Thursday, December 24, 2009

Ideologi Baru Untuk Muslimah?





nasionalisme

secularisme

liberalisme

pluralisme

materialisme

racisme

darwinisme

Pernahkah anda mendengar perkataan-perkataan di atas? Itulah yang dikenali sebagai ideologi-ideologi moden. Semakin moden, semakin banyak ideologi atau fahaman baru yang muncul. Sebenarnya banyak lagi, kalau disenaraikan semua sekali mungkin saya terpaksa buat siri kedua untuk tajuk kita pada kali ini.

Jika dulu, pada zaman kerajaan khilafah Islam, umat Islam ketika itu diserang dan dipengaruhi oleh ajaran-ajaran yang sesat seperti mu'tazilah, qadariah, jabariah dan murjiah. Bahaya sungguh fahaman ini, banyak pendapat dalam ajaran-ajaran tersebut yang tidak selari dengan ajaran Islam. Walaubagaimanapun, pengaruhnya sangat kuat sehingga dapat mempengaruhi pemerintah ketika itu. Ulama-ulama yang menentang akan ditentang. Penjara merupakan tempat bagi ulama ketika itu. Antaranya ialah Imam Abu Hanifah yang ditangkap kerana mempertahankan kesucian Al-Quran.

Itu semua kisah lama, kini kita diserang pula dengan idelogi-idelogi dari barat. Apa yang ingin saya ketengahkan pada kali ini ialah satu fahaman yang menyerang sebahagian muslimah. Hampir-hampir mereka menjadi kafir dengan sebab fahaman ini!

Ia lebih dikenali sebagai 'feminisme'. Secara mudah, definisi bagi perkataan ini ialah satu fahaman yang memperjuangkan kesamarataan atau persamaan hak antara lelaki dan perempuan. Dengan melihat perkataan itu sendiri kita dapat mengagak apakah makna di sebaliknya. Perkataan feminine yang menunjukkan sifat keperempuanan menjadi pilihan golongan ini. Pada mulanya, ia berasal daripada barat. Ketika itu terdapat segolongan wanita yang berusaha untuk mendapatkan persamaan hak dalam bidang politik dan pemerintahan. Feminisme hanyalah nama bagi gerakan tersebut, kemudian ia terus berkembang sehingga menjadi satu fahaman yang mempengaruhi sebahagian wanita di seluruh dunia. Kemudian ia berkembang hingga ke Mesir tetapi telah bertukar nama menjadi 'islamic feminisme'. Definisinya juga turut berubah sedikit. Kali ini perjuangan mereka lebih tertumpu untuk mendapatkan persamaan hak dalam hal-hal yang berkaitan kekeluargaan dan harta seperti kuasa mentalak, harta pusaka, hak penjagaan dan aurat.



Sudah ramai yang terpengaruh dengan ini semua. Di luar negara ada contoh yang agak jelas iaitu Amina Wadud yang menjadi imam dan khatib untuk solat Jumaat yang ada lelaki di dalamnya sebagai makmum. Di Malaysia pun sudah banyak, mereka berani mempertikaikan hukum-hakam Islam. Antara yang paling jelas ialah Sister In Islam (SIS). Tanpa berpandukan sebarang tafsir atau ulama, mereka dengan sewenang-wenangnya bercakap dan menghuraikan kandungan Al-Quran yang mulia dan suci itu. Dalam kes model Kartika, mereka turut tidak ketinggalan untuk mengulas dan ‘buat pala’ dalam hal berkaitan perundangan Islam. Tetapi telah dibidas oleh tokoh-tokoh agama. Rujuk ini.

Saya cukup sedih dan terkejut apabila saya terjumpa sebuah blog seorang wanita yang saya rasakan sudah sedikit terpengaruh dengan fahaman ini. Dia juga merupakan lepasan institusi tahfiz terbesar di Malaysia. Dia menyatakan bahawa dia menyokong islamic feminisme. Adakah hanya kerana ada perkataan islamic di depan feminisme sudah cukup untuk menghalalkan sesuatu perkara? Bagaimana dengan islamic beer? islamic zina? islamic couple? islamic maksiat? Walaubagaimanapun, dia agak terselamat kerana mungkin dia tidak mengerti maksud islamic feminisme yang sebenar, bahkan dia telah memanipulasikan definisinya dengan mentafsirkan ia sebagai satu seruan agar kaum lelaki kembali kepada asal fitrah dan menunaikan tanggungjawab mereka sebagai lelaki. Sebenarnya perkara ini tidak perlu kerana Islam yang syumul itu telah menyatakan perkara ini bahkan dalam Islam ia lebih adil kerana memerintahkan supaya kaum lelaki dan kaum perempuan agar sama-sama berusaha untuk menunaikan tanggungjawab mereka dan menjalankan amanah dengan sebaik-baiknya.




Pengamal dan pejuang islamic feminisme lebih teruk daripada mereka yang memperjuangkan feminisme barat kerana di barat mereka menentang ketidakadilan yang berlaku disebabkan kezaliman dan kejahilan pemimpin barat, manakala pendokong islamic feminisme menentang syariat Allah, hukum-hakam, ulama dan sistem Islam.

Mungkin ada yang tidak faham mengapa mesti Allah bezakan tanggungjawab dan kelebihan suatu jantina atas suatu jantina yang lain.

1. Sebenarnya yang paling utama untuk kita ketahui ialah Allahlah yang menciptakan kita, Dia juga Maha Mengetahui akan segala sesuatu. Jadi Allah lebih arif dan pakar dalam menetapkan tanggungjawab bagi makhluk-Nya, Dia lebih tahu apa yang sesuai.

2. Bagi sesiapa yang benar-benar mengkaji dan memperhatikan perbezaan yang ada pada kedua-dua jantina ini, maka dia akan mendapati bahawa memang terdapat perbezaan dari pelbagai sudut seperti biologikal, emosi, pemikiran, cara, sifat dan tingkah laku yang menyebabkan perlu wujudnya perbezaan tugas dan tanggungjawab agar ia bersesuaian dengan perbezaan yang ada pada kedua-dua jantina tersebut.

3. Mungkin ada juga yang merasakan seperti Allah tidak adil dalam menetapkan tanggungjawab, ia merasakan sesuatu tugas itu sebagai sangat baik dan menunujukkan kemuliaan sehingga menyebabkan ia merasa perlu untuk dia melaksanakan tugas itu. Sebenarnya ini adalah satu kefahaman yang salah. Cuba kita perhatikan analogi berikut. Terdapat dua alat yang berbeza, yang pertama ialah DVD player manakala yang kedua ialah VCD player. Kedua-duanya berjenama SONY. Kita dapat melihat bahawa kedua-duanya dipandang hebat dan berkualiti kerana berjenama SONY tetapi tugas dan peranannya berbeza disebabkan adanya perbezaan dalam penciptaan alat tersebut. Jadi tugas mereka juga berbeza dan sesuai dengan keadaan masing-masing. Begitulah juga dalam perkara ini, kita semua adalah hamba Allah yang sama tarafnya, tetapi ada perbezaan yang menyebabkan perbezaan tugas dan peranan. Semuanya sama taraf kerana berjenama ’hamba Allah’, apa yang dapat membezakan kita? Taraf kita di sisi Allah akan berbeza hanya dengan sebab taqwa, bukan sebab jantina, warna kulit, saiz, bangsa, duit atau apa sahaja perkara lain yang biasa dijadikan ukuran oleh sesetengah masyarakat kita.



Seruan dan pesanan saya kepada wanita, khususnya kepada mereka yang memperjuangkan feminisme atau islamic feminisme, tinggalkan segera fahaman ini, mungkin dengan sebab ini aqidah anda boleh rosak. Jika anda ingin memperjuangkan hak anda, maka perjuangkanlah hak anda untuk menutup aurat. Di kala muslimah Turki habis-habisan menuntut hak menutup aurat di sana, kita di sini habis-habisan menuntut supaya diberi kebenaran agar free hair dibenarkan, agar kain boleh dibelah, agar baju boleh diketat, agar tudung boleh di’Bienda’, agar paha boleh ditunjuk, agar lurah boleh didedah, agar kain boleh terangkat sehingga menggersangkan si Adam yang lemah imannya. Kononnya inilah hak asasi dan kebebasan bersuara.

Ingatlah wahai isteri para menteri, datin-datin, atau siapa sahaja anda, Allahlah penentu segalanya, penentu kebebasan dan batasan bagi kita semua.

Jika masih ada yang ingin anda perjuangkan, maka perjuangkanlah maruah wanita yang sudah dilelong kesana kemari. Halanglah mereka dari menjadi model yang sekadar pemuas nafsu. Tidak ketinggalan juga mereka yang sekadar menjadi daya penarik dan pelaris barang jualan. Hampir semua produk yang dikeluarkan oleh Jepun mempunyai model yang seksi di sebelahnya. Perkara inilah yang perlu anda hentikan, perjuangkan hak anda untuk tidak dimanipulasi oleh mereka yang hanya mementingkan keuntungan dan wang ringgit. Lagipun ia suatu kebaikan untuk syarikat itu sendiri, mengapa? saya bimbang sekiranya produk mereka itu tidak laku kerana adanya ’produk’ lain yang lebih ’sempoi’, ’mantap’ dan ’mengancam’ di sebelahnya.
ART
Akhir kata, elakkan feminisme dan segala yang berkaitan dengannya. Perjuangkan apa yang telah Islam tetapkan, nescaya segala hak dan keperluan kamu akan dipenuhi.



klik sini, contoh pendapat berdasarkan logik SIS


 

ARTIKEL INI ADALAH HASIL NUKILAN MANTAN PRESIDEN BADAR SBPIKP 06/07, MUHAMMAD NASIRUDDIN BIN MOHD. SOBRI (http://almomentum.blogspot.com)



No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails