Wednesday, June 16, 2010

Apakah dunia ini hanya untuk lelaki?






Azura(tiada kena mengena dengan sesiapa yang bernama azura) sering merungut-rungut tentang lelaki. Dia adalah seorang pejuang hak-hak wanita. Dia aktif dalam persatuan Hidup Wanita!

Rungutannya? Banyak yang dirungutkannya.

“Memang dunia ini hanya untuk lelaki.”

“Semuanya berpihak kepada lelaki. Lihat, kuasa talaq. Di tangan siapa? Lelaki! Pembahagian harta, siapa yang dapat lebih? Lelaki!”

“Lihat lagi, isteri perlu taat dan patuh kepada suaminya. Isteri sudah tentu wanita. Suami sudah tentu lelaki!”

“Perempuan dikongkong. Lelaki bebas bergerak. Lelaki mengongkong. Perempuan dikongkong.”

“Perempuan disuruh menyelenggara rumahtangga. Anak-anak. Tangis rengeknya, semua perempuan yang uruskan. Masak memasak. Basuh pakaian. Wanita juga yang kena.”

“Lelaki? Lelaki hanya duduk. Arah itu. Arah ini. Memang diktator. Melawan sedikit. Angkat suara lebih sejengkal sudah dikatakan derhaka. Nusyuz!”

“Lebih pedih lagi, lelaki boleh berpoligami. Perempuan, tidak ada hak untuk itu.”

“Perempuan yang terpaksa melahirkan anak-anak mereka. Ketika perempuan sedang bertarung dengan nyawa melahirkan, lelaki hanya angkat sebelah mata melihat.”

“Sebelum itu, perempuan, sang isteri terpaksa mengusung kandungan yang agak berat. Ke hulu ke hilir itu yang diusungnya. Selepas melahirkan, kena berpantang pula. Lelaki juga yang senang lenang dari kesengsaraan itu semua.”

“Perempuan tidak boleh jadi qadhi. Tidak boleh jadi PM!”

Sungguh bersemangat sekali dia. Cuma dia belum tergamak mengatakan, “Tuhan memang tidak adil menurunkan syariat hanya berpihak kepada lelaki sahaja.”

Setakat ini cakapnya cukup berlapik. Katanya: “Feqh yang ada di hadapan kita sekarang adalah feqh lelaki. Feqh berkenaan hanyalah dari otak ulama sahaja. Kerana ahli-ahli feqh adalah lelaki maka disusunnya feqh itu cenderung berpihak kepada lelaki.”

Dia bukanlah berlatarbelakangkan pendidikan agama. Adalah dulu-dulu, masa kecil, dia belajar fardhu ain. Bahasa Arab? Memang dia tak kuasai. Cuma bolehlah baca al-Quran dengan merangkak-rangkak. Tajwidnya, dia hentam sahaja. Sebab itulah dia lebih selesa baca al-Quran terjemahan sahaja. Dalam bahasa Inggeris.

Jadi fahamlah kita bahawa dia sudah tentu tidak boleh membaca atau menelaah kitab-kitab induk karya ulama - ulama muktabar. Sebabnya, selain tidak boleh berbahasa Arab, dia memang anti dengan ulama - ulama ini. Dituduhnya mereka ini berpihak pada lelaki sahaja. Menzalimi perempuan.

Jadi, dia cukup selesa menelaah tafsiran-tafsiran al-Quran dan al-Hadis dari karya-karya orientalis Barat. Atau karya-karya muslim yang sudah kerasuk dengan pemikiran orientalis.

Ini baru tafsiran sebenar. Ini baru Islam sebenar! Katanya.

Kalau ada isu-isu tentang wanita, dia akan segera bangkit dan bersemangat sekali. Dia akan kemukakan ayat-ayat al-Quran. Ditafsirkan ayat itu begitu dan begini. Dikeluarkannya hadis-hadis nabi s.a.w . Dijelaskan maksudnya satu persatu.

Itukan kawasan larangan? Itukan perlukan kemahiran tinggi dalam bahasa Arab dan cabang-cabang ilmu dalam penafsiran al-Quran dan al-Hadis?

Ah! Tak mungkin kita terlupa, bukankah dia tidak tahu apa-apa tentang agama ini? Jadi, dia mana tahu semua itu.

Untuk menutup-nutup kelemahannya. Untuk sembunyikan cacat celanya bahawa bukan sebarangan orang boleh menafsirkan al-Quran dan al-Hadis secara terus, dia buatlah satu helah.

Helahnya ialah, dia akan propagandakanlah bahawa menafsirkan Islam. Menafsirkan al-Quran dan al-Hadis bukanlah hak ulama sahaja. Siapa-siapapun boleh

.
Ada seorang wanita. Ada keluar di T.V hari itu. Saya tak ingat namanya. Dia marah-marah pada seorang tokoh pemimpin ulama kita. Dia marah sebab tokoh ulama itu hanya menghadkan bidang kerjaya wanita hanya yang sesuai dengan fitrah wanita sahaja. Katanya, mana boleh begitu. Wanita boleh lakukan apa sahaja. Begitu sekali wanita itu. Dia sanggup lari dari fitrahnya sendiri sebagai wanita hanya kerana mahu lari dari cengkaman dunia lelaki.

Saya tidak tahu secara tepat apa yang dikatakan oleh tokoh ulama berkenaan. Cuma barangkali beliau menggunakan logik yang mudah. Iaitu setiap sesuatu itu mesti berjalan di atas landasan yang telah disediakan. Jika lari darinya, maka ia akan musnah atau rosak binasa.

Matahari dan planet-planetnya diciptakan oleh Allah Taala mesti beredar di atas paksi yang telah ditetapkan. Jika lari darinya, maka akan musnah alam ini.

Kalau dibahas dari sudut aqidah , matahari dan planet-planet bergerak menurut fitrahnya. Itulah yang Allah telah tetapkan ke atasnya. Maka itulah juga yang dipatuhi olehnya.

Allah telah menetapkan suatu syariat atau suatu hukum untuk matahari dan planet-planetnya. Sebahagian syariat dan hukum untuknya telahpun berjaya dibongkar oleh para ilmuwan. Barangkali ada 1001 macam jenis hukum-hakam untuk mereka yang masih terpendam lagi.

Jadi, selama ini mentari dan planet-planetnya adalah makhluk yang begitu taat tunduk dan patuh dengan penetapan hukum-hakam yang dikenakan ke atas mereka. Mereka tidak pernah engkar. Mentari tidak pernah melakukan maksiat kepada Allah. Ia tidak pernah engkar untuk terbit di waktu pagi.

Begitulah juga dengan makhluk-makhluk lainnya di alam semesta ini. Setiap satu darinya ada hukumnya tersendiri yang ditetapkan oleh Allah. Hukum inilah yang sering disebut sebagai peraturan alam. Atau Sunnatullah.

Hukum-hakam Allah Taala ke atas makhluknya adalah berdasarkan fitrah masing-masing. Binatang cara binatang. Ikan cara ikan. Burung cara burung.

Fitrah yang ada pada burung ialah terbang melayang di angkasa bebas, sudah tentu tidak boleh hidup di lautan. Kalau burung kita selamkan ke dalam air sudah tentu ia musnah binasa.

Begitu juga dengan ikan. Dengan apa yang ia ada, ia hendaklah hidup di dalam air. Sudah tentu tidak boleh kita paksakan ikan agar boleh terbang melayang.

Setiap hari, dari dulu hingga kini, semua makhluk-makhluk ini tunduk patuh kepada syariat dan hukum-hakam yang telah ditetapkan ke atas mereka.

Manusia? Ya manusia juga sebahagian dari makhluk Allah ini. Manusia ada fitrahnya. Naluri dan tabiatnya. Manusia juga tidak terlepas dari syariat dan hukum-hakam Allah. Semuanya terkandung dalam Islam.

Oleh kerana Allah adalah Maha Pencipta yang mencipta manusia, maka Dia sudah tentu tahu apa yang terbaik untuk makhlukNya. Sebagaimana makhluk-makhluk lainnya, manusia juga dikenakan syariah dan hukum-hakam berlandaskan fitrahnya. Sebab itulah sering disebut-sebut bahawa Islam itu agama fitrah.

Kalau manusia keluar dari landasan syariah dan hukum-hakamnya, maka bermakna mereka keluar dari fitrahnya. Jika keluar dari fitrahnya, maka tidak ada jawapan lain melainkan kebinasaan dan kemusnahan.

Fitrah manusia ingin mencari siapa penciptanya. Kemudian, setelah tahu siapa penciptanya, ada satu naluri ingin bersyukur atau berterimakasih kepada Maha Pencipta itu.

Islam menetapkan bagaimana mencari Tuhan. Menetapkan bagaimana cara bersyukur kepadanya.

Antara penetapan itu ialah dengan mengenal siapa itu Tuhan melalui sifat dan asma'-Nya. MengesakanNya. MentauhidkanNya. Tidak mensyirikkanNya dengan sesuatu yang lain. Juga tidak mengangkat makhluk-makhlukNya sebagai sekutuNya.

Cara bersyukur juga ditetapkan. Tidak boleh sebarangan. Cara bersyukur ialah dengan menyembahNya. Juga tidak boleh sebarangan. Antaranya tidak boleh melalui wasilah seperti Nabi-nabi, wali-wali, patung-patung atau objek-objek lainnya.

Menyembah Allah disebut sebagai beribadah kepada Allah. Skopnya terlalu luas, sehingga seluruh kehidupan kita selama 24 jam boleh dijadikan sebagai ibadah menyembah Allah. Ia tidak terhad hanya ditikar sembahyang atau di masjid sahaja.

Tidak cukup sekadar itu, malah Islam juga mengatur tatacara kehidupan. Dalam kitab-kitab Feqh klasik ada menyebutkan kenapa feqh itu dibahagi kepada 4 rubu' atau bahagian. Ada bahagian ibadah. Ada Muamalah. Ada munakahat. Ada Jinayat/jenayah. Semua itu berasaskan kepada fitrah dan naluri manusia itu sendiri.

Di mana manusia ada naluri ingin menyembah Penciptanya. Ia diatur menerusi rubu' ibadah.
Ada naluri ingin bersosial dan meneruskan kehidupan. Ia diatur menerusi rubu' muamalah.
Ada naluri syahwat seks dan berketurunan. Ia diatur menerusi rubu' munakahat.
Ada juga naluri syaitaniyah dan amarah yang akan barangkali akan melakukan pembunuhan, perzinaan dan lain-lain bentuk jenayah. Ia dikawal selia menerusi rubu' jinayat.

Dalam banyak-banyak makhluk Allah, hanya manusia sahaja yang sering engkar dan bermaksiat terhadap hukum-hakamnya. Syaitan iblis pula sentiasa engkar tidak pernah patuh. Sedangkan makhluk-makhluk selain itu tidak tahu apa-apa melainkan tunduk taat sahaja kepada Allah.

Kalau mentari dan planet-planet sudah tidak berada di landasannya, maka akan kiamatlah dunia ini. Dan jika manusia sering bermaksiat terhadap hukum-hakamNya, maka akan kiamatlah dunia ini. Sekurang-kurangnya, kiamat dunia kelompoknya.

Hukum hudud adalah hukum-hakam dari Allah. Ia berasaskan naluri manusia itu sendiri, tanpa mengira jantina dan bangsa. Lari darinya bermakna lari dari fitrah. Lari dari fitrah, tunggu sahaja saat kiamat tiba. Barangkali kiamat kecil. Manusia akan rosak binasa. Manusia akan jadi lebih buruk dari binatang. Barangkali lebih keji dari syaitan laknatullah.

Manusia adalah manusia. Lelaki adalah lelaki. Wanita adalah wanita.

Lelaki ada fitrahnya. Wanita ada fitrahnya.

Sebab itu ada hukum Allah apabila menyentuh perkara tertentu yang khusus tidak sama antara lelaki dan wanita. Hukum untuk lelaki begini. Untuk wanita begini.

Dalam hal sembahyang dan puasa, ada yang tidak sama antara lelaki dan wanita. Sebab wanita datang haidh, lelaki tidak. Wanita hamil dan melahirkan, lelaki tidak.

Jadi, tidak bolehlah kita tuduh Feqh itu tidak adil kerana membeza-bezakan antara lelaki dan wanita. Wanita tidak boleh mendakwa dunia feqh hanya untuk lelaki kerana kuasa talaq ada pada tangan lelaki.

Ulama berijtihad bahawa hikmah talaq di tangan lelaki ialah kerana tabiat dan fitrah lelaki dan wanita itu sendiri. Lelaki lebih dikuasai oleh logik, manakala wanita dikuasai oleh perasaan.

Azura dan rakan-rakannya tentu marah dengan kenyataan ini. Mereka akan tangkis kenyataan ini dengan bermacam-macam hujah. Begitu dan begini. "Wanita sekarang bukan begitu. Mereka sudah sama dengan lelaki, kerana berpendidikan tinggi."

Itu hanya hikmah, bukan sebab atau illah hukum itu. Tambahan pula ia adalah ijtihad sahaja tentang kenapa talaq di tangan lelaki. Hakikat sebenarnya kita tidak tahu. Cuma yang pasti, ia sudah tentu berlandaskan fitrah manusia itu sendiri.

Dan apapun hujah-hujah Azura, ia tidaklah bersifat abadi. Hanya sesuai barangkali untuk dirinya sendiri atau kelompoknya atau pada zamannya sahaja. Akan datang atau pada kelompok lain sudah tentu hujah-hujah azura akan digelakkan orang sahaja.

Yang jelas dan nyata ialah, hukum Allah bersifat abadi hingga bila-bila kerana ia berasaskan fitrah manusia yang universal. Di mana bila manusia sudah tidak punya fitrah itu lagi, ia sudah tidak layak dipanggil manusia. Atau manusia yang sudah gila!

Perlakuan menuduh Feqh Islam tidak adil kerana ia hanya untuk lelaki dengan meminggirkan wanita, samalah seperti perlakuan sebuah bas yang menuduh manusia tidak adil . Katanya, tidak adil kerana manusia hanya memandunya di daratan sahaja tidak di udara atau di atas air. Atau seperti seekor ayam menuduh Tuhan tidak adil kerana membiarkan manusia menyembelihnya.

Keadilan ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya.

Bas dengan keadaan fizikalnya adalah sesuai berada di atas daratan, bukan di lautan atau di udara. Itulah keadilan bagi dirinya.

Manakala ayam diciptakan untuk manusia. Kerana ciri-ciri yang ada pada dagingnya, ia cukup sesuai untuk makanan manusia. Maka manusia menyembelihnya untuk dimakan agar dapat meneruskan kehidupannya. Itulah keadilan bagi diri ayam itu.

Manakala cacing dan ulat pula adalah makanan ayam. Itulah keadilan bagi ulat itu.

Manusia pula menemui maut dengan pelbagai cara. Bukan sebab disembelih oleh ayam atau lembu. Tapi melalui cara lain. Namun tetap sama-sama mati. Ada yang mati kerana penyakit. Kerana tua. Kerana kemalangan. Kerana dibunuh. Manusia tidak boleh menuduh tuhan tidak adil kerana membiarkan tua, penyakit, kemalangan atau tembakan peluru meragut nyawanya. Kerana itulah keadilan bagi dirinya

Senangnya begini, kalau apa yang Tuhan sudah berikan semuanya tidak adil . Semuanya tidak kena, carilah dunia atau alam lain yang bukan ciptaanNya.

Keluarlah dari alam ciptaanNya. Cari alam yang bukan ciptaanNya! Kalau kamu mampu!

dipetik dan diubahsuai daripada al-Ahkam.net


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails