan, sekali gus mencetus kemarahan warga Singapura dan Tanah Melayu. Akibatnya, sebanyak 18 nyawa diragut dan 200 lagi tercedera berikutan Rusuhan Natrah yang berlaku pada 12 Disember 1950.
Khamis lalu, Natrah dilaporkan meninggal dunia di Huijbergen, Belanda selepas lama menderita penyakit leukemia.
"Mengikut kajian dan pemerhatian saya sehingga hari dia meninggal dunia, Natrah tidak pernah mahu melupakan bekas suaminya, arwah Mansor Adabi, ibu angkatnya, Che Aminah Mohamed, keluarga angkatnya yang kini berada di Kemaman, Terengganu, dan kehidupannya di Singapura," kata Fatini yang kini merupakan Karyawan Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Malah, ujar beliau, hidup Natrah sejak dibawa ke Belanda yang dipenuhi dengan paksaan menyebabkan trauma yang berpanjangan.
"Hidupnya ketika itu dikelilingi polis setiap masa. Dia juga dipaksa untuk melakukan banyak perkara di luar keinginannya termasuklah melupakan Mansor, Che Aminah, keluarga angkat dan segala amalan yang berkaitan dengan Islam.

"Sedangkan semasa di bawah jagaan Che Aminah, hubungan Natrah dengan ibu angkatnya itu cukup mesra dan penuh kasih sayang.
"Perkara ini diakui seorang pegawai Inggeris yang ditugaskan untuk menjaga Natrah ketika diletakkan di Jabatan Kebajikan Masyarakat di Singapura, Tom Eames Hughes, yang kemudiannya menulis kisah itu dalam bukunya bertajuk Tangled Worlds: The Story of Maria Hertogh (1980)," kongsinya.

Natrah cuba bunuh suami
Menjelaskan kenyataan itu dengan merujuk rentetan kejadian cubaan Natrah membunuh suami kedua sehingga mengakibatkan perceraian, cubaan membunuh diri dan kekerapan ibu kepada 10 orang anak itu dimasukkan ke wad sakit jiwa, Fatini menambah, ia turut dilihat dengan jelas olehnya ketika menemu ramah Natrah di AS pada tahun 1989.
"Setiap kali menyebut nama Mansor Adabi, air matanya bergenang. Malah, bahasa tubuhnya juga berubah. Padahal waktu itu dia sudah berumur 52 tahun.
"Semasa temu ramah pula dia berbahasa Inggeris sepanjang masa. Tetapi ada juga dia tersasul menyebut 'cabai kerawit'. Jadi sebenarnya dia masih ingat bahasa Melayu," kenang Fatini yang turut mengingatkan bahawa teman lelaki terakhir Natrah ialah seorang warga Indonesia.
Menggambarkan perwatakan Natrah sebagai seorang yang lemah lembut, Fatini bagaimanapun mengakui sukar untuk sesiapa pun membaca kesengsaraan itu pada wajahnya.
"Dia bijak menyembunyikan perasaannya. Malah hubungannya dengan anak-anak amat baik," katanya.
Ketika berita Natrah meninggal dunia sampai kepadanya, Fatini masih dalam proses melengkapkan buku biografi wanita malang itu.
"Kematian Natrah menimbulkan rasa terkilan dalam diri saya kerana banyak lagi yang saya ingin lakukan untuknya.
"Selain melengkapkan biografi ini, saya berharap benar agar dapat membantu Natrah mengubah persepsinya terhadap banyak perkara.
"Kalaulah Natrah tahu arwah Mansor hanya berhenti berusaha mendapatkannya semula setelah menerima surat yang kononnya dikirimkan Natrah. Dalam surat itu, Natrah memberitahu Mansor tentang dia sudah memeluk agama Katolik dan meminta Mansor melupakannya...
"Kalaulah Natrah tahu ada seorang lelaki bernama JC Vermeulen yang selama ini berusaha untuk menghubungkannya semula dengan Mansor melalui surat-surat yang dihantar 'mereka'...
"Natrah juga berasa bertanggungjawab ke atas kematian yang berlaku dalam rusuhan itu sehingga menyangka ada orang mahu membunuhnya selama ini," ujar anak kelahiran Perlis ini.
Menyentuh tentang rusuhan yang berlaku, Fatini berpendapat ia berpunca daripada tindakan media tempatan Singapura yang bertindak melanggar sensitiviti agama Islam.
"Ia berpunca daripada provokasi media tempatan Singapura yang berkali-kali memaparkan gambar Natrah berlutut di depan patung Virgin Mary. Perkara itu menyentuh sensitiviti agama," luahnya.

Saya sentiasa mengalirkan air mata tatkala membaca kisah sedih ini. Apatah lagi saya tinggal di bandar Chukai tempat natrah dibesarkan dengan penuh kasih sayang. Rumah ibunya Aminah di belakang hospital Kemaman, sekarang sudah tidak ada lagi di situ. Saudara angkatnya Cikgu Rukayyah adalah seorang guru, beliau berbangsa Jepun yang seperti Natrah juga, diambil sebagai anak angkat ketika masih kecil. kawan-kawannya masih ada disini dan semuanya masih mengingati dan mengasihi beliau. Sayangnya..beliau tidak pernah kembali...sehinggalah beliau meninggal kelmarin. Semoga roh beliau dicucuri rahmat. Sesungguhnya beliau menjadi mangsa keadaan.

Sunday, November 29, 2009

.: AYUH handle experiment AURAT !!!! :.



AURAT DARI PERSPEKTIF FIZIK..!!



  Percaya ke tak kalau penutupan aurat yang sempurna nie bukan sahaja tuntutan syariah, tapi juga berkaitan dengan setinggi mana tahap ketahanan spiritual, emosi dan mental seseorang terhadap daya tekanan yang diberi.Dalam satu perbincangan, seorang siswi menceritakan masalah yang dihadapi berhubung dengan cara pemakaian. Masalah bermula apabila berhadapan dengan persepsi keluarga dan rakan-rakan setelah berubah daripada wanita yang berpakaian “liberal” kepada wanita yang menutup aurat sepenuhnya seperti yang disarankan oleh Islam. Pandangan serong terhadap pemakaian tudung labuh dan jubah menyebabkan siswi tersebut berasa tersisih bukan sahaja terhadap pandangan masyarakat umum, tetapi pandangan siswi-siswi yang bergiat dalam program berunsurkan dakwah.
Penerimaan terhadap perubahan berlaku agak sukar akibat sikap double-standard dan kronisme yang diamalkan. Disebabkan mereka telah mendapat tarbiyah sekian lama dan menganggap diri adalah terbaik, agak payah untuk menerima orang yang baru mengenal erti tarbiyah yang sebenar. Apatah lagi berhadapan dengan ibu yang tidak memahami sehinggakan si ibu menyuruh siswi tersebut kembali kepada pakaian lama. 
  Bercakap tentang perubahan, ia bukanlah satu perkara yang mudah semudah mengalihkan sebatang pen daripada satu meja ke meja yang lain. Apatah lagi berubah daripada segi pemakaian yang melibatkan persepsi masyarakat sekeliling terhadap personaliti baru yang ingin dibentuk. Adalah penting adanya pemahaman terhadap matlamat perubahan dan pengorbanan yang tinggi agar terus istiqamah dengan perubahan. 
Apa yang dilakukan oleh siswi tersebut adalah hijrah kepada kebaikan dan memerlukan ketahanan mental dan mujahadah yang tinggi. Dalam satu perubahan, sokongan daripada segi spiritual, emosi dan mental diperlukan bukan sahaja dengan berharap kepada Tuhan, tetapi juga dari masyarakat sekeliling khususnya mereka yang faham tentang Islam. Meskipun siswi tersebut baru mengenal erti tarbiyah dan mula bergiat dalam program berunsurkan dakwah, rakan-rakan dalam organisasi dakwah haruslah faham dan tidak memandang diri sebagai individu yang bertaraf tinggi sehingga tidak layak berdamping dengan mereka yang baru menerima hidayah.





   Di sini, pentingnya pemahaman tentang konsep inverse response (respon songsang ~ rujuk Pemikiran Sistemik) dalam kehidupan seharian. Setiap sesuatu yang bersifat drastik memerlukan daya yang tinggi untuk diterima dan konsep bersabar terhadap time delay (masa lengah yang diperlukan sebelum satu sistem berfungsi) diperlukan. Sesuatu perubahan memerlukan visi yang jelas berdasarkan ilmu wahyu agar kekuatan diperoleh walaupun keadaan sekitar sukar menerima. Bagaikan susu yang sebelumnya bercampur dengan najis, kuman, urea dan darah di dalam sistem badan seekor lembu akhirnya keluar sebagai susu yang suci yang mendatangkan kebaikan kepada peminumnya. Dapat disimpulkan bahawa bagaimana sukarnya susu itu keluar daripada badan seekor lembu melalui proses perahan untuk bebas daripada unsur-unsur negatif, begitulah sukarnya sesuatu perubahan untuk dilaksanakan. 
Persekitaran memerlukan masa untuk menerima sesuatu kelainan. Adalah penting pemahaman tentang aurat kerana ia melibatkan penjagaan penglihatan yang berkaitan secara langsung dengan hati dan fikiran yang dipengaruhi oleh nafsu dan syaitan. Aurat yang dimaksudkan bukan sahaja terhadap kaum wanita, tetapi juga kepada kaum lelaki di mana sesetengahnya yang kurang sensitif menganggap aurat lelaki tidak berapa penting sehingga memakai seluar yang menampakkan lutut ketika bersukan. Bagi seorang wanita, aurat adalah perkara yang sangat besar dan skop aurat adalah lebih luas pada tubuh mereka berbanding lelaki. Manakala dalam institusi kekeluargaan pula, ibu bapa memainkan peranan penting terhadap pentarbiyahan setiap anak. Bahkan, mereka juga perlu ditarbiyah dan diberi peringatan agar tidak alpa akan arus dunia semasa yang membawa kepada kebatilan. 

an Konsep Aurat 
Dalam Fizik, konsep ketahanan mental, emosi dan spiritual ditekankan dalam bab haba pendam tentu dan berhubungkait dengan penjagaan aurat. Jika dikaji tentang formula yang digunakan: 
J = mc x tetha 




J ialah haba pendam tentu: Kuantiti haba yang boleh diserap oleh suatu objek yang mempunyai jisim tertentu dalam suatu kuantiti masa. 
m ialah jisim objek yang menerima perubahan suhu. 
c ialah keupayaan haba tentu: Keupayaan suatu objek yang mempunyai jisim tertentu menerima suatu kuantiti suhu dalam suatu kuantiti masa. 
tetha ialah perubahan suhu. 



en 1: Haba Pendam Tentu (Fizik Tingkatan 4- BAB

Dalam kajian ini, “eksperimen” dilakukan ke atas 3 jenis wanita: 

wanita A- wanita bertudung labuh, berjubah dan menjaga lengan daripada terdedah
wanita B-wanita memakai pakaian biasa tetapi masih menutup aurat 
wanita C- wanita yang lebih selesa memaparkan rambut yang lurus setelah melalui teknik rebonding, menunjukkan keputihan dan kehalusan kulit lengan, mendedahkan kerampingan bentuk badan dan berhias laksana model-model muka hadapan majalah hiburan. 


Mengkaji tahap ketahanan spiritual, mental dan emosi wanita terhadap tekanan yang diberi berdasarkan cara pemakaian. 

Semakin baik cara pemakaian yang diamalkan mengikut tatacara yang disyorkan dalam Islam, semakin tinggi tahap ketahanan mental, emosi dan spiritual atas tekanan yang diberi. Begitu juga sebaliknya. 

Wanita A mempunyai tahap ketahanan yang tinggi, wanita B mempunyai tahap ketahanan yang sederhana dan wanita C mempunyai tahap ketahanan yang lemah. 
Pembolehubah manipula
c atau keupayaan suatu objek yang mempunyai jisim tertentu menerima suatu kuantiti suhu dalam suatu kuantiti masa mempunyai hubungan dengan ketahanan seseorang terhadap tekanan yang dikenakan. 

Bercakap tentang konsep aurat, ia mempunyai kaitan dengan suhu. Ramai yang membuka aurat atas alasan panas dan lebih suka bebas daripada suatu kongkongan. Seorang pensyarah wanita di UIA dari New Zealand (bukan Islam) mempersoalkan istilah baju kurung. Adakah istilah baju kurung tercipta kerana sifatnya “mengurung” wanita di Malaysia? Sehinggakan ramai wanita sekitar KL dan Selangor lebih suka memakai jeans dan t-shirt? 
Pembolehubah malar 
m atau jisim objek yang menerima perubahan suhu. Anggap jisim, bentuk badan, bangsa, agama, dan ciri-ciri fizikal ketiga-tiga jenis wanita adalah sama. 

tetha atau perubahan suhu. Ia adalah tekanan yang diberi secara automatik oleh Pencipta alam di mana wanita berhadapan dengan perubahan biologi seperti haid (datang bulan), nifas (keadaan yang berlaku semasa bersalin), menopause (berlaku pengurangan hormon estrogen) dan tekanan persekitaran (kerja, pelajaran dan lain-lain). 
Pembolehubah bergerakbalas 
J atau kuantiti haba yang boleh diserap oleh suatu objek yang mempunyai jisim tertentu dalam suatu kuantiti masa. Ia berkaitan dengan setinggi mana tahap ketahanan spiritual, emosi dan mental ketiga-tiga jenis wanita terhadap daya tekanan yang diberi. 

Kaedah 
1) Melalui pemerhatian kritikal terhadap perubahan personaliti ketiga-tiga jenis wanita dalam suatu jangka masa. 

2) Bertanya secara berhikmah tentang perspektif ketiga-tiga wanita terhadap cara pemakaian. 

3) Eksperimen diulang keatas wanita-wanita lain yang mempunyai ciri yang sama. 

4) Eksperimen juga dilakukan keatas 2 jenis lelaki: 

Lelaki A- Lelaki yang menutup aurat dengan baik
Lelaki B- Lelaki yang suka mendedahkan pusat sewaktu berlengging dan memaparkan lutut serta paha sewaktu bersukan atau berjalan-jalan. 

Pemerhatian 
1) Wanita A kelihatan merendah diri, tenang, happy, ceria, lembut, sopan, pendiam, bercakap ketika perlu, berhati-hati dengan perhubungan dan berkemampuan mengawal perkataan yang dikeluarkan dari mulut. 

2) Wanita B juga kelihatan tenang, ceria, happy tetapi kadangkala kelihatan risau dan bimbang seperti ada sesuatu yang tak kena. Ada masanya terlepas juga kata-kata yang kurang baik ketika marah. Tapi kembali normal setelah beberapa ketika. Penulis yang berjurusan senibina pernah menegur seorang studiomate wanita yang menggunakan spray dengan cara yang salah ketika menyembur model yang dibuat sehingga menyebabkan cat yang terhasil rosak. Lalu dalam keadaan marah, penulis dikatakan penyibuk walaupun niat penulis ingin menegur kesilapan yang dibuat. Penulis terus berlalu kerana tahu tetha sedang dikenakan terhadap studiomate tersebut. Selepas kejadian tersebut, keadaan kembali normal. 

3) Wanita C kelihatan kelam-kabut, mempunyai stail tersendiri, kurang menjaga perkataan yang dilafazkan, overexcited, mudah melenting, agak sombong, materialistik dan sosial. 

4) Lelaki A kelihatan normal, tetapi lelaki B agak stylo, mudah marah, ego yang terlampau tinggi, sukar menerima nasihat, memandang rendah atas kemampuan orang lain dan lebih agresif. 

Kesimpulan 
Daripada eksperimen yang dijalankan, wanita dan lelaki yang mempunyai nilai J yang tinggi adalah mereka yang menjaga cara pemakaian dengan baik mengikut syariat Islam dan sensitif terhadap aurat. Seperti dalam formula yang diberi: J = mc x tetha.

Oleh itu, hipotesis diterima. 
Mengkaji Fizik melalui perspektif Islam 
Dalam usaha penyampaian Islam kepada individu yang faham tentang Islam, individu yang kurang faham tentang Islam dan individu yang tidak faham tentang Islam, pendekatan melalui ilmu duniawi berdasarkan kaedah saintifik dan empirik adalah salah satu cara yang sesuai kerana tak semua daripada mereka akan menerima jika menyampaikan melalui ilmu Tauhid. Masalah berlaku di Malaysia di mana persepsi masyarakat berubah iaitu belajar adalah untuk bekerja, bukan belajar untuk mencari ilmu. Adalah menghampakan situasi yang sama berlaku pada mereka yang mengambil jurusan agama dan mereka yang menghafal kalam-kalam Allah. Jika perspektif ini berterusan, mereka tidak akan mampu untuk mengislamisasi ilmu yang dipelajari, melakukan integrasi antara ilmu duniawi dan ilmu Islam, menyampaikan ilmu pada peringkat antarabangsa agar mesej Islam sampai ke serata tempat seterusnya mencapai kecemerlangan menyeluruh. 

Seperti yang tertera dalam misi UIA iaitu Triple ICE (Integrations, Islamizations, Internationalizations dan Comprehensive Excellence), adakah pelajar UIA akan mencapai misi UIA andai masih lagi belajar untuk bekerja? Bukan untuk pelajar UIA sahaja, malah kepada pelajar institusi lain sekali. Tidak malukah kita kepada mereka yang bukan Islam mengkaji ilmu sains melalui al-Quran lantas memeluk Islam atas kesedaran? Di manakah perginya reputasi pelajar Islam yang cuba dipertahankan? Fikirkan dan selamat beramal...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails