Monday, March 8, 2010

~:::....geRHAna seOrang da'iE...:::~


   
Wafa’ memandang sepi pemandangan musim luruh dari beranda rumah sewanya. Dedaunan kering menari ditiup angin petang. Pagi tadi hujan sedikit lebat. Suhu petang itu kira-kira 13 darjah Celcius. Sejuk mencengkam tulang belulang gadis Melayu itu. Sesekali dia benar-benar teringatkan keluarga yang ditinggalkan di tanah air. Rindu bukan kepalang lagi. Dia juga teringatkan duit belanja biasiswanya yang disekat tanpa sebarang alasan. Ahh….politik betul pihak atasan! Namun, bukan semua itu yang membuat dia resah dan gelisah.

   
Khaulah….sahibah yang amat disayangi dan dihargainya. Setahun ketika mereka bersama-sama belajar di Program Asasi Sains Universiti Malaya dulu cukup besar ertinya dalam lipatan kenangan Wafa’. Masa berlalu begitu cepat. Serangan jahiliyyah begitu licik. Setahun setengah di bumi Queen Elizabeth ini sudah banyak mengubah diri mereka. Gumpalan perasaan kesal mula menyerang kalbu kecilnya. Bekalan iman yang dibajai di UM dulu sudah mula kehabisan tenaga.

  
Sebelum melangkah ke sini dahulu…..
Terasa diri sudah pun bersiap sedia dengan senjata dan kelengkapan perang fikrah. Namun hakikatnya…persiapan tersebut belum pun cukup matang untuk menumpaskan musuh iman. Mereka sudah mula berlari di track yang sama dengan manusia lain yang hidup tanpa sentuhan tarbiyyah Islamiyyah Harakiyyah. Arus jahiliiyyah direnangi dengan hati yang senang dan tenang.

“ Ya Allah…aku rindu aku yang dahulu,” begitulah munajat hati kerdil Wafa’. Saat dia terkenangkan posisinya di sisi Allah dan Islam, hati bertambah lesu. Hidup tanpa murabbi di sini amat mendukacitakan. Setiap kesilapan dan kelalaian berlalu tanpa teguran. Simpulan ikatan hati semakin longgar. Kalau dahulu kerana Allah, kini kerana first class honor. Hati terasa beku dan kaku. Berkali-kali dibacanya Surah Al-Waqi`ah, namun setitik air mata khauf pun tidak menitik. Dipegangnya buku Men Around The Messenger dengan harapan terdidik dengan perjuangan jihad awwaluun, namun semua itu gagal membuahkan hasil. Duit belanja makan hariannya di infaq, dalam hati berdoa agar Allah mencurahkan cahaya kasihNya kembali. Malang….Wafa’ gagal lagi.

    
Dikerah nafsunya berpuasa Isnin Khamis, sayang sekali.. .natijahnya umpama mendapat penat dan lelah tanpa merasai kenikmatan berubudiyyah kepada Allah. Berkali-kali dia termenung di atas katil empuknya untuk bermuhasabah, namun segalanya berakhir dengan dengkuran panjang. Ya Rabbi….apakah ada dosa yang tidak sudi Kau ampunkan? Menjelang malam sepi dia bangun untuk mencuri perhatian pemilik ruhaninya, tetapi baru dua rakaat solahnya dia sudah rebah tidak bermaya. Ya Ilaahi….mengapa ni?

“ Jalan ini memerlukan bekalan dan persiapan yang besar dan banyak. Tanpa bekalan dan persiapan yang rapi, para da’i bakal tersungkur menyembah bumi. Kerana itu, para da’I perlulah hidup dalam dunianya sendiri tanpa terpengaruh dengan perubahan palsu yang menari disekelilingnya.”

    
Mata Wafa’ terpaku seketika pada catatan yang pernah dicatat di dalam buku halaqahnya . Dia terigaukan halaqah yang dihadirinya setiap minggu di tanah air dulu. Benarlah huraian mas’ulahnya, kira-kira 3 tahun yang lalu. Dia kekurangan bekalan dan persiapan. Muayyid-muayyid yang di cekup nya dulu dibiarkan tanpa dihubungi. Dia benar-benar kelesuan!! Dia meneruskan pembacaannya. Tulisan-tulisan itu walaupun hodoh kerana bersambung-sambung tanpa khat yang betul, tetapi ia begitu berharga.

    
Namun…..yang menyentuh hati sang manusia ialah Allah. Bukan fikrah yang tercatit di lembaran buku catatan, ataupun amal-amal soleh yang diperjuangkan. Walau solah 20 rakaat sekalipun, seandainya Allah tidak mengangkat hijab di hati, semuanya tidak berhasil. Sesungguhnya kalbu manusia di celah jari-jemari Allah. Allah berkuasa memalingkannya ke arah yang dikehendakiNya. Ruhnya longlai mengenangkan semua itu. Oh Allah...datanglah padaku…air matanya tumpah mengenangi kelesuan yang melanda diri. Wafa’ menyambung telekunya di beranda itu. Tangan ditadah ke langit biru. Matanya merenung jauh merentasi pameran alam Ilahi seindah saujana mata memandang.
“ Ya Allah, kurniakanlah kepadaku kedua biji mata yang mudah mengalirkan air mata, dapat menyembuhkan hati dengan linangan air mataku itu kerana takutkanMu. Perkenankanlah permohonanku sebelum mengalir dari kedua mata ini air mata darah, Ya Allah, kepadaMu lah aku kembali…”


    
Dia melepaskan nafas panjang. Alangkah indahnya sekiranya derita itu terhembus keluar bersama deruan nafasnya. Argh…beriman tidak semudah itu!! Dia mendesak diri untuk keluar dari lubuk kelesuan ini, namun bagaimana? Segala amalnya seperti ditolak Allah. Alangkah tidak berharganya sebuah kehidupan begini…

Buat Ukhti Wafa’ da’iyah pemegang masa depan ummah,
“ Hai anak Adam, carilah Aku nescaya engkau akan bertemu denganKu. Jika engkau dapat menemuiKu ertinya engkau telah mendapat segala-galanya. Tapi jikalau Aku luput darimu ertinya engkau telah luput dan kehilangan segala-galanya. Sewajarnyalah engkau mengasihiKu dari segala-gala yang lain.” (Hadis Qudsi)


    
Anak mata Wafa’ berlari-lari membaca bait-bait hadis itu. Dia memejam matanya erat. Kad berwarna biru itu dihadiahi oleh akh Abdullah Mas`ud pada hari dia berlepas ke London International Airport. Wahai Abdullah Mas`ud, seandainya anta tahu ana di marhalah ini, pasti anta tidak sudi lagi untuk memperisterikan diriku. Pasti akhi sedang bersilat dengan dunia akhi selaku da’I dan murabbi di tanah air sana. Sedang ana di sini berperang dengan nafsu pun sudah tertewas. Tunangku, tidaklah semudah yang disangka untuk mencorak diri selari dengan fikrah Islam yang semestinya kita fahami. Di sini ana hidup tanpa murabbi mithali, tanpa biah solehah juga manhaj Rabbani yang ana sendiri masih jahil tentangnya.

“ Khaulah, malam ni kita buat halaqah boleh? Hati ana dah tak tahan dah ni, iman ana dah nyawa-nyawa ikan. Dah berapa bulan kita tak bersama,” Kata Wafa’ pada Khaulah ketika mereka sedang dalam perjalanan ke Manchester University of Science And Technology.

“ Malam ni actually ana ada perjumpaan Exco PPIMUK.”
“ Kalau minta uzur syar’ie tak boleh ke?”

“ Mana boleh, ana Exco Tertinggi. Kalau tak datang, jatuh reputasi. Lagipun kami ada projek besar nanti menjelang Aidil Fitri hujung tahun ni. Sorilah Wafa’, kita tangguh boleh?”

“ Ukhti…ana cakap sikit boleh?”

“ Cakap apa? Ana kalut ni,” Jawab Khaulah diiringi senyuman kering.

“ Takpelah kalau macam tu. Kita cakap kemudian. Cuma….Cuma ana nak sampaikan pada anti yang actually ana nampak anti dah jauh dari track kita. Errr…that’s all. We meet tonight, InsyaAllah.”

     Wafa’ menyudahi bicaranya di situ. Gadis Kuala Kedah itu dapat merasakan yang dia sudah tidak ikhlas lagi terhadap Khaulah, yang semakin hari semakin berbeza. Dia tidak sanggup memandang anak mata Khaulah yang cantik itu di saat dia melepaskan kalimat itu tadi. Entah apa rasa hati Khaulah agaknya….marah? geram? Tersedar? Wallahua’lam. Wafa’ dan Khaulah berpisah di situ. Khaulah melepasi pagar universiti manakala Wafa’perlu menaiki bas untuk ke fakultinya. Hati Wafa’ kembali pudar . Terkesima juga dia dengan jawapan Khaulah yang sudah dijangkanya. Wafa’ beristighfar…..lupa pula…..da’I perlu berbesar hati dan berlapang dada berhadapan dengan seribu satu situasi yang menyukarkan proses berlaku. Dia sahibahku….bukan orang lain!!

. “ Kesibukan yang tidak ke mana-mana…” Wafa’ mendengus sendirian. Beginilah masa-masa Mukmin dihabiskan. Mukmin terlalu sibuk dengan agenda kehidupan yang belum pasti. Mesyuarat siang malam, namun maksiat terus berleluasa, malah semakin dahsyat. Mukmin telah terlupa beramal tanpa noktah bidayah yang betul akhirnya membuahkan bibit-bibit kefuturan yang busuk. Semangat semata-mata akhirnya tidak ke mana-mana.

“ Nak survive macam mana kalau tak ada halaqah? Along cakap senang la. Along kat sana ramai sahabat-sahabat yang soleh. Tersilap ada yang menegur. Tengok kereta sahabat pun dah cukup untuk membina kesungguhan. Wafa’ kat sini dah lah hidup disekeliling manusia laknatullah. Mana mungkin seorang manusia yang tidak terdidik dapat mendidik manusia lain?”

“ Habis tu, Wafa’ nak cakap Wafa’ sanggup tunduk pada jahiliyyah dan kekufuran?!” Mus’ab membidas butir bicara adiknya.Tajam. Mus`ab tersentak mendengar idea-idea Wafa’ yang tidak matang. Tak bersedia, tak mampu, tak layak, hati kotor lah, jauh dari Allah lah…tidak ada kekuatanlah…dan seribu lagi alasan yang bermacam wajah dan rupa. Baginya, manusia yang hidup diselaputi udara jahiliyyah punya peluang yang begitu besar untuk lebih mendekati Allah. Dan yang paling penting, melaungkan seruan dakwah ilallah adalah perkara asas yang wajib dimulai.

“ Bukanlah macam tu Along.”

“ Selagi mana kita tidak bertindak untuk meruntuhkan jahiliyyah, selagi itulah kita dikatakan redha kepada system yang menghina Islam. Wafa’ ingat dakwah tu pergi bagi ceramah macam pendakwah bebas tu ke? Sekadar bagi ceramah tidaklah namanya mendukung Risalah, tetapi kerja kita sekarang ialah membentuk peribadi yang selari dengan kehendak Allah. Wafa’ tak perlukan modal, you do not need transport, or money, or anything else. Cukuplah kalau mereka punya hati dan hidup mencari sesuatu yang lebih bermakna.”

“ Hati Wafa’ pun lesu, nak sentuh hati orang macam mana…”

“ Inilah masalahnya. Dah tau hati tu tak ada tenaga, do something Kak
Long.”

“ Wafa’ dah buat macam-macam!! Along tak faham ke? Wafa’ sampai tahap tension sebab tak tau bagaimana nak rawat hati ini lagi. Argh…..kadang-kadang Wafa’ lebih gembira mati dan tidak pernah ada di dunia ini. Tak perlulah Wafa’ berhadapan dengan Hari Pembalasan Allah yang sangat menakutkan.”

    Mus`ab diam seketika. Dia cuba menyelami hati adiknya. Rasa lemah? Rasa tak berdaya? Donno to do anything? Aku juga pernah melalui stage itu. Stage yang dahsyat! Dia tidak ingin kembali ke marhalah itu. Ya….para du`at juga punya keletihan masing-masing. Kesilapan demi kesilapan yang diulang tanpa perubahan lah yang mencampakkan para da’I ke lembah duka dan gelisah. Adakalanya da’I terfikir aku tidak selayaknya lagi bersama dengan kafilah ini. No!! Never and forever to think such the way!! Mana mungkin manusia yang normal terfikir untuk melepaskan segenggam emas dan permata ditangannya kerena kecewa dan duka. Bodoh…mungkin itulah panggilan yang paling sesuai buat mereka yang terfikir sedemikian rupa. Walau bagaiman jelek pun pakaian, walau bagaimana raa tak layak pun untuk untuk memakai permata di tubuh, tak mungkin permata itu dibuang. Kan?

“ Keluarlah dari kepompong, lihat dunia disekeliling Wafa’ dengan hati. Dunia menderita kerana mereka kehilangan hati mereka sendiri. Sedang kita tertipu untuk melengkapkan diri semata-mata tanpa menyeru orang lain kepada Islam. Kita bukan nak jadi ahli sufi semata-mata, tapi kita perlu menjadi da’I dan murabbi. Sesungguhnya dakwah lah yang mendekatkan diri kita dengan Allah, dakwah lah yang memberi kita ruang untuk sentiasa memperbaiki diri, Manusia yang hanya tahu untuk memperbaiki diri tanpa memulakan dakwah adalah manusia yang hidup untuk dirinya sendiri. Lihatlah masyarakat yang menderita di sekeliling Wafa’, normal kah Wafa’ kalau tidak rasa kasihan dan mahu membantu mereka? Bukankah Islam itu kekuatan dan kemenangan?”

     Wafa’ diam membisu. Ada benarnya tamparan kata-kata Alongnya. Dia sudah melupakan penderitaan ummah. Hatinya tidak terdengar tangisan sang ibu kehilangan anaknya...dirogol, dibunuh, dilarikan, ditipu, dan diperkosa iman mereka. Dia lupa pada jerih payah sang ayah mencari nafkah siang dan malam sehingga melupakan anak-anak. Anak-anak dibiar subur bersama jahiliyyah. Lalu anak-anak menjadi manusia yang lupa diri, gelap cita-cita, dan paling menyayat hati; anak-anak muda kehilangan kekuatan untuk menempuh perjalanan kehidupan. Dia lupa pada derita masyarakat dihimpit ideologi-ideologi manusia. Jiwa insan ditikam ketidakselesaan, keresahan, kehasadan dan kefasikan. Manusia menjadi hamba manusia. Siang malam ditempuhi dengan penuh kesengsaraan jiwa. Lupakah dia pada derita yang tidak pernah terbayang begitu dahsyatnya? Kemiskinan bukanlah sengsara yang hakiki, tetapi kemiskinan jiwa merupakan segala-galanya. Oh Allah, bala apakah yang menimpa umat ini?

“ Baiklah Wafa, Wafa’ fikirlah dengan iman. Kita sudah tidak ada masa untuk duduk lagi. Ingatlah wahai da’I ilallah, jauhkanlah diri Wafa’ dari segala yang bernama al-hawa’.” Perbualan tarbawi mereka terhenti di situ diakhiri dengan ucapan salam. Wafa mendapat sedikit kekuatan untuk segera bangkit kembali. Kita dah tak ada masa….detik hatinya.

“ Mungkin pada pandangan manusia Mus’ab bin Umair dikira menderita. Dia kehilangan kegemilangan, kekayaan, dan kasih-sayang seorang manusia yang very special in his life, tapi mari kita selami hati mereka. Mereka tenang kerana keimanan yang mendiami jiwa mereka. Mereka merasakan tidak ada apa-apa yang lebih bermakna melainkan iman kepada Allah. Iman begini yang kita nak capai, kerana iman beginilah yang berkuasa menggerunkan musuh-musuh Islam yang sentiasa menyerang kita dari segenap penjuru. ” Wafa’ teringatkan perbualannya dengan Kak Hasna ketika di tanah air dulu. Sembang-sembang mendidik jiwa.

Saat mereka mendaki Gunung Jerai….

“ Susahnya nak daki gunung ni, letih la…”

“ Kita nak mendaki perjalanan menuju Allah jauh lebih sukar,” Kak

Balqis menyahut keluhan Wafa’ selamba. Dia tersentak seketika. Ya tak ya juga….

“ Barangsiapa yang mencari Allah bukan melalui jalan berharap(roja') dan takut(khauf), bukan dengan rindu dan cinta (kepada Nya), niscaya dia akan kebingungan dalam mencari Nya, kacau dalam amalnya, tidak akan menemukan nikmat-nikmatnya ibadah, dan tidak dapat menempuh jalan kezuhudan. Oleh kerana itu, bertaqwalah kepada Allah yang hanya kepada Nya kita kembali.” Amirah yang dari tadi berada di belakang mereka tiba-tiba bersuara. Wafa menoleh ke belakang. Dia membalas pandangan mata Amirah yang redup penuh mahabbah.

“ Jazakillahkhairan ukhti...patutlah selama ini mudah sangat ana berundur,” Wafa’ berbicara tenang walaupun tubuhnya keletihan. Sesungguhnya pendakian tarbawi yang panjang tetapi singkat ini benar-banar mendidik jiwa mereka. Ukhuwwah terasa kehangatannya. Inilah masa untuk berta’aruf dengan lebih mendalam, berkongsi pendapat dan pengalaman, meminta nasihat dan idea, juga saling memperingati akan tugas sebenar seorang Muslim Mukmin, yakni mendukung Risalah Dakwah Rasulullah.

    
Wafa’ tersenyum sendiri mengenangkan semua itu. Dia berasa sedikit segar setelah nostalgia di jalan dakwah dan tarbiyyah bersama sahabat-sahabatnya di tanah air singgah sebentar di kalbunya. Dia umpama baru disergah... “ Hei Wafa’, kita mendukung Risalah!! Bangun!!” . Wafa bingkas bangun. Tangannya ligat menyelongkar kitab-kitab fikrahnya yang tersimpan di balik pintu biliknya. Dia sedang mencari bekalan....bekalan sirah yang telah pun pudar di dalam dadanya.Ya Allah, didiklah aku menerusi sirah yang akan ku baca ini....ya Allah, Engkaulah sebaik-baik pendidik.”

   
Tangan Wafa’ menggeletar saat dia memegang buku Perjalanan Kehidupan Rasulullah s.a.w karangan Abul Hassan Ali an-Nadwi. Dia sedar kini....mengapa dia mudah longlai....kerana sejarah kebanggaan umat Islam telah malap dalam kehidupannya. Ya...aku perlu hidup bersama sirah. Mereka telah membenarkan iman mereka dengan amal dan pengorbanan.

     
Setiap kali Wafa’ bersendirian, air mata lah menemaninya menahan rasa lesu yang menyerang jiwanya. Dia terus berdoa dan berdoa...penuh pengharapan agar Allah mengembalikan iman ke dalam hidupnya. Dia yakin, Allah tidak menyia-nyiakan keikhlasan hambaNya untk mendekatiNya. Semoga Allah memberinya sekeping hati yang baru....

“ Umi risau Kak Long sorang-sorang di sana. Pihak lelaki minta diawalkan,”
Umi memujuk Wafa’ dengan penuh rasa kasih selaku seorang ibu. Wafa’ diam seribu bahasa. Dia memandang langit biru yang kelam. Malam itu bintang tidak kelihatan. Nak hujan kot, bisik Wafa’ membuat tekaan sendiri. Umi bangun dari katil, mendekati Wafa’ yang berdiri di sisi tingkap.

“ Boleh Kak Long? Kak Long cuti ada lagi 2 bulan lebih , sempat kalau Kak Long nak menyediakan diri,” Umi memujuk lagi. Hati ibu mana tidak resah melepaskan puteri sulongnya merantau ke negara kuffar sendirian tanpa mahram di sisi.

“ Abah tak kata apa-apa?”
 
“ Abah pesan jangan paksa Kak Long,”
 
“ Dah tu?” Wafa’ merespon sedikit kasar. Hatinya bengang. Janji waktu bertunang dulu pihak lelaki sanggup tunggu hingga dia menyelesaikan degree nya. Tapi sekarang lain pula bunyinya...
 
“ Bukan soal janji Kak Long. Tapi soal Kak Long di ganggu di sana,”
Wafa’ memejam matanya erat, sedih bercampur kesal. Dia mula menyalahkan dirinya kerana menceritakan peristiwa dia di ganggu oleh pemuda berkulit hitam setiap hari. Kalau tak cerita, tak akan jadii macam ni....!! Wafa’ beristighfar, terasa syaitan mula merangsang amarahnya sekali gus menghangatkan emosinya. Dia seperti mahu mengungkit kisah silam. Wafa’ bertunang pun atas gesaan keluarganya. Yang paling menyentuh hati, pertunangan di adakan dalam suasana yang sangat tergesa-gesa, beberapa hari sebelum dia berangkat ke United Kingdom 2 tahun lalu. Dia beristighfar lagi....dia terlupa hidup ini diatur Allah dengan sebaik-baik pengaturan. Tiada silap tiada cela. Belajarlah menerima rentetan perjalanan yang adakalanya sangat memeritkan. Inilah kehidupan....
 
“ Lagi setahun setengah aja,bukannya lama mak,” Wafa’ bersuara lagi setelah menyepi agak lama. Umi mengurut bahu Wafa’ dengan tangan kanannya. Hati umi sentiasa berdoa semoga dibukakan hati puteri kesayangannya.
 
“ Dia tak apelah, dah ada Master, Kak Long ni harapkan sijil matrikulasi tu aja.”
 
Kan tak elok kalau dah berumur nanti baru nak kenduri. Dia pun dah nak masuk 25, nak tunggu lama-lama tak sopan. Tak elok bertunang lama-lama,”
 
“ Dulu, kenapa tak cakap pun yang bertunang lama-lama tu tak elok? Kenapa sekarang baru nak ungkit? Dah tak tahan?!” Wafa’ melepas geram.
Hatinya mula membara.  
“ Kak Long, solehnya mulut tu,” Umi menegur keceluparan mulut puterinya.
“ Umi dah jemu jaga Wafa’ ke? Kanapa begitu cepat umi nak bagi orang lain yang didik Wafa? Wafa’ tau Wafa’ banyak menyusahkan hati mak.”  
“ Bukan macam tu Kak Long. Umi risau sangat Kak Long di sana. Setiap malam umi doa untuk Wafa’ melebihi doa umi untuk adik-adik lain,”  
“ Umi dan Mas’ud tu sama aja....kan Allah ada untuk jaga Wafa’? Umi tak paham ke perasaan Wafa’? Wafa’ tak pernah terfikir untuk melalui semua ni seawal ini,”  
“ Memang Umi dan Mas’ud sama. Kami sayangkan Wafa’,” bersahaja jawapan Umi membedil kembali telahan puterinya. Umi memaafkan kekasaran puterinya yang sedang beremosi.  
“ Yelah...nanti Kak Long solah istikharah, bagi tahu pihak lelaki anak umi ni muda lagi, baru 21. awal-awal sangat pun tak elok. Kak Long bukan reti apa-apa,” Wafa’ menyudahkan bicaranya di situ. Penuh perasaan dia memberi lafaz putus untuk perbualan malam itu Dia mengorak langkah keluar dari bilik bundanya. Air mata mula menitik...entah mengapa sensitif benar dia belakangan ini. Mudah sekali dia menangis. Umi hanya memandang sepi. Hatinya berperang antara dua keputusan...antara pernikahan puterinya atau meredhai dia diganggu saban hari di sana kelak? Hati sang Umi amat memahami naluri puterinya. Wafa’ sedikit ego, tetapi hantinya lembut. Kalau diberi alasan logika dan rasional, anaknya akan bangkit dan menentang keputusan orang lain demi menegakkan ideanya. Tetapi saat ditujah dengan alasan syara’, dia pasti akan tunduk patuh walaupun semua itu sangat menekan jiwanya.  
“ Macam mana?” tanya Abah pada Umi. Abah masuk ke bilik apabila menyedari Wafa’ keluar tadi. Abah begitu segan untuk menyertai suasana tadi. Abah lebih selesa menyerahkan semuanya kepada Umi.  
“ Abang pun faham anak kita, kalau tak ada alasan yang syar’ie dia akan pertahankan apa yang dia faham,”  
“ Habis tu, apa katanya tu?”  
“ Tak bagi kata putus lagi. Nak solah dulu katanya. Sebak juga Shimah mendengar alasan dia,” Umi tunduk memandang lantai bilik yang berwarna hijau muda. Saat ini dia amat memahami betapa tersepitnya atma Wafa’. Mengakhiri zaman gadis tanpa persiapan jiwa adalah suatu yang agak menyukarkan.  
“ Perkara yang paling Wafa’ tak suka ialah melakukan sesuatu yang dipaksa,walaupun perkara tu syara’.” Umi teringatkan kata-kata Wafa’ tidak lama dahulu.  
“ Kita solah hajat bang,” Umi akhirnya bersuara penuh sebak. Wafa’ menangis teresak-esak di birai katilnya. Memasuki gerbang perkahwinan bukanlah suatu yang mudah baginya. Kalau sekadar ber akad nikah dah settle tak apa. Ini tidak....seribu satu tanggungjawab menanti di hadapan. Digagahi kakinya mendekati almari soleknya. Mushaf Al-Quran berwarna biru di capai dengan hati yang masih hambar. Dia duduk di kaki katil. Saat dia membuka mushaf itu air matanya bertambah lebat. Barulah dia teringat mushaf itu merupakan hadiah hantaran pihak lelaki pada hari pertunangannya. Tangannya sepantas kilat melepaskan Quran itu. Mushaf itu terdampar di hujung kakinya. Astaghfirullah....apa aku dah buat ni? Dia mengutip kembali mushaf itu. Saat itu dia terpandangkan jam tangan di tangannya, jam itu pun merupakan hadiah dari Akh Abdullah Mas’ud sebagai menghargai kesudian Wafa’ menerima lamarannya. Wafa’ meletakkan kepalanya di atas bantal. Ujian ini terlalu kecil, bisiknya perlahan. Pasrahlah kepada Allah, Allah lah yang mencampakkan dirimu ke dalam kemelut ini. Dia terkenangkan pengajiannya di Manchester. Mampukah aku? Baitul Muslim menjadi medan baru untuk mengaplikasikan bekalan yang telah dikutip pada zaman solonya. Dia melihat kelemahan diri yang terlalu banyak....bersediakan Akh Abdullah Mas’ud menerima kecacatan diri ini? Wafa’ juga manusia biasa....walaupun semua orang yang bersama dengannya seringkali memuji peribadinya yang unggul. Namun, insan tetap insan!! Manusia memandangku hebat kerana tidak memandang diriku dari dalam, getus Wafa’ sayu. Dia juga punya nafsu, pendirian dan ideanya sendiri yang adakalanya pantang dicabar. Wafa’ akui dia agak ego, keras kepala, mudah tersentuh, manja dan mudah jemu. “ Pandanglah semua ni dengan keimanan dan kethiqahan kepada Allah sebagai Rabb dan Ilah Wafa’,” Wafa’ tetap mendiamkan diri. Dia membelakangi pemuda yang sedang menasihatinya. Kali ini, Mus’ab pula mengambil giliran memujuk sang adik yang semakin hari semakin menyepi tanpa sebarang jawapan. Dia juga khuatir adik perempuannya bersendirian mengharungi kancah perjuangan di Manchester. Saban hari semakin mengganas sikap musuh-musuh Islam. Mus’ab tahu masih terlalu banyak perkara yang Wafa’ sembunyikan dari pengetahuan mereka sekeluarga; tentang dia diugut, dicerca, dipermainkan, dianiaya, hatta digoda sekalipun, Wafa’ seorang yang perahsia. Adakalanya amat sukar mentafsirkan gelombang apakah yang melanda sanubari adiknya itu. “ Apa yang ada dengan segulung ijazah first class yang Wafa’ hajat sangat tu? Dulu...Wafa’ selalu beri nasihat pada Zulfah yang kita memburu redha dan rahmat Allah setiap masa. Apakah dengan meletakkan diri dalam fitnah membantu Wafa’ mendapatkan semua itu? Wanita itu fitnah, wajiblah bagi setiap Muslimah memelihara maruahnya, harga diriya, dan imannya dari anasir-anasir yang akan mendekatkan dirinya kepada neraka Allah.” Wafa’ diam seribu bahasa. Dia tunduk kelesuan. Lidahnya beristighfar dan menyeru nama Allah berkali-kali. Ya Ilahi.....aku lemah tanpaMu.... “ Wafa’ belum mencintai Allah. Wafa’ belum lagi memahami rukun bai’ah. Wafa belum mempunyai hati yang cergas dalam zikrullah. Wafa’ tak menjiwai dakwah lagi, hanya berada di pinggiran dakwah kerana Wafa’ terlalu lemah. Tunggulah hingga Wafa’ dah ada semua ni. InsyaAllah, Wafa’ hanya akan walimah setelah Allah Wafa’ cintai. Wafa’ tiada kekuatan untuk menerima sahabat ni benar-benar kerana Allah. Wafa’ takut Wafa’ banyak merungut apabila berdepan dengan kelemahan dan kecacatan dia. Hilanglah pahala Wafa’ sebagai zaujah yang meredhai zaujnya,” Wafa’ memberi kata putus akhirnya. Umi memegang erat tangan Wafa’. Cincin tunang yang disarungkan oleh bakal ibu mertuanya telah lama dia tanggalkan dari jari hantunya. Dia berangkat ke United Kingdom tanpa cincin itu. Kalaulah akh Abdullah Mas’ud tahu, pasti tersinggung si Mas’ud dengan tindakan puterinya. Namun sang Umi faham....berkali-kali dipujuk hatiya supaya tidak menganggu Wafa’ dengan urusan sebegini. Wafa’ sememangnya benar-benar tidak bersedia. Sedang puterinya enak mengharungi usia gadisnya, tiga empat orang sahabat abangnya masuk melamar. Wafa’ tekad, dia tidak akan mengizinkan mana-mana manusia di dunia ini singgah di hatinya sebelum dia belum benar-benar bulat terhadap Allah. Hanya itu alasan dia menolak mereka. Pada Wafa’, kalaupun dia dianugerahi zauj yang soleh, namun itu bukan dari bahagian sahamnya di akhirat. Masing-masing akan membawa amal mereka sendiri. Wafa’ mengharapkan syurga, Wafa’lah yang perlu mengharungi perit badai untuk menjadi hamba Allah yang Rabbani.  
“ Sendiri nak masuk syurga, sendirilah punya perjuangan. Kenapa nak libatkan orang lain untuk memilih jalan ini? Sekiranya Uthman memilih untuk bersama dengan kemuliaan Islam, sesungguhnya Allah ada manhaj yang jelas untuk lelaki menjauhkan diri dari fitnah wanita. Takkan wanita-wanita selemah itu menggoyah hati pemuda yang mengejar syurga Allah?” Zapp.....!! Itu jawapan dari mulut Wafa’ apabila Uthman sahabat abangnya masuk melamar beberapa tahun lalu. Wafa’ tidak menerima alasan Uthman; untuk memelihara diri dari tarikan wanita tholehah di luar sana, dia ingin memiliki Wafa’ sebagai penguat dan pendorongnya untuk menolak mereka. Mus’ab hanya mampu meneguk air liur mendengar jawapan adiknya. Keras kepala, jual mahal, tidak memahami orang lain...itulah label yang sesuai buat adiknya, Mus’ab menggetus sendiri.
“ Ya Ilaahi, Ya Zal Jalaaliwalikraam.....Engkaulah yang memiliki kehidupanku, Engkaulah yang mengisi hidupku dengan apa yang Engkau sukai. Aku milikMu, jiwaku dalam genggamanMu, hembus nafasku dalam perkenan kehendakMu. Engkaulah Rabb dan Ilahku.... Ya Ilaahi....janganlah pemuda yang hadir dalam hidupku ini melarikan kerinduanku, kecintaan serta pergantunganku pada Mu. Engkau tetap tujuan dan maltamat hidupku. Ya Hayyu ya Qayyum, Peliharalah hatiku dari mengisi ruang cinta di hatiku selain ianya untukMu, untuk DeenMu dan demi redhaMu. Ya Ilaahi.....ampunilah Abdullah Mas’ud, sibukkanlah dia dengan urusan dakwah dan jihad di jalanMu. Ya Ialahi..terimalah zaujku....aku memberinya untuk kebangkitan DeenMu yang dihina oleh saudara-saudaraku,maka ampunilah mereka yang jahil ya Allah...aku redha dia tidak menemami masa lapangku, kerja-kerja harianku, tidurku juga kerehatanku. Aku redha dia menjadi rijaal DeenMu sehingga dia umpama bukan milikku, tetapi milik dakwahMu. Ambillah dia ya Allah, gunakanlah dia di jalanMu, didiklah dia, tunjukilah dia jalan menuju syurgaMu, buanglah kecintaannya terhadapku seandainya itu yang menghalang dakwah kepadaMu. Ya Rahman, Ya Rahiim....kuatkanlah kami di saat kami diuji dan ditekan Ya Allah. Kami lemah tanpa kekuatanMu, Engkaulah sumber kemenangan dan keteguhan hati kami...” Basah telekung putih Wafa’ dihujani air mata munajatnya. Dia menerima segalanya dengan hati yang terbuka. Ya Ilaahi...sekiranya ini yang Engkau mahu, inilah yang aku terima sepenuhnya dariMu, Wafa’ berbisik sendiri. Majlis akad nikah telah selesai malam tadi. Saudara-maranya sibuk membuat persiapan kenduri kesyukuran unuk esok hari. Malam ini adalah malam dia bersama Allah lagi, seperti malam-malam sebelumnya. Dia memberitahu Rabbnya apa yang terjadi. Bukan dia tidak menyedari Allah menyakiskan segala yang berlaku, namun ruh ubudiyyah yang menyelubungi atmanya membuatkan dia tidak tenang tanpa menceritakan semuanya kepada Allah. Dia amat tenang setiap kali selepas lidahnya melafazkan...Ya Allah,aku redha Engkau penyusun hidupku. Susunlah ia sesuka hatimu kerana aku hambaMu. Abdullah Mas’ud memandang isterinya dari jauh. Wafa’ sedang mesra berbual-bual dengan tetamu uminya. PadaMu kami memuji dan memuja ya Allah, bisik Abdullah Mas’ud. Semoga dia menguatkan hatiku yang lemah, merangsang jiwaku yang banyak berehat, dan menghampirkan aku dengan redha Mu ya Allah. Pemuda itu berdo’a lagi. “ Akhi, ana ingin menyampaikan keresahan di hati ana, sudikah anta mendengarnya?” Wafa’ berbicara lembut selepas mereka selesai solah tahajjud berjamaah pada malam itu. “ Apakah lagi yang merisaukan dirimu ya zaujati? Kita telah melaksanakan sunnah Rasulullah yang disukainya,” “ Ya, anta benar, kita telah pun menjadi suami isteri yang sah di sisi Allah. Namun, apakah iman dan takut kita kepada Allah akan sah di sisiNya bermula saat ini hinggalah kita mati dan berjumpa denganNya nanti?” Abdullah Mas’ud terdiam. Tiba-tiba air matanya tumpah. Ya Allah...benarkah iman kami? Wallahua’lam.

Tuesday, March 2, 2010

.:: kErana iNi jaLAn piliHAnku.:::.


Berapa kali aku kata aku bukan belajar di London! Aku belajar di Swansea, di salah satu tempat di Wales!


“Aku dah bilang kat hang banyak kali dah! Kalau pergi London tu jangan buat perangai tak elok! Jangan malukan mak ayah! Kau pergi sana untuk belajar. Bukan untuk jadi pendakwah!”

Swansea ayah, Swansea ! Bentak hatiku. Aku tak mengerti mengapa semua orang Malaysia menganggap jika belajar di UK itu maksudnya adalah belajar di London.


“Tak mengapa Sham, aku dok belajar di Ireland ni pun mak aku kata aku belajar di London.” Teringat kata-kata Izzul, teman serumahku di saat kami berbual.


Aku mengeluh di saat gagang telefon belum ditutup. Ayah masih meneruskan ceramahnya yang panjang lebar. Terasa bingit apabila suara garaunya menembusi gegendang telingaku.


“Aku dah bilang kat hang, dok London tu belajar. Buat apa nak enjoy-enjoy sangat. Bukan senang nak pergi overseas itu, tahu? Semua orang kampong ni tahu yang anak ayah pergi London . Mana aku nak letak muka jika kau balik tak bawak apa2 selain bini kau tu je?”

Dia masih tidak berkata apa-apa. Membiarkan si ayah memuntahkan segala isi hatinya yang terbeku. Padanya ayah tidak mengerti apa-apa yang dialaminya di bumi berhawa dingin itu.


“Usrah-usrah tu bukan tak bagus. Aku suka anak aku jadi anak soleh. Tapi jangan sampai berlebih-lebihan. Jangan sampai kau tak study langsung. Nak belajar Islam itu belajar juga, tapi janganlah berlebihan. Islam itukan wasatiah. Berpada-pada. Kita jangan terlalu ekstrim. Biar Islam kita Islam hadhari”

Teringat dulu ayah pernah bertanya kepadaku erti wasatiah. Dia jumpa dalam buku kitab kuning katanya. Aku katakan itu bermakna berbuat sesuatu biar pada kadarnya, tidak berlebihan dan tidak berkurangan.


“Ayah memang kecewa dengan kau, Sham. Kau tak kasihan ke pada mak ayah. Macam mana nanti kami nak tanggung malu jika kau balik tak bawak apa-apa? Kau nak cari kerja macam mana nanti? Nak tanggung anak bini kau lagi. Kau nak kasi mereka makan pasir ke?”

Aku merenung lantai di bawah telapak kakiku. Kosong. Di sisiku, bidadari yang menerangi rumah tanggaku duduk bersimpuh sambil menanti-nanti ucapan dari bibirku. Kasihan dia, tentu dia gundah melihat reaksiku berbicara dengan ayah di balik telefon.

Setiap kali aku mahu menjawab kata-kata ayahku,si bidadari menyentuh lembut bahuku dan membuka ayatNya yang menyirami api amarah hatiku;



Benarlah sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah. Aku melirik dengan hati yang tenang pada wajah bercahaya si bidadari. Dia bukanlah dikalangan wanita yang dikatakan sebagai jelita. Hidung sedikit sepet, kulitnya sawa matang dan ada pancaran-pancaran jerawat di mukanya. Badannya sedikit gebu. Tapi aku tidak melihat kesemua itu kerana di saat aku ditanya oleh abang usrahku akan kriteria calon isteri pilihanku, jawapanku hanyalah; dia seorang akhwat yang mengikuti tarbiyah dan melaksanakan ajaran Islam. Sehingga ke hari ini, aku tidak pernah menyesal membuat pilihan itu.

  
“Ayah…” ujarku dengan nada yang lembut sambil menahan gelojak di hati yang tersinggung dek tuduhan-tuduhan si ayah.

   
“Ayah, Hisham sebenarnya bukan fail exam keseluruhan ayah. Hisham cuma fail satu modul sahaja.”

   
“Sama jelah . Kalau dah fail tu fail juga…” Ayah memotong.

   
“Bukan begitu. Maknanya Hisham boleh ambil balik modul itu dan lulus. Tak perlu pun nak kena ulang tahun.”

Aku membayangkan betapa terkejutnya ayah tatkala menerima surat keputusan peperiksaanku di kampung. Ditambah lagi abang sulungku pulang dari US tanpa membawa balik segulung ijazah. Hanya sebatang kara. Kini dia hanya menolong ayah menguruskan kedai runcit di kampung. Sedangkan dahulunya abang adalah pelajar terbaik sewaktu sekolah menengahnya.


“Abang ikut tabligh kot, Angah.. Balik rumah asyik pakai baju putih je” begitu kata adik bongsuku tatkala ditanya. Abang enggan berbicara denganku. Aku sendiri tak mengerti kenapa. Mungkin berasa malu.

Barangkali kerana itu ayah melenting dan terkejut. Tapi Hisham tak ikut tabligh ayah! Hisham ikut tarbiyah!


“Modul periksa itu modul terakhir Hisham kena ambil. Tapi waktu periksa hari itu, Hawa dan Hisham kene demam panas. Hisham pergi juga ambil periksa waktu itu, walaupun tak dapat nak jawap soalan periksa betul-betul.”

Ayah berdengus kasar. Seolah-olah tidak berpuas hati dengan jawapanku.


“Apapun, ayah tak nak kamu gagal lagi. Kamu kalau ikut-ikut usrah pun jangan sampai tak belajar. Kita biasa-biasa sudahlah. Tak perlu sampai nak jadi pendakwah.”

Kadang-kadang aku kecewa mengapa ramai menganggap bahawa faktor utama kegagalan seseorang yang aktif menghadiri pertemuan-pertemuan ilmu itu adalah kerana kesibukannya. Ramai lagi manusia yang gagal dalam pelajaran tapi mereka itu sibuk dengan kefoyaan mereka berhibur serta menghabiskan masa dengan perkara yang langsung tidak berfaedah.

Pertemuanku dengan seorang sahabat yang memberi cahaya kepada kehidupanku kini adalah pertemuan yang paling membahagiakan hidupku. Sahabat itulah yang menjadi naqib usrahku dan menjodohkanku dengan Hawa. Saat aku jatuh cinta dengan tarbiyah, saat itulah aku mengetahui erti kepada makna kehidupannya di atas muka bumi ini.


“Kau sanggup berkorban duit dan masa semata-mata nak pergi usrah Sham? Get a life man! Takkan masa muda kau ni nak habiskan masa baca Quran je?Kau tak bosan ke dengar ceramah-ceramah ?Ke hulu-hilir pergi entah kemana-mana entah. Kau boleh tolak tau kalau orang ajak kau. Kau jangan paksa diri Sham,” Itulah kata-kata teman serumahku di kala mereka selalu melihat aku hilang dari bilikku.


“Tapi aku tak jumpa ketenangan dan kebahagian bila aku buat apa yang kita buat selama ini. Usha awek cun, main game, tengok wayang dan lepak-lepak. Mula-mula aku rasa best lah. Tapi lama-lama aku rasa boringlah.Hidup takde tujuan. Buat camtu pun aku rasa buang duit dan masa juga.”


“Kau memang dah berubahlah, Sham.” Dan di saat itu, aku mula merasakan hubunganku dengan teman serumahku semakin renggang. Nyata jalan kami adalah dua jalan berbeza. Pemikiran kami berbeza. Kesukaan kami begitu juga.

Aku berasa bahagia tatkala berjumpa dengan teman seperjuanganku namun aku sedih melihat teman serumahku masih leka dengan kefoya-foyaan sementara. Duhai teman, jika dikau mengetahui betapa nikmatnya jalan yang berliku namun penuh cahaya ini tentu kamu takkan tersilau dengan hiburan sementara di atas dunia ini. Kehidupan yang kau lalui sekarang ini adalah jalanyang gelap, yang tidak bermakna apa-apa walaupun kelak kita sama-sama pulang membawa segulung ijazah, kerana kehidupan sedemikian menjanjikan suka sebentar, tetapi duka selamanya di akhirat nanti.
“Dan sungguh akan Kami isikan neraka Jahanam dari kalangan jin dan manusia. Mereka memiliki hati,tetapi tidak mempergunakannya untuk memahami dan memiliki mata tetapi tidak melihat dan memiliki telinga tetapi tidak mendengar. Mereka seperti haiwan ternak, bahkan lebih sesat lagi,”

( Al-A’raf: 7)


Aku berdoa agar keluargaku dan sahabat-sahabatku akan mendapat pancaran hidayah ini. Aku berdoa agar mereka menyintai ilmu, menyintai Islam dan mahu beramal dengannya. Kerana hidup di bumi UK ini, perbezaan antara kafir dan Islam adalah terang dan jelas. Minum arak, pergaulan bebas, pergi kelab malam dan makan babi adalah nyata perkara haram. Tetapi di Malaysia sangat sukar untuk menilai manakah Islam manakah yang bukan kerana orang Islam sendiri minum arak, pergi ke kelab malam dan berfoya-foya. Oleh kerana itu tidak hairan jika ramai graduan luar negara apabila pulang ke tanahair akan lebih dekat dengan Allah, kerana keadaan kehidupannya menjadikan dia sedemikian. Dia memerlukan Allah untuk hidup. Dia memerlukan Allah untuk menjadikan dia kuat menahan cabaran kekufuran. Sebab itu di saat sahabat-sahabat seperjuangan mengajaknya untuk belajar tentang agama Allah, hatinya tidak menolak, kerana dirasakan bahagia di saat hatinya dekat dengan Allah. Dan dia buntu memikirkan bagaimanakah lagi dia boleh membawa teman serumahnya mengikuti jalan yang dia ikuti kini.
“Wahai orang-orang yang beriman. Penuhilah seruan Allah dan Rasul, apabila dia menyerumu kepada sesuatu yang memberi kehidupan kepadamu,”

(Al-Anfal: 24)


Kerana itu Hisham ikut usrah ayah! Kerana Hisham mahu merasai cahaya itu! Dan Hisham mahu orang sekeliling Hisham turut merasai cahaya keimanan tersebut. Kegagalan yang Hisham hadapi sekarang ini bukanlah kerana kesibukan Hisham tapi adalah semata-mata kerana Allah mahu menguji Hisham. Sebab semakin Allah sayangkan hambanya semakin Allah berikannya ujian. Jangan ayah salahkan usrah hanya kerana Hisham gagal!

Mahu sahaja dilontarkan kata-kata itu kepada ayahnya yang separa uzur. Dia mahu ayahnya memahaminya walaupun sukar. Dan dia berazam untuk berbakti kepada ayah tatkala dia pulang nanti. Dia mahu tunjukkan bahawa apa yang dia dapat di negara orang putih ini adalah perkara yang terbaik pernah berlaku pada dirinya.

  
“Abang…” Lamunannya terhenti selepas sahaja dia meletakkan gagang telefon.

   
“Result abang dah dapat dah ini..” Siti Hawa berlari-lari anak sambil membawa sampul putih ke arahku.

Aku membuka sampul itu dengan penuh hati-hati dan perlahan-lahan.

   
“Alhamdulillah… .” Sambil menoleh ke arah isteriku dengan senyuman penuh makna.

Pantas jemariku mengambil telefon kelui di atas katil sambil menekan punat dial.

   
‘Assalamualaikum ayah, Hisham dapat first class honor.….’

Dan di saat itu dia merasakan bahawa angin-angin sepoi bahasa di luar sana turut merasai keriangan hatinya…

Tuesday, February 23, 2010

luv vs mohabattein?? [rite choice kerh???!]


Siti Syazwani. Happy Birthday! Semoga
kamu akan sentiasa dirahmati Nya… All
the best in everything you do… Jaga
diri & iman baik-baik yea~…
-Amin, UK-"

Aku mencapai telefon mobilku dan
membelek-belek SMS ucapan hari lahir
yang diterima minggu lepas. Cukup
ringkas. Namun, aku masih tertanya-
tanya mengapa Amin hanya mengirimkan
SMS sahaja kali ini? Jika tidak, tahun-
tahun sebelum ini pasti sudah ada kad
besar dan bermuzik akan tiba beberapa
hari sebelum hari lahir ku. Dah la
pakai nombor orang lain, siap tulis
nama penuh aku pula tu. Tak pernah
pula dia tulis macam ni… Ish, hati
mula ragu-ragu. Menyangka sesuatu yang
tak baik sedang berlaku.


Adakah dia sudah ….? Argh, tak
mungkinlah! Dia dah kata takkan ….


Aku teringat ketika dia pulang bercuti
pada musim summer tahun lepas. Namun,
sebelum itu aku sudah rasa banyak
perubahan berlaku pada dirinya. Dia
telah mula banyak memberi nasihat-
nasihat baik ketika kami berhubung
samada melalui telefon, SMS, email, YM
dan juga friendster. Dan ketika itu,
aku mendapat cuti seminggu dan telah
bercadang untuk turun ke KL dengan
kakak melawat saudara-mara, dan sambil-
sambil itu bolehlah juga berjumpa
dengan si Amin. Setahun sekali tak
salah rasanya. Melepas rindu la
sedikit. 'Boring' juga kalau asyik
berhubung melalui telefon saja.
Lagipun Kuantan-KL sekarang boleh
travel dalam 3 jam 1/2 dah. Ulang-alik
setiap hari pun boleh.


Di KL, aku telah menghubunginya dan
cuba mengajak untuk berjumpa. Dia
menolak ajakan aku untuk keluar
berjalan-jalan daripada pagi sampai ke
petang. Dia hanya boleh berjumpa
dengan ku seketika sahaja pada petang
hari. Walaupun dia beralasan sibuk,
tapi aku tahu dia taklah sesibuk mana.
Nak tak nak, aku terpaksalah menerima
sahaja cadangannya. Asal boleh
berjumpa, ia sudah cukup bagi aku. Dan
petang itu kami taklah ke mana-mana
sangat. Ronda-ronda sahaja dengan
kereta Wira kesukaannya itu. Selepas
ber-Asar di Masjid Wilayah, Amin
membawa aku ke sebuah restoran dan
kami makan 'early dinner' di situ.
Kemudian, satu detik yang
agak 'mengingatkan' bagi aku adalah
sewaktu kami dalam perjalanan
menghantar pulang aku ke rumah
saudaraku…


Dia ada bertanya "Apa beza kita dengan
diaorang kat situ tu ye?" Amin
menunjuk-nunjuk ke arah beberapa
pasang 'couple' yang sedang lepak
berdua-duan di tempat-tempat duduk
sepanjang sebuah taman. Aku tergamam
sekejap. Huh. Agak menduga,
tapi 'simple' saja. "Ala, kita ni baik
sket. Tak ada pegang-pegang. Tutup
aurat elok. Sampai waktu solat, kita
solat. Erm… Islamik sket la pendek
cerita!."


"Hmm.." Amin hanya mengangguk-angguk.


"Dalam Islam ada ke macam ni?" Amin
menduga lagi.


Erk… Semakin terkesima aku dibuatnya.
Kali ini aku terus diam terpaku. Aku
tahu dia lebih banyak tahu selok-belok
masalah benda-benda macam ini. Kalau
aku jawab lagi, mesti dia 'counter'
lagi. Huh. Diam sahaja lah!


"Erh, abaikan je lah. Saja je saya
tanya…" Amin cuba menyedapkan hati.


Tidak lama selepas Amin terbang pulang
semula ke UK untuk menyambung sesi
pelajarannya yang baru, dia ada
menghantar satu email kepada ku untuk
menerangkan kedudukan dan tujuan dia
bertanya akan hal itu. Aku sudah mula
faham sedikit-sebanyak yang aku perlu
mengawal hubungan yang masih
tidak 'rasmi' ini. Dan sejak daripada
itu dia tidak pernah langsung
menelefon aku. SMS pula hanya
bertanyakan tentang pelajaran sahaja.
Itu pun boleh dibilang dengan jari.
Namun, aku bersyukur dan gembira
kerana dialah yang membuat aku berubah
untuk jadi lebih baik dan lebih faham
Islam. Jika dulu pakaian aku agak
ketat dan singkat, kini sudah banyak
yang labuh dan longgar aku beli.
Tudungku pun pernah ditegurnya agar
melabuhkan ke bawah dada. Dialah yang
memperkenalkan padaku apa itu usrah
dan dakwah. Dia juga ada berpesan -
'Jaga hubungan dengan Allah tu lagi
penting. Insya Allah, kemudian Dia
akan jaga hubungan kita.'


Jadi, apakah yang akan berlaku selepas
ini? Hatiku masih tak tenteram
memikirkan SMS ucapan hari lahir itu.
Macam-macam sangkaan buruk bermain-
main dalam hati yang mula busuk ini.
Aku masih setia menanti kepulangannya.
Dan aku yakin dia juga setia pada aku.
Aku tak pernah memikirkan lelaki-
lelaki lain selain dia. Dan aku yakin
dia juga tak pernah nak menggatal
dengan perempuan-perempuan lain. Dia
taklah seperti kebanyakan lelaki
yang 'playboy' pada masa kini.


Ops! Mungkin agak kasar untuk berkata
sedemikian.


'Tuuut. Tuuut...' Nada dering SMS
berbunyi. Nombor Amin yang terpapar.

"Esok free tak? Boleh kita chatting?"

"Boleh... Saya free je." jawab aku
ringkas. Erm, mesti dia saja nak
buat 'surprise.' Aku dah agak dah,
takkanlah dia hantar SMS saja
untuk 'wish birthday' aku. Keyakinan
aku mula bertambah. Dia masih sayang
padaku.

"Ok.Tq..." balasnya pula.


Keesokannya, aku menanti awal dia
online.

'Tuk. Tuk. Tuk..' Amin has signed in.

Oh, tepat sungguh waktunya...


Amin: assalamualaikum wbt.

Wani: wsalam…

Amin: apa khabar? sihat? iman baik?

Wani: alhamdulillah... sihat2..=)
awak?

Amin: alhamdulilah… baik2 juga… iman
selalu turun naik sejak kebelakagn ni…
tp takpe, ok je semua

Wani: awak tak balik ke tahun ni? btw,
thanks for the bday wish last week...

Amin: welcome… tak balik. byk kerja
sket tahun ni… lagi pun saya nak try
bekerja… cari duit...

Wani: wah, rajinnya... baguslah!

Amin: hurm...

Amin: study macam mana?

Wani: ok je... new sem ni berat sket..
Jadual pack.

Amin: oic...

Amin: takpe, study rajin2 ye..

Amin: hurm, dah lama nak tanya ni
sebenarnya…

Amin: hurm…

Wani: apa dia? tanya la… sila2..

Amin: 1st of all sorry dulu ye… hurm,
apa pendapat awak tentang kita
sekarang?

Wani: erh… macam awak kata dalam email                            
tu dulu yang kita ni kan ‘kawan’… tak
lebih daripada tu… tp, special sket…
tiada couple-couple mcm org lain…
declare pun tak kan?

Wani: so, statusnya kawan je la…

Amin: hurm…

…..

Wani: erh, tak betul ke?

Amin: hurm.. ni opinion je la - antara
lelaki dan perempuan yg bukan mahram,
tiada perhubungan yang lebih akrab
melainkan hubungan suami isteri shj…
yg lain2.. atas alasan aper skali pun
ia tak patut diterima..


Aku tergamam seketika. Tertampar keras
juga rasanya…

Wani: jadi…

Amin: saya rasa kita harus stop… stop
untuk berpisah…

Amin: sbb……

Amin: sbb saya sedar yg semua ini
adalah salah dan juga keliru…

Amin: benda ni akan buatkan hati
ternodai… zina hati akan banyak
berlaku…

Amin: walaupun kita jauh, tak call,
tak jumpa dll, tapi hati tetap
ber’zina’…

Amin: huh…

Amin: saya bercakap itu dan ini pada
org ramai… tapi, dalam masa yang sama
saya meyelindungi sesuatu yang tak
sepatutnya saya buat…

Amin: kononya Islamik…

Amin: saya rasa cara ni tak betul…
kita sbnrnya yang dah menyarungkan
benda yg tak baik ni dgn Islam… then,
org nampak Islamik…

Amin: saya rasa takde beza pun kita
dgn org lain yg duk ber’couple2’
nieh..

Amin: hurm…..

Amin: jadi, saya rasa kita harus
berpisah…

Amin: demi menjaga diri…& sama-sama
untuk kembali harungi hidup dalam
redha Ilahi…

Amin: sorry… sorry byk2 untuk segala
apa yang telah kita buat…

Amin: dan sorry juga sbb telah membawa
awak ke jalan yang lupa pada-Nya…

Amin: andai ada jodoh, moga
dipertemukan…


Astaghfirullahalazim… Aku beristighfar
panjang. Ku kesat peluh di dahi… Air
mata jahiliyah ku deras menitis
membahasi meja. Sedikit terpercik pada
keyboard laptop. Aku tak sangka
perkara seperti ini akan terjadi
sepantas ini. Ringkas, lembut,
berhikmah serta points-nya yang jelas
membuat aku tak dapat membantah dan
berkata-kata. Sedih, pilu, kecewa, dan
sesekali timbul rasa kesal pun ada.
Tapi, semua itu tak bermakna lagi…


Aku tak mampu lagi untuk menyambung
perbualan tersebut. Ku pasrah dan
terima sahaja keputusan yang dibuat
oleh Amin itu. Di saat ini, hanya
Allah yang bisa mendengar bisikan hati
rapuh ini. Dialah juga tempat ku pohon
keampunan atas segala kekeliruan yang
telah aku timbulkan. Rupanya selama
ini aku telah tertipu dengan biskan
musuh, mengikut jalan taghut,
mencampurkan halal dan haram, serta
mengandunkan yang Islam dan al-hawa…


Cinta hakiki hanyalah pada Allah…

Tiba-tiba aku teringat hadis halawatul
iman yang pernah dibincangkan oleh
naqibah aku tak lama dahulu; pertama-
tama sekali mestilah mencintai Allah
dan RasulNya lebih daripada
makhlukNya, kemudian mencintai
seseorang itu hanya kerana Allah dan
akhir sekali, mesti benci untuk
kembali kepada kekufuran sebagaimana
ia benci dicampakkan dirinya ke dalam
api neraka. Dengan demikian barulah
dapat merasai kemanisan iman itu.


Hanya Allah sahajalah yang layak
memberi hidayah kepada sesiapa yang
dikhendakiNya. Moga-moga Dia kuatkan
dan teguhkan hatiku menghadapi dugaan
ini dan moga-moga diringankan beban
yang kupikul ini.


Aku terus menjawab ringkas….

Wani: thanks & sorry too… saya terima…
Alhamdulillah…

Wani: moga awak bahagia dan sukses
selalu di sana. doakan saya juga.

Wani: wassalam.


Signed out


Aku merasakan hubungan tiga tahun yang
terbina itu memang salah pada
dasarnya. Bagaimana mungkin ia dapat
mewujudkan sebuah keluarga yang
menjunjung Islam jika asasnya terbina
melalui cara al-hawa? Ya, kami memang
saling menasihati dan bertazkirah,
saling mengejut Qiamulali, saling
menghantar SMS ayat-ayat Quran serta
hadis, tapi semua itu memang tak betul
caranya… Aku sedar yang kami telah
mempergunakan Islam untuk mencapai
matlamat peribadi… Astaghfirullah..
Syukur pada Mu ya Allah kerana lekas
mengembalikan ku pada jalan redha-Mu.




“Sayang… Cepat turun ni. Nurul dah nak
sampai.” Ops! Tersedar daripada
lamunan kisah 15 tahun lepas itu
tatkala mendengar sahutan suamiku,
Muhammad Aqil untuk bersiap menyambut
tetamu istimewa kami Nurul dan Amin.


“Ya bang, Wani turun…”


Alhamdulillah… Siap semuanya. Aku
menutup lid laptopku dan bergegas
turun ke bawah. Aku sudah bersedia
untuk membentangkan ‘presentation’
kepada beliawan-beliawanis negara
mengenai Cinta Remaja dalam
program ‘Belia Negara 2057’ esok. Aku
sangat bersyukur menjadi siapa diri
aku sekarang ini dan aku mengharapkan
belia-belia harapan negara dapat
kembali kepada cara fitrah yang
sebenar dalam menguruskan soal cinta.

Thursday, February 18, 2010

+=.. iSLAM is tHe wAy of L.I.F.E!!..=+

      
Sayup-sayup terdengar alunan syahdu bacaan ayat-ayat suci Al Quran dendangan ibu. Dengan mata yang baru terbuka separuh, aku menoleh ke arah jam di dinding. Dalam samar-samar cahaya lampu tidur aku mengagak… baru pukul empat lebih. Apahal pula ibu bangun membaca surat-surat Allah di kala orang lain dibuai mimpi? Belum pernah aku mendengar ibu membaca Al Quran walaupun pada siang hari. Apatah lagi pada pagi-pagi buta begini. Aku juga tidak pasti sama ada ibu mampu bertilawah dengan baik atau tidak. Aku bingkas bangun lalu membetulkan urat-urat badan.Sebaik-baik sahaja pintu bilik dibuka, aku ternampak Najib, adik bongsuku sedang mengulangkaji pelajaran agaknya di meja tulis comel diterangi lampu kecil. Rasa hairan bermain dalam dada… tak pernah si Najib ni “study” sebelum subuh. Selalunya dia berjaga sampai pukul dua baru masuk tidur. Apakah dia mendapat petua baru? Atau… adakah Ustaz Azman berpesan apa-apa?

Teringat aku sewaktu di tingkatan tiga dulu. Dalam satu perkhemahan pengakap, Ustaz Azman dijemput memberikan tazkirah selepas solat fardhu Maghrib berjemaah. Ada dia menyentuh tentang “study”. Dari situlah aku baru mengetahui masa terbaik untuk “study”, yang akan memudahkan hafalan, menyihatkan tubuh badan, mendatangkan hidayah dan barakah, mengilhamkan pemahaman serta lebih mendekatkan diri kepada Allah- pada dua pertiga malam iaitu antara pukul dua pagi hinggalah ke waktu subuh. Boleh jadi… Najib pun dah tahu.

Aku mengintai ke bilik ibu yang sememangnya tidak berpintu, hanya dihijab sehelai kain pintu berwarna hijau berbunga biru muda dan merah jambu. Ibu masih melagukan ayat-ayat Allah dengan nada suara sederhana. Ibu bertelekung! Sudah tentu ibu bangun solat malam. Peliknya! Sebelum ini ibu hanya solat Maghrib dan Isya’ saja, waktu-waktu lain tak berapa ambil berat.

Lebih pelik lagi… kulihat ayah dengan berketayap putih duduk bersila di tepi katil. Keadaannya seolah-olah orang sedang bertafakur. Mulutnya kumat-kamit. Kupasang telinga baik-baik, apalah agaknya yang ayah baca tu. Sesekali agak keras suaranya.

Subhanallah… ayah sedang mengkhatamkan zikir persediaan Naqsyabandiah. Selama inipun memang aku ada mengamalkannya sendiri-sendiri. Zikir itu kuperolehi sewaktu mempelajari ilmu perubatan Islam daripada Darus Syifa’ kelolaan Dr. Haron Din di universiti dulu. Daripada mana pula ayah memperolehinya? Setahu aku… ayah jarang-jarang solat. Berjemaah ke surau teramatlah jauhnya kecuali sewaktu Kak Ngah nak kahwin-sebab takut orang kampung tak datang gotong-royong masak. Lepas tu haram tak jejak kaki ke surau.

Aku beredar ke ruang tamu. Keriut bunyi lantai papan yang kupijak telah menyedarkan Shahrul, seorang lagi adik lelakiku. Lampu ruang tamu tak bertutup rupanya.

“Dah pukul berapa kak?”

“Emmm… dah empat lebih,”sahutku sambil melabuhkan punggung di atas kusyen.

Shahrul bangun dan terus ke bilik air. Tak lama kemudian dia masuk ke biliknya. Aku pasti dia sembahyang.

Apa dah jadi dengan rumah ni? Naik bingung seketika…

Aku rasa Shahrul terlena sewaktu membaca kerana ada sebuah buku di kusyen panjang tempat tidurnya tadi. Masih cantik sifat-sifat buku itu, mungkin baru dibeli. Kucuba membaca tajuknya… Perjuangan Wali Songo di Indonesia. Masyaallah, Shahrul boleh tertidur membaca buku tersebut? Aku yakin si Shahrul ni tak pernah baca buku-buku agama pun. Yang diminatinya tak lain itulah… majalah sukan, komik dan hiburan. Seribu satu macam pertanyaan berlegar dalam kepalaku.

Memang pernah ayah dan adik-adik bangun atau berjaga malam… untuk menonton perlawanan bola sepak. Tetapi kali ini mereka bangun untuk beribadah!

Sudah lebih lima tahun aku berusaha untuk menghidupkan roh Islam di rumah ini namun kejayaannya cuma secubit. Keluargaku tidak menunjukkan minat untuk membudayakan Islam dalam rumah kami. Kalau ayah dan ibu sendiri menentang, bagaimana dengan adik-adik? Kak Long Tikah dan Kak Ngah Ilah masing-masing telah berumahtangga, jadi… tak kisahlah. Namun ada keganjilan yang sukar kutafsir tika ini sedang berlaku di dalam rumah.

Selepas solat tahajjud aku terus berbaring. Lesu akibat perjalanan jauh masih terasa. Maklumlah, baru tengah malam semalam tiba dari Kota Jakarta, tempat kubekerja sebaik-baik sahaja lulus dari universiti.

Aku terjaga sekali lagi apabila deruman enjin motosikal menerjah gegendang telingaku. Kalau tak silap itu bunyi motosikal ayah. Motosikal mula bergerak lalu menuju ke jalan besar. Menurut di belakang adalah bunyi kayuhan basikal. Makin lama makin jauh.

“Ada… ooo Ada,” laung ibu sambil mengetuk pintu bilik.

“Ya mak,” sahut ku lemah.

“Bangun solat Subuh ye nak.”

“Ha’ah,” aku patuh.

“Mak… ayah pergi mana?” soalku ingin tahu.

“Ke surau dengan adik-adik… berjemaah.”

Alangkah indahnya suasana fajar kali ini. Inilah suasana waktu fajar yang telah lama kuimpikan. Selama beberapa tahun aku merindukan suasana ini… rindu pada kedamaian, rindu pada ketenangan, rindukan kesejahteraan dan juga kebahagiaan hidup berbudayakan roh Islam. Dulu, subuh-subuh begini hanya ada aku seorang… bersama Kekasih, kini sudah ramai… juga bersama Kekasih. Terasa rumahku yang selama ini suram mula bercahaya… telah ada jiwa…

Aku menolong ibu menyediakan sarapan di dapur. Rezeki kami pada hari itu adalah cempedak goreng. Ayah masih di bilik. Menurut ibu, ayah akan terus berzikir sehingga terbit matahari pada hari-hari cuti. Tidak ada seorangpun ahli keluarga yang berbaring atau tidur. Semua ada aktiviti masing-masing selepas solat Subuh. Bukankah tidur selepas Subuh itu membawa kemiskinan, penyakit, malas dan lain-lain kesan negatif?

Shahrul dan Najib berada di bahagian belakang rumah yang sememangnya agak luas. Pada mulanya aku berasa janggal melihat mereka bersiap-siap. Apabila kutanya jawab mereka “nak riadah, ayah suruh”. Bukankah sebelum ini mereka kaki tidur nombor satu? Kalau hari cuti, dah tentu pukul sepuluh ke atas baru bangun. Lepas bangun menonton televisyen. Tengah hari baru mandi. Sekarang sudah berbeza benar.

Sesekali aku menjenguk mereka melalui tingkap dapur. Kalau tadinya mereka terkejar-kejar berlari anak keliling rumah, kini mereka berkuntau pula. Memang budak-budak berdua ni aktif dalam persatuan silat di sekolah, tapi tak pernah pula mereka berlatih pada waktu pagi. Bergomol dan berkunci-kuncian sampai basah kena air embun di rumput. Ini rupanya riadah mereka. Eloklah… memang digalakkan Islam.
Pagi itu kami menghadap sarapan secara berjemaah, semua ada. Ayah sendiri yang membaca doa beserta maksudnya sekali. Amboi, hebat juga ayah kami ni! Aku mengingatkan adik-adik supaya selalu menyebut nama Allah di dalam hati sepanjang masa makan. Mak dan ayah mengiyakan kata-kataku itu. Seronok rasanya mendapat sokongan mak dan ayah. Sebelum ini kalau aku menegur adik-adik tentang agama, cepat benar muka mereka berubah. Namun Allah Yang Maha Merancang bisa mengubah segalanya. Syukur.

Ayah ke pasar bersama Shahrul sementara Najib pergi ke rumah kawannya Hafiz untuk meminjamkan kaset kumpulan nasyid Raihan dan Diwani. Peluang ini kuambil untuk mengorek cerita daripada ibu.

“Mak, Ada rasa seronok balik kali ini.”

“Iyelah, dah dekat setahun Ada tak balik… tentulah seronok,” balas ibu sambil tersenyum.

“Ada rasa kan mak, rumah kita ni dah ada roh… tak macam dulu…”
Ibu tidak terus menjawab apa-apa. Dia menarik nafas panjang. Kepalanya didongakkan ke dinding, menatap sebuah lukisan pemandangan yang cantik hadiah daripada menantunya Zamri, suami Kak Long. Lukisan itu adalah hasil tangan Abang Zamri sendiri

“Ini semua kerja Allah Ada. Mak sedar Ada sentiasa cuba merubah cara hidup keluarga kita… supaya kita berpegang dengan budaya Islam. Kami pandang remeh aje segala saranan dan teguran Ada.”

Ibu mengalihkan pandangannya ke arahku. “Itulah… kalau Allah nak ubah, siapapun tak sangka.”

“Apa dah jadi Mak?” soalku lebih serius.

“Abang Zamri Ada tu le… bukan sebarangan orang. Dalam diam-diam dia mendakwahkan budaya hidup Islam kat kita. Memanglah mulanya tu kami buat tak tahu… dia berjemaah ke surau ke, dia baca Quran ke, berzikir ke, cara dia berpakaian ke, apa ke di rumah kita ni.”

Memang kuakui Abang Zamri lain daripada yang lain. Sejak mula berkahwin dengan Kak Long lagi jelas perawakannya yang mulia. Gerak lakunya sopan. Tidak pernah meninggi diri.Tidak bergurau berlebih-lebihan. Hormat kepada orang tua. Mengasihi adik-adik. Kalau berbicara dengannya, dia tidak pernah lari daripada berbicara tentang Islam. Dia seolah-olah tidak terpengaruh dengan keseronokan dunia. Tidak ada perkara lain yang dicintainya selain daripada berjuang untuk Islam.
Abang Zamri jarang sangat pernah bercerita tentang kereta mewah, rumah besar, duit banyak, pangkat tinggi, perempuan cantik, muzik, filem, bolasepak, para artis, pakaian cantik dan lain-lain sedangkan semua itu diperkatakan sehari-hari dalam keluarga kami. Sememangnya dia ada kelebihan yang dikurniakan Allah SWT. Entahlah apa yang telah dibuatnya hingga keluarga kami berubah. Ingin kutanya pada ibu tapi… tunggulah nanti, apabila ada masa yang sesuai, insyaallah.

“Mak, Ayah, Shahrul dan Najib pergi ke rumah mak mertua Kak Long Ada… rumah keluarga Abang Zamri…”

“Mak ke Terengganu?” soalku.

“Iye, cuti penggal sekolah hari tukan Ada tak balik… kami pergi le ziarah besan kami.”

“Habis tu… apa yang jadi?”
Ibu terus bercerita dengan panjang lebar sambil kami melipat kain baju. Menurut ibu, keluarga Abang Zamri bukanlah orang senang. Adik-beradiknya seramai sembilan orang. Namun corak kehidupan mereka sungguh aman bahagia dan tenang Banyak perkara baru yang ibu dan ayah pelajari selama lima hari berada di sana.

Waktu tiba di kampung halaman Abang Zamri, keluarga kami disambut meriah dan penuh hormat. Gembira sungguh mereka menerima tetamu. Masing-masing dengan wajah ceria dan menampakkan ketenangan. Adik-adik Abang Zamri semua mencium tangan ibu dan ayah sementara Shahrul dan Najib dipeluk seolah-olah kawan lama. Ayah dan ibu agak terkejut dengan situasi tersebut kerana sebelum ini anak-anak sendiri pun susah nak cium tangan.

Rumah mereka bersih walaupun tidak mewah. Begitu juga dengan halamannya yang terjaga. Irama nasyid, bacaan al Quran, zikir munajat dan ceramah agama silih berganti kedengaran daripada radio kaset mereka. kalau di rumah kami tu, dari padi sampai ke malam dipenuhi dengan lagu-lagu artis tempatan dan luar negara.
Waktu Subuh sangat indah di sana. Sejak jam empat pagi lagi rumah itu telah dipenuhi dengan ibadah-ibadah sunat. Ada yang bertilawah, ada yang berzikir, ada yang solat dan sebagainya. Kemudian, yang lelakinya beramai-ramai solat fardhu Subh berjemaah ke masjid. Oleh kerana malu-malu alah, Ayah pun terpaksalah bangun dan pergi ke masjid sekali.

Dari awal pagi lagi keluarga Abang Zamri yang lelakinya turun ke pantai yang nampak dari rumah mereka. Mereka duduk mengelilingi Pak Luqman, bapa kepada Abang Zamri untuk mendengar tazkirah pendek. Kemudian adik-adik Abang Zamri yang kecil berlari-lari anak dalam satu barisan sepanjang pantai. Abang Zamri dan bapanya pula membasahkan tubuh dengan air embun yang diambil daripada pokok-pokok kayu. Tujuannya untuk menjaga kekuatan badan. Ayah hanya tersengih apabila dipelawa oleh Pakcik Luqman. Begitulah rutinnya setiap pagi selama ayah dan ibu berada di sana.
Waktu bersarapan tiba. Semua isi rumah ada, tidaklah seperti rumah kami- sarapan sendiri-sendiri. Mereka menghadap makanan dengan wajah yang manis, dimulakan dengan doa. Alangkah mesranya hubungan sesama mereka. Terasa suatu perasaan tenang yang sukar digambarkan. Sepanjnag masa makan, mereka banyak berbucara tentang kebesaran Allah dan nikmat-nikmat-Nya. Ayah dan ibu terpaksa bermuka-muka kerana tak tahu apa yang nak dicakapkan. Nak menyampuk… takut tak kena pula jalannya.

Selepas mengemaskan rumah secara bergotong-royong, adik-adik Abang Zamri berkumpul di serambi rumah. Mereka disertai oleh dua tiga orang anak-anak jiran. Rupanya mereka berlatih nasyid, siap dengan genderangnya sekali. Mereka mendendangkan lagu-lagu nasyid popular dan juga lagu ciptaan mereka sendiri. Sura mereka yang berharmoni indah bergema sampailah ke tengah hari. Kata emak Abang Zamri, kumpulan nasyid budah-budak itu sering menerima jemputan di sekitar daerah. Selama lima hari di sana, ibu sudah jatuh cinta dengan irama nasyid. Boleh dikatakan setiap album nasyid terbaru mesti dibelinya selepas itu. Dulu, ibu bukan main lagi… dengan karaoke dangdutnya yang terdengar sampai ke tengahjalan. Tentu ibu malu kalau terkenangkannya.

Kononnya hubungan Pakcik Luqman dengan isterinya sangat baik… macam baru berkahwin. Mereka selalu tersenyum dan bergurau, malah nampak malu-malu walaupun sudah tua. Kalau duduk tu… mesti nak rapat-rapat. Isterinya pun bukan main taat lagi kepada suami. Mungkin inilah yang membuatkan ibu dan ayah terasa sangat. Al maklumlah, mereka di rumah memang tak ampak mesra. Bergurau jarang, bertegang leher selalu. Benda kecil pun nak bertekak. Ayah balik dari luar pun tak pernah ibu sambut. Masing-masing dengan hal sendiri. Berbincang hal agama… jauh sekali.
Pelbagai pengalaman baru yang ibu dan ayah dapat di Terengganu. Agaknya mereka telah menemui formula keluarga bahagia… dan mahu mempraktikkannya dalam keluarga kami. Alangkah indahnya keluargaku kini…alangkah sayangnya Allah kepada keluargaku…aku bersyukur kepada-Mu ya Allah.

“Eh, Ada dengar ke apa yang Mak ceritakan ni?” soal ibu apabila melihat aku tersenyum mengelamun.

“Eh… mmm…dengar Mak”, jawabku serba salah.

“Mak sebenarnya berkenan pulak dengan sepupu Abang Zamri di terengganu yang nama Shahrul tu…”

“Alah mak ni… nak cerita pasal kahwin le tu”, cetusku lalu segera beredar ke dapur.

Tuesday, February 16, 2010

.::pEsan-PesaNAn dunia...::.

bismillahirrahmanirrahim..alhamdulillah, syukur masih dipanjangkan lagi jangka masa hayat nie yerh... ehmm, bila dah cuti cam nie baru lerh sis ada masa nak hang out-hangout surfing nie...!!! nak buat camne, komitmen la katakan... blajaq pun satu komitmen yang utama, btul tak???ehmm.., bila direnung sayu jerh hati nie memikirkan dunia sekarang nie... ntah brapa lama lagi larh kita sebagai manusia nie boleh menikmati nikmat hidup dan dunia nie yerh.. kalo direnung dan dipikir-pikir, petanda yang Allah bagi dah ckup banyak, klu2 dlm berbagai cara, cumanya kita nie, masih x reti2 insap lagi.... sampai bila yerh kita nak pretend yg akhir zaman tue just perkara yang remeh-temeh... sampai bila yerh...  sekadar ingin berkongsi, alangkah indahnya dunia jika ada yang mengamalkan pemerintahan Islam secara total... 


Digosok-gosok lagi matanya. Dia seakan-akan tidak percaya apa yang dilihatnya. Apakah aku kembali ke zaman unta, ke zaman kolot dan purba? Begitulah detik hatinya. Dikesat hidungnya yang berair dengan kertas tisu. Kertas itu kemudiannya dicampakkannya ke tepi jalan.

"Assalamualaikum, pakcik.. tolong kutip kertas itu. Nanti pakcik rugi di Akhirat. Kebersihan itu separuh daripada iman."

Bunyi satu suara di belakangnya. Ia bingkas berpaling. Siapa berani menegurku? Aku Datuk Dr.Johar, orang besar negara ini.

"Pakcik, biarlah saya tolong kutip,sebelum Penguatkuasa Iman dan Islam datang. Nanti didendanya pakcik," kata budak kecil berpakaian putih dengan serban yang melilit kepalanya.


Datuk Dr. Johar membetulkan tali lehernya. Ah, kalau dia dating biar aku sogok dengan duit ini. Siapa yang tak kelabu tengok duit merah, biru berlapis-lapis. Namun, Datuk Dr. Johar terus hairan. Bangunan pencakar langit dengan wajah pembangunan yang sofistikated. Ada helikopter bersimpang-siur bergerak di udara. Railbus bercerakah ke sana sini. Bullet train meluncur bagaikan panah dilepaskan dari busurnya. Kesibukan yang layak dipikul oleh manusia-manusia moden.

Namun peliknya, pakaian mereka, tingkah-laku mereka...Ah, di mana aku sekarang ini, gerutu hati Datuk Dr.Johar.

"Hoi budak, Aku dimana sekarang ?" soalnya kepada budak yang menegurnya tadi.

Budak itu tersenyum. Mukanya cerah dan indah. Tenang dan bersuara lunak.

Apakah ini Aladin, budak Arab dengan lampu ajaibnya: teka-teki itu terus menerjah kepala dan kotak fikir Datuk Dr. Johar. Budak itu membuka mulut hendak menjawab. Belum sempat,tiba-tiba datang sebuah kereta jenis Ferrari, merah dan bercahaya. Keluar dua orang lelaki dengan pakaian yang hebat dan segak. Serban mereka berwarna hitam berjalur biru.

"Assalamualaikum....Maaf, pakcik. Kami terpaksa mendenda pakcik. Kesalahan membuang sampah ini sudah belasan tahun tidak berlaku di Darul Taqwa ini. Kami terpaksa mendenda pakcik. Kebersihan itu lambang iman. Negara ini menitikberatkan iman.... Pakcik didenda, 30 kali subhanallah, 30 kali astaghfirullah dan selawat 100 kali."

Kata pegawai penguatkuasa itu dengan lembut. Datuk Dr. Johar tersentak. Apa namanya undang-undang ini. Tak ada dewan bandaraya di seluruh pelusuk dunia mengamalkannya. Dia tercengang-cengang. Namun egonya membumbung tinggi. Apa? Dia nak marahkan aku?

" Ni duit lima ratus. Saya tak mahu buat apa yang kamu minta. Kita selesaikan di sini saja. Berapa gaji yang kamu dapat sebulan ? " tanyanya angkuh.

"Pakcik, kita bekerja kerana Allah, bukan kerana gaji. Lagipun duit bukan ada harga lagi di zaman ini. Semuanya dipandang sebagai alat, bukan matlamat," kata pegawai berjanggut dan berjambang itu dengan tenang.

"Oh, oh .... maafkan kami, pakcik. Kami nak tanya sikit,kenapa pakcik
pakai pakaian zaman dulu? Mana pakcik dapat pakaian macam itu ?" Tanya pegawai itu pula.

Aku yang gila, atau dia yang gila? Detak hati Datuk Dr. Johar. Dia berjalan ke arah kereta Ferrari yang berkilat itu. Melalui cerminnya dia nampak perawakannya dengan jelas. Tak ada yang salah. Tali leher, kemeja dan kotnya masih kemas dan segak. Daripada jenama yang mahal pula – Pierre Cardin. Kasutnya hitam berkilat daripada jenis Bally. Ah! Aku masih unggul. Lelaki tampan,lambang status dan kejayaan. Dia yang kolot, dia yang ketinggalan zaman.

"Anak muda, pakaian pakcik ni pakaian pemimpin. Pakcik orang besar di negara ini. Pakcik dah keliling dunia dengan pakaian ni. "

"Pakcik, itu pakaian puluhan tahun yang lampau. Ketika Islam belum berdaulat di Darul Taqwa ni. Moyang-moyang kami dulu saja yang pertahankan pakaian macam itu. Itu pakaian orang kuno di Barat. Sekarang, kami hanya dapat lihat gambar-gambarnya saja. Itu pun dalam buku sejarah zaman peralihan Islam. Orang Barat zaman moden ini dah berpakaian macam yang kami pakai. Tak ada orang yang pakai macam tu kecuali orang-orang bukan Islam yang dijamin kebebasannya dalam sebuah negara Islam seperti Darul Taqwa."

Datuk Dr. Johar termangu-mangu kebingungan. "Di mana aku sebenarnya ni?"


Dia bertanya lagi kepada pegawai penguatkuasa dan budak kecil di tepi jalan. Dia masih kenal. Ini Jalan Chow Kit di tengah bandar Kuala lumpur. Masih ada Masjid Pakistan dan Masjid Kampung Baru di sebelah sana. Tetapi itu sahaja, yang lain tak ada.

"Pakcik di bandar Mutmainnah. Ini jalan Mujahadah, namanya. Saya Haji Din, Pegawai Penguatkuasa Iman dan Islam. Diberi amanah untuk memastikan kebersihan lahir batin bandar ini."

Apa? Bandaraya Kuala Lumpur dah jadi Bandaraya Mutmainnah? Jalan Chow Kit dah jadi jalan Mujahadah? Apa dia mutmainnah? Apa dia mujahadah tu? Apa yang terjadi ni? Soalan-soalan itu terus menyerang benak Datuk Dr.Johar.

"Pakcik, kami rayu pakcik membayar denda tadi.Kalau tak boleh sekarang, lepas sembahyang nanti pakcik laksanakanlah.Demi kebaikan pakcik dunia dan Akhirat..."

Tiba-tiba terdengar suara orang memberi salam dari jauh. Nyaring dan jelas. Seorang lelaki pertengahan umur berlari kepada seorang pegawai penguatkuasa.

"Tuan, hukumlah saya. Saya mengumpat tadi. Ya Allah! seksa Neraka amat pedih.. Tolonglah tuan. Hukum saya di dunia sebelum saya dihukum di Akhirat!" rayu lelaki itu.

Pegawai tadi berpaling ke arah lelaki yang baru datang, dan kesempatan itu diambil oleh Datuk Dr. Johar. Ia lari sekuat-kuat hati. Peliknya mereka tidak mengejarnya. Ia terlepas ....Lega. Dahaga, lapar mula menggigit tekak dan perutnya. Dia mesti makan. Dia perlu minum. Tapi di mana? Tiba-tiba ia terdengar suara komputer dari sound system di tepi-tepi jalan :

"Assalamualaikum.. kepada seluruh penduduk Kota Mutmainnah, Syed AlAbrar, hartawan besar berada di jalan Uwais Al Qarni. Dia merayu fakir miskin supaya sudi menerima sedekahnya. Hari ini ia menjamu nasi dan minuman.Sila datang!"

Datuk Dr. Johar orang besar Darul Ghurur itu tidak akan mencemar duli menagih nasi. Dia ada duit, mampu membelinya sendiri. Dia pun masuk ke sebuah restoran di tepi jalan. Di situ penuh dengan pelanggan. Semuanya berserban dan berjubah. Matanya tak betah lagi melihat semua itu.Tapi kerana lapar ia masuk juga.

"Maaf tuan, itu pintu masuk untuk wanita. Di sini untuk lelaki."

"Ceh! Diskriminasi, doubel-standard, lelaki dipisahkan daripada perempuan. "Mukanya dicemekkan kepada tuan kedai yang menegurnya.
"Ada restoran lain yang mengamalkan persamaan taraf antara lelaki dan perempuan? Saya tak suka pemisahan-pemisahan macam ni!".

Lelaki itu tersenyum. "Empat puluh tahun yang lalu adalah. Sekarang ni kita sudah bebas dan merdeka. Zaman penjajahan fikiran dan jiwa sudah berlalu. Tak ada diskriminasi wanita di sini, tuan. Amir Muhammad, pemimpin Darul Taqwa telah menaikkan taraf wanita tanpa Women's Libs. Kalau tuan ada isteri dan membawanya bersama, sila masuk ke sana. Di sana ada tempat khusus untuk makan bersama isteri dan anak perempuan," terangnya. Mukanya jernih. Serban dan jubahnya serba putih.

"Ini bertentangan dengan prinsip demokrasi. Sistem pemerintahan kapitalis, sosialis, nasionalis malah komunis sekalipun tak macam ni..."

"Masya-Allah pakcik, jangan disebut lagi nama-nama ideologi tu. Semuanya telah termaktub sebagai ajaran-ajaran sesat dalam perlembagaan Darul Taqwa ini. Tak ada orang lagi yang berpegang dengan fahaman jahiliyyah tu... Subhanallah...." Keluh tuan restoran itu sambil mengurut-ngurut dadanya. Ekor serbannya bergoyang-goyang ketika ia menggeleng –gelengkan kepalanya.

Ah! Persetankan semua itu. Perut aku lapar. Datuk Dr. Johar pun duduk.
"Nasi beriani sepinggan!"ujarnya kepada pelayan.

"Dalam pinggan, tuan?" tanya pelayan itu kehairanan.

"Ya! Apa peliknya?",

"Baik tuan.Tapi semua orang berebut-rebut pahala makan berjamaah. Tuan makan seorang ?" Tanya pelayan berkulit hitam itu.

Dia tambah geram. Direnung ke hadapan, iaitu ke tempat orang menikmati makanan. Tidak ada meja makan hanya hamparan permaidani tebal dengan dulang-dulang indah yang tersusun rapi. Mereka makan satu dulang. Yek! Jijiknya. Ah! Aku tetap aku. Aku ada pendirian! Nasi beriani dengan ayam goreng kegemarannya terhidang di atas kain putih khas.

"Jemput makan dengan nama Allah yang memberi rezeki," kata pelayan itu dengan sopan.

Datuk Dr.Johar makan dengan seleranya. Dewan makan itu berhawa dingin lengkap dengan alat TV dan pita videonya sekali. Dia makan seorang diri bagai kera sumbang.

" Ya Allah, apa musibah yang menimpa ana Subuh tadi. Ana masbuk dalam sembahyang jemaah Subuh, " ujar seorang lelaki muda dengan wajah yang kecewa. Suapnya perlahan. Macam tak lalu makan saja

"Anta tak cuba tampung dengan amal makrufat yang lain?" tanya sahabatnya
di sebelah. Dia nampak simpati.

Datuk Dr. Johar pasang telinga saja. "Ana nak sedekahkan lima ribu ringgit... malang nasib ana. Ana tunggu lima jam di tepi jalan tadi, seorang pun tak mahu terima sedekah ana " Keluhnya."Susah kita sekarang. Orang miskin yang bolot pahala redha, pahala sabar. Mereka patutnya bantulah kita. Tolonglah terima sedekah kita.Ah, susahnya jadi orang kaya macam kita ini. Dahlah nanti di Akhirat banyak hisabnya, Di dunia orang tak sudi pula terima sedekah kita.. keluh seorang yang sama-sama makan dengan lelaki muda
tadi.

"Kalaulah kita hidup zaman moyang kita dulu, kan dapat kita korbankan harta yang banyak ini. Saya pun dapat harta ni melalui warisan daripada bapa, yang diwarisi oleh datuk saya daripada moyangnya. Kita tunggulah bila kerajaan nak bangunkan projek negara atau nak gunakan duit untuk kemaskinikan kementerian-kementerianny a.... saya nak labor habis-habisan. Biar jadi saham Akhirat," kata pemuda itu menutup perbualan. Mereka pun makan dengan perlahan -lahan.

Datuk Dr. Johar makin pelik. "Tambah nasi sepinggan lagi!"ujarnya kepada
pelayan restoran.

"Demi kesihatan tuan, saya nasihatkan ....berhentilah sebelum kenyang. Maaf tuan saya terpaksa mengatakan demikian. Saya pelayan kedai merangkap pegawai perubatan ....," kata pelayan itu lagi.

"Apa? Awak pegawai perubatan? Seorang doktor ke? Kelulusan luar negeri atau dalam negeri? Awak sepatutnya bertugas di hospital,bukan di restoran!" bentaknya. Marah campur geram.

"Tuan, mana ada hospital sekarang.Yang ada khusus untuk bayi, kanak-kanak dan wanita, juga para mubaligh dan mujahid yang cedera ketika berjuang. Tuan, kalau tuan amalkan makan hanya bila lapar dan berhenti sebelum kenyang, tuan akan sihat, Insya-Allah. Kita tak perlu hospital!

"Bodoh, kalau macam tu, macam mana nak rawat pesakit kencing manis macam aku ini ?" leternya perlahan-lahan.

"Penyakit kencing manis? Tuan menghidapnya? Saya ada baca buku perubatan edisi tahun 1990 dulu. Sekarang penyakit tu dah tak ada siapa menghidapnya....."

"Batalkan saja oder saya tadi, banyak sangat cakap, boring. Saya perlu hiburan sekarang ...Di mana boleh saya dapati ?" tanyanya.

"Di sana tuan. Melalui butang pada sistem komputer di sebelah sana, tuan
boleh dapat apa saja hiburan yang menyegarkan. Tak payah risau pasal bil. Percuma.

Datuk Dr. Johar, orang besar negara, melangkah hebat ke tempat yang ditunjukkan. Berbagai-bagai butang dengan bermacam warna berkelip-kelip. Sangat rumit tapi kekeliruan itu dapat disembunyikannya. Dia malu kalau-kalau dengan pakaian jenama Pierre Cardinnya ia masih kelihatan kolot.. Entah di mana falsafah moden Datuk Dr. Johar. Pada pakaiannyakah atau otaknya? Diberanikan hatinya; satu butang warna hitam ditekan. Dalam skrin timbul tajuk besar- KHAUF. Apa bendanya ni? Kemudian menyusul nama-nama lagu: MATI ITU TERLALU SAKIT, ALAM BARZAKH YANG PASTI, MIZAN NOKTAH PENYESALAN ,IZRAEL DATANG TIBA-TIBA Oh...Oh ... seram sejuk tubuhnya. Apa nama lagu macam ini? Biarlah menaruh harapan sikit.

Hatiku macam kristal, boleh pecah dengan lagu-lagu macam tu. aku belum nakmati lagi, protes hati Datuk Dr.Johar.

Dia beralih ke butang hijau tanpa lengah terus menekannya. Tertera di atas skrin komputer: RAJA'.kemudian tersembul tajuk-tajuk lagu.
Dibacanya dengan teliti... FIRDAUSI MELAMBAIMU, DEMI CINTA DAN
RAHMAT-NYA, KEINDAHAN JANNAH YANG ABADI .. Kepala Datuk Dr. Johar makin pusing. Semuanya tentang Akhirat. Apa nak jadi ni?

"Tak ada lagu yang hot sikit ke?" tanyanya kepada seorang anak muda berjubah coklat di sebelahnya.

"Nanti ya pakcik. Saya pilihkan lagu yang paling hot sekarang ni. Top-hit
anak-anak muda sekarang..."

"Ya, ya saya setuju," balas Datuk Dr. Johar. Telinganya dihalakan kepada
sistem suara di dinding restoran itu. Dia ingin dengar lagu-lagu kegemaran
muda-mudi daerah asing itu.

Ayat suci Al-Quran a... "Eh ...ni suara orang mengaji,"

"Nanti dulu pakcik, selepas ni ada terjemahannya kemudian baru menyusul lagunya," kata pemuda berjubah cokat itu sambil matanya di tutup rapat-rapat. Asyik sekali dia.

Kemudian getaran suara bergema

.... Cintaku berlabuh di persada rahmat-Mu

mendamba kasih yang tidak berhujung

mengutip sayang di hamparan cinta suci.

Inilah getaran hatiku memburu cinta.......

stanza hati merindu Ilahi!"

Datuk Dr. Johar tak tahan lagi. Ia merengus dan pergi ke kaunter bayaran.
"Maaf tuan, duit ini duit lama. Kalau tuan tak mampu bayar kami halalkan sajalah ..."

Datuk Dr. Johar makin geram. Dia menderam dan berkata " Saya bayar dengan kad kredit saja!" Dia hulurkan kad kredit warna keemasannya.

"Maaf sekali lagi, tuan. Kad kredit ini bukan yang boleh kami terima, kami
halalkan sajalah."

"Tak. Pantang saya minta sedekah. Saya ada harta simpanan berbungkal-bungkal emas di bank. Takkan saya nak bawa, nanti disambar pencuri."

" Darul Taqwa tak ada pencuri, tuan. Pencuri terakhir telah dipotong tangannya 30 tahun yang lalu ketika minta dihukum di hadapan hakim kerana takutkan seksa Neraka."

"Ah, aku tak nak dengar semuanya. Makin gila aku dibuatnya," pekik Datuk Dr. Johar lantas meluru keluar dari restoran itu. Di luar,semua pandangan menyakitkan hati. Mengapa orang kolot ini mentadbir teknologi begini tinggi.

Pemandu bullet train berserban merah tersenyum kepadanya. Pilot helicopter dengan tulisan 'MAKRUFAT AIRTRANSPORT' sibuk dengan urusannya.

Di seberang jalan tertegak papan iklan dengan tulisan yang jelas :" KELUARGA BAHAGIA GEMBIRA DENGAN SUNNAH ". Di papan itu terpampang gambar seorang lelaki dan perempuan berserta anak-anakmeraka. Semuanya berserban, berjubah dan berpurdah.

Isy, meluatnya! Di jalan-jalan raya suasana meriah dengan salam dan senyum. Baginya,semua itu seolah-olah menyindir dan mengejek. Kenapa jadi begini? Kenapa? Kenapa? Kenapa? Mengapa? Mengapa? Mengapa? Datuk Dr. Johar tiba-tiba menjerit. Tekanan dalam jiwanya yang kian tersumbat itu tiba-tiba meletus.

"Datuk..!Datuk..! Bangun, Datuk. Ada berita buruk !"

Datuk Dr. Johar bangun. Ia tertidur sewaktu menunggu keputusan pilihanraya hari itu.

"Kenapa? Parti kita kalah? Aku kalah? "tanya Datuk Dr.Johar.

"Tidak, Tuk. Rakyat bangun memprotes. Mereka tak mahu demokrasi. Mereka tak mahu pilihanraya..."

"Habis, mereka mahu apa?"

"Mereka mahu Islam, Datuk!"

"Islam ? " keluh Datuk Dr. Johar. Digosok-gosok lagi matanya.




Thursday, February 4, 2010

~.:: peNGemis dan IsterI CAntiK..::.~


Pada suatu hari, ketika sepasang suami isteri duduk makan di ruang tamu, datang seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka.


"Tolonglah Encik, saya lapar, sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi."Dengan muka bengis, si suami sambil menjeling isteri yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu.

Dalam hatinya berkata " Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain tetapi untuk diri dan keluargaku."


Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah.


Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus menceraikan isterinya kerana tidak mahu isterinya turut menderita sepertinya. Setahun kemudian, isteri yang masih cantik itu berkahwin pula dengan lelaki lain.

Pada suatu hari, sedang si isteri dan suami mengadap makanan, tiba-tiba seorang pengemis mengetuk pintu sambil meminta belas kasihan. Mendengar rayuan pengemis itu, si suami menyuruh isterinya menghidangkan sepinggan nasi berlaukkan seperti yang mereka makan.

Setelah memberi sepinggan nasi kepada pengemis, si isteri menangkup muka sambil menangis. Si isteri mengadu si pengemis itu sebenarnya adalah bekas suaminya yang dulu pernah menengking seorang pengemis.

suami yang baru itu menjawab dengan tenang : " Demi Allah, sebenarnya akulah pengemis yang dihalau dan ditengking dulu."

Cerita ini memberi pengajaran bahawa hidup kita ini seperti putaran roda dan tidak selalunya di atas. Ada masa dan ketikanya kita akan turun ke bawah dan naik semula atau sebaliknya.

Rasulullah SAW bersabda:



" Sedekah itu dapat menutup 70 ribu kejahatan"

Anas bin Malik pula meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud :


" Barangsiapa mempunyai harta, maka bersedekahlah dengan kekayaanmu, barangsiapa yang mempunyai ilmu, maka bersedekahlah dengan ilmunya dan barangsiapa yang mempunyai tenaga, bersedekahlah dengan tenaganya".

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails